“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik”. Demikian lafaz yang pernah diungkapkan oleh Baginda SAW yang menunjukkan akhlak mulia teras kepada segala aktiviti yang dilakukan dalam kehidupan ini. Apatah lagi sekiranya dalam melaksanakan amanah dakwah yang menjadi kewajipan bagi setiap muslim. Jika hanya berilmu namun tidak berakhlak, ia akan merosakkan dakwah tersebut dan hanya menjadi omongan kosong serta tidak dapat memberi impak maksima kepada masyarakat umum.
Mendepani musim pilihanraya yang kian membahang, akhlak yang mulia perlu menunjangi setiap peribadi individu tidak kira siapakah diri kita dan dimanakah kita berpihak. Akhlak yang mulia perlu menjadi pegangan sama ada sebagai petugas pilihan raya, calon pemimpin, pengamal media dan juga individu dalam masyarakat itu sendiri. Seringkali menjadi isu atau buah mulut adalah akhlak atau adab seseorang yang dipropagandakan dan diperhangatkan sehingga timbul kecaman, pertelagahan dan perang di alam siber. Jika kita menganggap pilihanraya sebagai jihad ke jalan Allah, maka seharusnya akhlak dan amalan Nabi SAW dan sahabat-sahabat perlu dijadikan pedoman. Bagaimana akhlak mereka mampu menembusi kekaratan hati masyarakat jahiliyyah? Di sinilah peranan akhlak mulia yang akan mencetuskan hidayah bagi mereka yang tidak nampak kebenaran. Ia akan menjadi tarikan utama bagi masyarakat yang belum beriman untuk menerima ajaran dakwah dengan akhlak yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Kesannya, dapat membantu melebarkan lagi ruang dakwah Islam secara keseluruhannya.
Pilihanraya merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan dengan sebaiknya kerana ia merupakan satu peluang bagi menentukan hala tuju kepimpinan dan corak pentadbiran sesebuah negara. Namun, apa yang berlaku pada hari ini bermacam-macam budaya yang tidak sihat seperti penipuan, pergaduhan, rasuah, keji-mengeji dan fitnah telah menyebabkan politik dan pilihanraya dianggap kotor. Seharusnya seni berpolitik berlandaskan Islam perlu mengungguli setiap pihak yang bertanding mahupun masyarakat awam. Justeru, akhlak merupakan perisai utama dalam mengharmonikan pertelagahan pihak-pihak terlibat. Tanpa akhlak, budaya buruk tersebut terus dominan dalam masyarakat kita dan umat Islam tidak mampu mempamerkan Islam yang sebenarnya. Apatah lagi untuk menjadi pemimpin Islam yang menjadi pilihan masyarakat sekiranya tidak mempunyai akhlak dan etika yang baik. Sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud: Maka dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka. Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada engkau. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap engkau), dan mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. Kemudian, apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya.
Dalam tempoh menjelang pilihanraya, aktiviti berkempen yang digiatkan juga perlu dihiasi dengan adab dan akhlak yang mulia. Lidah perlu dijaga dan dikawal sebaik-baiknya agar tidak memperkatakan sesuatu yang buruk, menfitnah dan mengada-adakan cerita. Bahkan seorang muslim yang baik tidak akan menokoktambahkan sesuatu cerita dan tidak mengaibkan individu yang lain. Ketika berjalannya sesi berkempen dan pilihan raya, seharusnya tidak melampau sehingga melanggar batas-batas Islam dan melaga-lagakan sesuatu pihak sehingga membawa kepada perbalahan dan pergaduhan sesama sendiri.
Kadangkala berlaku pertelingkahan dan fitnah menfitnah yang menyebabkan masyarakat awam membuka mulut dengan keji mengeji. Secara tidak langsung, mereka telah melebarluaskan dosa tersebut kadang-kadang membawa pertikaian ke alam siber. Perkara begini sukar untuk dibendung melainkan setiap individu perlu sedar dan mencari alternatif agar tidak menyumbang kepada suasana buruk tersebut. Disinilah akhlak yang mulia memainkan peranan dalam mendamaikan gelojak sensitiviti pihak yang terlibat.
Perbuatan mencela peribadi calon lawan, mengejek dengan kata-kata kasar adalah tindakan yang mencemar akhlak Islam. Meskipun betapa keji kata-kata yang dilemparkan, hendaklah sentiasa menjaga lidah daripada turut sama mengeluarkan kata-kata buruk. Sebaik-baiknya mereka yang dicaci atau difitnah perlu mendiamkan diri daripada membalas cacian dan masyarakat juga perlu berada di ruang kesabaran yang besar agar tidak merumitkan keadaan. Mengharmonikan pertelagahan dengan adab yang baik itu lebih mulia berbanding sibuk mempertahankan hak masing-masing sehingga mengundang tuding-menuding kepada pihak lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bertaqwalah kepada Allah dimana pun engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik nescaya kebaikan itu akan menutupi keburukan dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik. Sesungguhnya akhlak baik akan membuahkan kebaikan bukan setakat kepada diri sendiri malah juga orang disekeliling akan mendapat manfaatnya. Mereka akan terpaut dengan keindahan akhlak tersebut. Dan bukankah ia juga satu seni berpolitik?
Masyarakat perlu didampingi dan didekati dengan akhlak yang baik. Menghormati pandangan dan memahami kehendak antara satu sama lain merupakan budaya yang perlu diterapkan bukan sekadar dalam tempoh pilihanraya malah perlu menjadi keutamaan sepanjang masa. Akhlak buruk yang dipamerkan akan menjadi ancaman kepada keberkesanan kempen yang dilakukan kerana manusia secara fitrahnya tidak suka kepada sikap dan akhlak yang buruk. Justeru di dalam tempoh berkempen menjelang hari pengundian, semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak mestilah sentiasa menjaga akhlak dan keperibadian mereka. Biarpun pelbagai provokasi dan tohmahan dilemparkan,
Setiap jentera parti yang bertanding mesti memahami bahawa politik merupakan salah satu kaedah untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan, dan bukannya untuk mendapatkan kuasa memerintah semata-mata. Mandat yang diberikan merupakan amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat. Justeru, setiap calon pemimpin, petugas pilihanraya dan rakyat perlu berlapang dada menerima segala ketentuan Allah. Menang atau kalah bukan soalnya tetapi yang menjadi keutamaan adalah bagaimana memperjuangkan nilai akhlak Islam pada saat di mana nilai adab dan akhlak masyarakat kita kian meruncing.
Kedamaian, keharmonian dan kasih sayang merupakan unsur penting dalam menyatupadukan masyarakat. Akhlak yang mulia perlu dipamerkan oleh umat Islam agar masyarakat bukan Islam juga akan terpaut dengan Islam dan bersama-sama memperjuangkannya. Inilah kekuatan Islam. Justeru budaya berpolitik sihat dan pilihanraya yang berakhlak perlu diketengahkan agar masyarakat sentiasa menghayati nilai-nilai yang telah digariskan dalam Islam. Persengketaan boleh diharmonikan dengan pemupukan akhlak dan adab yang mulia. Akhirnya akan membentuk persefahaman dan sebuah masyarakat yang teguh bersatu tanpa mengira latarbelakang kehidupan.