Dalam sejarah ketamadunan Islam, terdapat begitu ramai ilmuwan-ilmuwan yang telah meninggalkan impak yang besar terhadap perubahan dunia. Siapa yang tidak kenal pada nama-nama seperti Ibn Sina, Ibn Khaldun, Al-Jazari, Al-Ghazzali serta Al-Khawarizmi. Nama-nama yang disebutkan ini hanyalah sebahagian daripada barisan ilmuwan yang cukup terkenal dan telah membawa perubahan sama ada dalam bentuk pemikiran, ciptaan peralatan mahupun sistem.
Tetapi itu dahulu. Namun, kini bagaimana? Mengenang dan mengambil iktibar di atas kehebatan ilmuwan Islam dahulu sememangnya baik. Namun, jika umat Islam kini terus tenggelam dalam kenangan itu, maka, bilakah pula kegemilangan umat Islam kini dapat dibangkitkan semula?
Ilmuwan Islam masa kini mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sama besar jika dibandingkan dengan ilmuwan Islam terdahulu. Matlamat keilmuwan kedua-dua kumpulan ilmuwan ini adalah sama iaitu untuk membantu dan melakukan perubahan ke arah yang baik dalam masyarakat. Setiap kumpulan masyarakat sama ada dahulu, kini atau pada masa hadapan mempunyai satu set masalah mereka yang tersendiri. Oleh itu, pada setiap set permasalahan tersebut kebijaksanaan para ilmuwan diperlukan untuk menyelesaikannya.
Dalam pandangan hidup Islam, kedudukan golongan ilmuwan ini sungguh istimewa. Dalam surah al-Mujaadalah, ayat 11, jelas dinyatakan bahawa Allah SWT akan meninggikan darjat bagi orang-orang yang mempunyai ilmu, sama ada ilmu naqli mahupun ilmu-ilmu aqli, yang dapat memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat. Namun, ketinggian darjat para ilmuwan ini tidak datang sewenang-wenangnya tetapi haruslah disertai dengan ketekunan melaksanakan tanggungjawab keilmuan itu sendiri.
Oleh itu, peranan seorang ilmuwan amat besar dan mungkin juga berat. Mereka bukan sahaja mencari ilmu tetapi perlu memperkayakan ilmu tersebut untuk manfaat sejagat. Ini pastinya amat sesuai dengan sifat ilmu itu sendiri yang sentiasa berkembang. Dengan kekayaan ilmu yang dimiliki, ilmuwan seharusnya menggunakan ilmu tersebut untuk memperbetulkan kepincangan dalam kalangan masyarakat dan seterusnya mencetuskan perubahan-perubahan yang baik. Paling utama, ilmuwan dan ilmu yang mereka miliki seharusnya menjadi penyebab untuk membawa dirinya dan masyarakat menjadi lebih dekat kepada Allah SWT.
Namun secara realitinya, ilmuwan kini tidak begitu menyerlah menjalankan peranan sebagai pencetus perubahan masyarakat. Kenyataan ini tidak disokong dengan data-data tertentu tetapi buktinya boleh sahaja diperoleh dengan melihat keadaan masyarakat masa kini. Masyarakat kini semakin lupa dan meninggalkan adab yang baik dalam hubungan kemasyarakatan. Masyarakat kini juga tidak mencintai budaya ilmu. Malah, mereka hanya gemar kepada sesuatu yang mudah dan memberikan keseronokan sementara dalam hidup.
Kelemahan dalam masyarakat kini merupakan satu gambaran umum terhadap kegagalan ilmuwan itu sendiri. Kenapakah hal ini berlaku? Apakah kekangan-kekangan yang telah menghambat ilmuwan kita dalam menjalankan tanggungjawab mereka? Hakikatnya, zaman moden ini tidak kekurangan ilmuwan-ilmuwan yang kaya dengan ilmu serta pakar dalam bidang masing-masing. Namun, kenapakah dalam keadaan banyaknya dan hebatnya ilmuwan tersebut, masyarakat terus-terusan dihambat pelbagai permasalahan meliputi permasalahan dari sudut pemikiran dan adab sehingga ini terpancar melalui cara hidup yang mereka jalani?
Apa yang boleh dilihat kini, para ilmuwan seperti dirintangi beberapa kekangan yang menghalang pengkayaan ilmu mereka dan seterusnya mengagalkan usaha untuk mengubah masyarakat ke arah kebaikan. Kekangan ini meliputi kekangan-kekangan dalaman dan luaran. Kekangan dalaman mahupun luaran ini datang dalam pelbagai bentuk “rupa paras”nya.
Dari segi kekangan dalaman, walaupun pelbagai, namun hanya satu yang ingin disentuh di sini iaitu berkenaan dengan matlamat keilmuan yang hanya bermotifkan diri sendiri dan bukannya untuk menjayakan masyarakat. Jika ilmu yang dicari, diperkayakan dan dikembangkan untuk tujuan kebendaan seperti anugerah, kedudukan dan nama yang besar, pasti akhirnya ilmu itu tidak akan berjaya untuk mengubah masyarakat. Matlamat ilmuwan yang tersasar ini jika digabungkan pula dengan kekangan luaran misalnya sistem keilmuwan yang rosak, maka tidak hairanlah masyarakat akan berterusan hidup dalam kepincangan.
Oleh itu, ilmuwan kini harus bangkit. Memahami apa yang diperlukan oleh masyarakat adalah penting tetapi dalam masa yang sama memahamkan masyarakat tentang sesuatu kebenaran juga sangat kritikal pada masa kini. Usaha ilmuwan yang ikhlas pasti akan mendapat tentangan dan dugaan namun yakinlah usaha itu mulia. Ingat pesan Rasulullah SAW (diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a.) bahawa “Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi – sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut – sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai.”