Pendahuluan
Jika diteliti, kedudukan ekonomi umat Islam di dunia hari ini secara keseluruhannya sangat menyedihkan berbanding pencapaian ekonomi penganut agama lain, seperti Kristian dan Yahudi. Realiti ini sangat bertentangan dengan falsafah kehidupan yang dipelopori oleh Islam itu sendiri. Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka tetapi mesti dalam batasan shari’ah yang dibenarkan. Pada hemat saya, kedai’fan ekonomi umat Islam berpunca, sebahagiannya, daripada kegagalan mereka sendiri menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap lagi sempurna. Sebagai umat Islam kita tidak perlu menjadi miskin semata-mata untuk memberikan tumpuan kepada ibadah serta mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.. Definisi ibadah itu sangat luas. Perlu difahami bahawa mencari pendapatan untuk menyara keluarga dan memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak merupakan satu ibadah yang sangat dituntut oleh Islam daripada setiap umatnya. Rasulullah s.a.w. ada bersabda di dalam sebuah hadith yang berbunyi:
“Sesungguhnya Allah suka kepada hamba yang bekerja dan berusaha. Barangsiapa bersusah-payah mencari nafkah untuk keluarganya maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah ‘azza wajalla.” (HR. Ahmad)
Dalam sebuah hadith lain pula baginda bersabda:
“Sesungguhnya Ruhul Qudus (Malaikat Jibril) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya. Kerana itu hendakalah kamu bertaqwa kepada Allah dan memperbaikki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah kamu memburunya dengan jalan bermaksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepadanya.” (HR. Abu Dzar dan Al-Hakim)
Kepentingan ekonomi dalam kehidupan umat Islam
Umat Islam hari ini memang memerlukan kemantapan ekonomi untuk meneruskan kehidupan serta menjalankan tanggung jawab mereka sebagai Muslimin/Muslimat yang baik. Ini memang ada dinyatakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w.:
“Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusaan dunianya.” (HR. Ath-Thabrani)
Ini sudah jelas kita lihat hari ini. Untuk menunaikan ibadah Haji, umpamanya, kita memerlukan sekitar RM10,000. Bagaimana pula agaknya sepuloh tahun akan datang? Di dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. ada bersabda:
“Harta kekayaan adalah sebaik-baik penolong bagi pemeliharaan ketakwaan kepada Allah.” (HR. Ad-Dailami)
Kita di Malaysia patut bersyukur kerana dilimpahkan rahmat yang secukupnya sehingga kita boleh menjalani kehidupan dengan agak selesa. Di sesetengah negara (tidak perlu disebutkan negara mana) umat Islamnya tidak begitu bernasib baik seperti kita. Terdapat segelintir umat Islam yang meninggalkan agama mereka semata-mata kerana kesempitan hidup yang dilalui. Alasan mereka, semasa kehidupan mereka dalam kesempitan hanya jiran bukan-Islam sahaja yang mampu menghulurkan bantuan. Jiran-jiran Islam mereka pun tidak mampu berbuat apa-apa kerana secara kolektif mereka semuanya dha’if dibelenggu oleh kemiskinan. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w:
“Kesengsaraan yang paling sengsara ialah miskin di dunia dan diseksa di akhirat.” (HR. Ath-Thabrani dan Ash-Shihaab)
Salah faham tentang kepentingan ekonomi.
Dalam memperkatakan hal-ehwal pembangunan ekonomi, umat Islam selalunya meletakkan diri mereka ke dalam satu keadaan yang merumitkan – iaitu di antara tuntutan duniawi atau tuntutan akhirat. Yang mana lebih penting, kehidupan di dunia atau kehidupan di akhirat? Ini yang banyak menimbulkan kekeliruan. Kita tidak nafikan bahawa sebagai umat Islam, kita berpegang kepada falsafah bahawa kehidupan di dunia ini adalah bersifat sementara sahaja dan matalamat kita ialah kehidupan yang lebih baik dan kekal di akhirat. Oleh itu, ada orang yang memilih jalan yang mengutamakan pencarian untuk bekalan akhirat. Pegangan seperti ini mungkin berdasarkan kepada beberapa buah hadith di antaranya yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang berbunyi:
”Aku menjenguk ke syurga dan aku melihat kebanyakan penghuninya orang-orang fakir. Lalu aku menjenguk ke neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita.”
Di dalam sebuah hadith lain Rasullulah s.a.w. ada bersabda bahawa:
“Orang-orang fakir akan memasuki syurga lima ratus tahun sebelum orang-orang kaya memasukinya.” (HR. At-Tarmizi dan Ahmad)
Saya berpendapat, selaras dengan Islam itu sendiri yang mengutamakan kesederhanaan, kita mesti mengimbangkan di antara kehidupan di dunia dan juga kehidupan di akhirat. Kedua-dua hadith di atas perlu dilihat dalam konteks suatu peringatan kepada orang berharta supaya lebih berhati-hati dalam mendapatkan kekayaan mereka agar tidak melanggar batasan syari’ah. Rasulullah s.a.w. ada bersabda:
“Orang yang paling dirundung penyesalan di hari kiamat ialah orang yang memperolehi harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka.” (HR. Al-Bukhari)
Perlu juga difahami bahawa pemilikan harta diiringi dengan tanggung jawab. Harta kekayaan perlu dibelanjakan ke jalan Allah s.w.t. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengelolakan harta Allah dengan tidak benar maka bagi mereka api neraka pada hari kiamat.” (HR. Al-Bukhari)
Pendekatan untuk meningkatkan ekonomi umat Islam.
Kita mesti akui bahawa cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan ekonomi orang Islam adalah melalui perniagaan. Ini memang dinyatakan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al Bazzar dan Ahmad:
“Mata pencarian yang paling afdal adalah berniaga dengan penuh kebajikan dan dari hasil usaha tangan.”
Di dalam sebuah hadith lain, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sembilan per sepuloh punca rezeki itu adalah di dalam bidang perniagaan.”
Dalam menggalakkan umat Islam berniaga, Allah s.w.t. pula berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (An-Nisaa’:29).
Dalam konteks perniagaan ini, umat Islam perlu sepakat dalam membangunkan ekonomi mereka. Rasulullah s.a.w. ada berkata,
“Seorang mukmin terhadap mukmin lainnya seumpama bangunan, saling mengukuhkan satu dengan yang lain (Kemudian Rasulullah s.a.w. merapatkan jari-jari tangan baginda.)” (Mutafaq ‘alaih)
Adalah penting kita secara beransur-ansur menguasai semua peringkat kegiatan di dalam sesuatu bidang yang diceburi. Maksud saya, mesti ada umat Islam yang menjadi pembekal, pengusaha, dan pemasar dalam industri yang sama. Hanya dengan cara ini, perniagaan umat Islam tidak dimanipulasi dan ditindas oleh orang lain. Sebagai contoh, seorang pengusaha Islam akan mendapatkan bekalan bahan mentahnya daripada pembekal Islam dan seterusnya akan memasarkan barangan mereka melalui pemasar Islam.
Namun begitu, dalam kontek dunia moden hari ini, peningkatan ekonomi tidak semestinya berlaku melalui kegiatan perniagaan sahaja. Kebanyakan pekerjaan bergaji yang memerlukan kepakaran serta kemahiran tinggi juga mampu meningkatkan taraf ekonomi seseorang atau sesuatu keluarga. Oleh itu, disamping menceburi perniagaan, umat Islam juga perlu menguasai ilmu serta kepakaran tertentu seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan, kewangan, pelaburan dan sebagainya. Kita masih boleh meningkatkan ekonomi diri sendiri dan dalam masa yang sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam keseluruhannya. Sebagai contoh, kita memerlukan tenaga akademik Islam yang mempunyai kemahiran serta kepakaran di dalam bidang yang dikhususinya, tetapi boleh menyumbang dengan mendidik generasi Islam akan datang.
Penutup
Kesimpulannya, sekiranya umat Islam ingin dilihat sebagai suatu kelompok yang dihormati, mereka mesti bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Ini merupakan konsep “jihad” yang relevan pada hari ini dan mesti dipegang oleh umat Islam seluruhnya. Kita juga perlu melihat kesan ekonomi individu Islam ke atas kedudukan ekonomi umat Islam keseluruhannya. Sikap yang mengabaikan keperluan ekonomi di dunia ini akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat orang Islam sendiri. Dalam masa yang sama, kedudukan ekonomi yang lemah akan memudahkan kita dieksploitasi oleh orang lain.