Aktiviti sukarela merujuk kepada aktiviti kemasyarakatan di mana kita menyumbang bakti kepada ahli masyarakat yang memerlukan. Tentunya aktiviti seumpama ini amat dituntut oleh Islam.
Memelihara kebajikan ahli masyarakat yang lain sememangnya dituntut oleh Islam. Bila kita bercakap tentang kebajikan ahli masyarakat yang lain, biasanya kita akan terbayangkan usaha-usaha untuk mencukupkan keperluan golongan yang tidak berada. Misalnya, membantu fakir miskin, membantu golongan yang kurang upaya dan sebagainya. Lazimnya, bantuan yang kita berikan adalah dalam bentuk material atau khidmat bakti. Walau bagaimanapun, Islam pergi lebih jauh dari itu. Dalam Islam, menjaga kebajikan ahli masyarakat yang lain bukan sahaja merujuk kepada memenuhi keperluan fizikal dan material, tetapi juga keperluan spiritual. Apa yang dimaksudkan dengan keperluan spiritual ialah membantu ahli masyarakat lain untuk memiliki ilmu-ilmu kerohanian serta mengamalkannya. Dalam kata lain, termasuk di dalam konsep kebajikan ini ialah menyampaikan ilmu keagamaan serta amar maaruf nahi mungkar.
Di dalam al-Quran dan Hadith, banyak nas-nas yang menekankan kepada konsep saling membantu di kalangan ahli masyarakat, baik dari segi material, fizikal, mahupun spiritual. Misalnya dari segi material, Allah berfirman dalam Surah ar-Rum (30), ayat 38 yang bermaksud, “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. ”
Dari segi pemberian khidmat pula, di dalam al-Quran Allah telah menunjukkan contoh tauladan terbaik bila mana orang-orang Ansar membantu golongan Muhajirin. Ini jelas dalam Surah Anfal (8), ayat 72 yang bermaksud, “Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman serta pertolongan (kepada orang-orang yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain … dan jika mereka meminta pertolongan dari kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, …”
Dari segi spiritual pula, Allah berfirman yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.” (9:71)
Rasulullah s.a.w. juga dalam hadis-hadis Baginda menggalakkan umatnya untuk melakukan kebajikan kepada orang lain. Salah satu hadis Baginda yang boleh dijadikan dorongan kepada kita semua untuk melibatkan diri dalam kegiatan sukarela ini ialah sepotong hadis yang bermaksud, “Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembiarakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan.”
Satu lagi hadis Baginda telah menjelaskan maksud sedekah kepada kita. Menurut Baginda, “Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam. Seorang sahabat bertanya, `Jika ia tiada apa yang hendak diberi?’ Jawab Baginda, `Hendaklah ia bekerja dan bila dapat duit, sedekahkanlah sebahagiannya.’ Sahabat itu bertanya lagi, `Jika ia tidak boleh bekerja?’ Jawab Baginda, `Tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.’ ‘Kalau ini juga tidak dapat ia lakukan?’ tanya sahabat itu lagi. Baginda menjawab, ‘Beri nasihat untuk berbuat baik.’ Sahabat itu bertanya, ‘Jika itupun tidak dapat dilakukan?’ Jawab Baginda, ‘Janganlah ia melukakan hati orang lain – itulah sedekahnya.’ ”
Hadis ini menunjukkan bahawa sedekah atau amal soleh itu tidak terhad kepada memberi wang semata-mata tetapi juga membantu orang yang dalam kesusahan, memberi nasihat untuk kebaikan dan tidak melukakan hati orang lain. Selain itu, ketiadaan wang bukanlah alasan terbaik untuk tidak bersedekah. Malah, Rasulullah menuntut agar kita berusaha untuk mencari kerja agar sebahagian dari hasilnya dapat kita dermakan. Malah, kita juga teringat dalam satu hadis yang lain di mana Baginda menyebut bahawa senyum itu merupakan satu sedekah.
Nas-nas dari al-Quran dan Hadis tadi merupakan sebahagian kecil dari nas-nas yang menggalakkan kita melakukan kebajikan. Ternyata, tiga ruang terbuka luas untuk kita melakukan kebajikan kepada orang lain. Cara-cara itu ialah dengan memberi bantuan material, khidmat bakti dan bantuan spiritual. Dalam kata lain, kalau kita ingin membuat kebajikan kita boleh sahaja memberikan wang ringgit dan barangan, atau memberi khidmat bakti kepada golongan yang memerlukan atau memberi bimbingan agama serta mengajak kepada kebaikan dan menegah dari melakukan kejahatan. Walau bagaimanapun, dalam membincangkan aktiviti sukarela, kita lebih menumpukan kepada penberian khidmat bakti yang salah satunya termasuklah bimbingan agama serta mengajak kepada kebaikan serta menegah dari kejahatan.
Apabila kita bercakap tentang aktiviti sukarela ini, unsur-unsur berikut adalah penting. Pertama, aktiviti tersebut dilakukan secara sukarela tanpa dipaksa. Kedua, aktiviti-aktiviti tersebut dilakukan untuk orang lain. Ketiga, aktiviti yang dilakukan itu merupakan sesuatu yang baik misalnya memberi khidmat bakti atau membimbing ke arah kebaikan. Akhir sekali, aktiviti ini dilakukan secara berorganisasi dan bukannya bersendirian.
Jika kita perhatikan dalam masyarakat kita, kita akan dapati bahawa hanya sebilangan kecil sahaja masyarakat kita yang terlibat dalam aktiviti seumpama ini. Jadi, mungkin kita tertanya-tanya apa yang mendorong sebilangan kecil ini untuk terlibat.
Kajian ke atas para sukarelawan dan sukarelawati menunjukkan bahawa mereka mempunyai motif yang tersendiri. Ada yang terlibat atas kesedaran bahawa setiap dari kita saling bergantung antara satu sama lain. Ada yang didorong oleh keinginan untuk membantu orang lain, tanpa mendapat apa-apa manfaat darinya walaupun terpaksa menanggung sedikit kos – faktor altruism. Bagi golongan ini, mereka biasanya melakukan aktiviti ini bila segala keperluan asasnya telah dipenuhi.
Ada juga yang terlibat akibat dari rasa kasih dan sayang sesama insan atau rasa bertanggungjawab kepada mereka yang memerlukan. Ada juga yang melibatkan diri untuk mendapat pengiktirafan. Dan tidak kurang juga yang menjadi ahli sukarela kerana didorong oleh ajaran agama yang dianutnya.
Islam, seperti yang disebut tadi, amat menggalakkan umatnya membantu sesama insan. Oleh itu, bagi orang Islam, ajaran agama yang menyebut bahawa amal soleh seperti ini akan mendapat keredhaan Allah, boleh menjadi dorongan terbesar untuk mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukarela ini.
Jika kita membaca buku tentang sejarah masyarakat Islam yang awal, kita dapati bahawa aktiviti seumpama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Pada waktu itu, aktiviti kesukarelaan, baik dalam bentuk kewangan (dan kebendaan) mahupun perkhidmatan memainkan peranan yang besar di Madinah. Masjid Madinah misalnya, dibina oleh orang-orang Islam yang secara sukarela ingin menyumbang tenaga ke arah pembinaan masjid tersebut. Begitu juga dengan sikap golongan Ansar yang secara sukarela membantu golongan Muhajirin dengan memberikan tempat tinggal, makanan serta berbagai keperluan lain, sehingga golongan yang berhijrah itu dapat mencari pekerjaan dan membina hidup baru. Selain itu, berbagai peperangan menentang orang-orang kafir Mekah telah dianggotai oleh tenaga askar sukarela, yang terdiri dari kaum lelaki dan wanita. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Islam yang awal itu dibina berasaskan kepada barangan dan perkhidmatan yang disumbang secara sukarela sehingga tertubuhnya perbendaharaan awam.
Selain itu, kita dapati institusi wakaf menjadi sebahagian utama dalam sektor sukarela masyarakat tersebut. Sepanjang sejarah Islam kita boleh temui berbagai harta-benda yang diwakafkan bagi berbagai tujuan. Antara harta yang diwakafkan ialah harta yang boleh mendatangkan pendapatan atau yang memberikan manfaat, tanah pertanian, bangunan kediaman, sekolah, telaga, tempat mandi dan tempat membuat roti. Islam juga membenarkan sejumlah wang diwakafkan dalam wang amanah agar keuntungannya dapat digunakan untuk tujuan kebajikan.
Harta wakaf ini juga telah digunakan untuk berbagai tujuan. Antaranya untuk tujuan pendidikan di semua peringkat, untuk tujuan beribadah serta kemudahan kesihatan dari hospital hinggalah rumah-rumah untuk golongan yang kurang upaya, rumah-rehat dan bilik air, kemudahan untuk minum, pusat pengagihan makanan dan pusat jagaan haiwan.
Didorong oleh firman Allah yang bermaksud, “Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. ” (an-Nahl (16): 97), kita dapati kaum wanita bersama-sama menyumbang dalam aktiviti sukarela ini. Ada yang menderma harta benda mereka, dan tidak kurang juga yang memberikan khidmat bakti mereka. Selain dalam peperangan, ada wanita yang membantu menjayakan dakwah Islam dengan mengajarkan Islam kepada mereka yang baru memeluk Islam. Antara nama yang aktif dalam bidang ini ialah Arwa bint Abd al-Mutalib dan al-Shifa’ al-Qurashiyyah. Seorang wanita bernama Harqa pula, menyumbang dengan membersihkan masjid Madinah. Ada juga wanita yang pergi ke rumah rasulullah untuk mengangkut air bagi kegunaan keluarga Baginda, malah membantu Rasulullah mengambil wuduk.
Jadi, kita dapati bahawa di zaman awal Islam, sesuatu ajaran agama itu tidak sahaja diajar dan difahami oleh ahli masayarakatnya tetapi mereka juga mempraktikkannya. Seperti dalam hal aktiviti sukarela ini, ia bukan sahaja diajar oleh Rasulullah dan difahami umatnya, tetapi mereka juga berlumba-lumba untuk melakukannya demi mencari ganjaran dan keredhaan Allah.
Namun, dalam hal kesukarelaan ini, keadaan orang-orang Islam kini berbeza sekali. Dalam menjalankan kajian tentang sukarelawati Islam, walaupun hampir 50 buah pertubuhan kebajikan yang dihubungi, begitu sukar untuk mendapatkan mereka. Walaupun dari satu segi ada pertubuhan yang tidak memberikan reaksi yang positif terhadap surat yang dihantar, namun banyak juga pertubuhan yang menyatakan bahawa mereka tiada ahli sukarela Islam, baik lelaki mahupun wanita. Malah, bagi pertubuhan yang sudi bekerjasama pun, bilangan sukarelawati Islamnya amat kecil. Ramai wakil pertubuhan yang menyatakan bahawa majoriti ahli sukarela mereka merupakan orang bukan Islam.
Memang kita tahu golongan bukan Islam amat terkehadapan dalam bidang ini. Bi Barat misalnya, aktiviti seumpama ini berkembang dengan pesat dan ramai yang menyumbang tenaga mereka atas dorongan agama Kristian yang mereka anuti. Di Malaysia ini, setelah menemui beberapa wakil pertubuhan, mereka menyebut bahawa majoriti ahli sukarela mereka terdiri dari orang-orang Cina yang beragama Buddha. Soalan yang timbul dalam fikiran saya ialah ke mana perginya orang-orang Islam? Tidak cukupkah Islam sebagai pendorong kita untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarela ini? Cukupkah kita menyumbang dalam bentuk wang sedekah dan derma semata-mata? Bukankah akhlak baik yang ditonjolkan melalui aktiviti sukarela ini salah satu kaedah dakwah yang amat berkesan?
Marilah kita sama-sama memikirkan hal ini. Kita sering berbangga bahawa Islam adalah agama yang syumul dan agung, tetapi mengapa orang Islam begitu terkebelakang dalam aktiviti sukarela ini? Apakah kerana kita yakin bahawa zakat, wakaf dan sedekah itu telah memadai untuk membantu golongan yang memerlukan? Ataukah kerana ramai orang Islam yang masih terkial-kial untuk memenuhi keperluan sendiri sehingga tidak mampu memikirkan keperluan orang lain? Atau mungkin kerana ajaran Islam yang mengutamakan keluarga dan kaum-kerabat menyebabkan kita enggan keluar dari ruanglingkup itu untuk menghulurkan bantuan? Dan berapa ramai pula yang hanya berpuas hati dengan segala kemewahan yang dimiliki tanpa memikirkan bahawa kemewahan itu juga harus digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan, selain dari memberi bantuan kewangan semata-mata? Marilah kita fikirkan hal ini dengan jujur dan ikhlas. Semoga kesimpulan yang diperolehi dapat menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang agung dengan ajaran-ajaran yang murni dan mulia semata-mata, tetapi ia juga satu agama yang dapat mendorong umatnya mengamalkan segala ajaran murni tersebut.