1. Abstrak
Terlalu banyak telah dibicarakan mengenai alaf baru atau the new millennium ini. Esei ini bukanlah bertujuan untuk menambahkan kekeliruan atau memperhangatkan polemik mengenai alaf baru ini. Esei ini sekadar cuba meninjau perkara-perkara berikut:
Sejarah dan perkembangan pengiraan takwim solar yang digunapakai hari ini;
Tarikh sebenar bermulanya alaf baru;
Konotasi sambutan alaf baru; dan
Kaitan dan signifikan sambutan alaf baru kepada umat Islam.
Tujuan esei ini adalah untuk memberikan penerangan serba sedikit tentang apa yang dinamakan ‘alaf baru’ dan apakah kaitannya dengan umat Islam dengan harapan semoga ini dapat meningkatkan kefahaman umat Islam khususnya tentang perkara yang banyak dibicarakan ini. Semenjak pertengahan tahun 1990an lagi, telah banyak isu berkaitan alaf baru yang telah dibangkitkan. Di antara yang paling banyak dibicarakan ialah mengenai pepijat alaf Y2K, debat bila bermulanya alaf baru, cult yang mempercayai bahawa dunia akan kiamat menjelangnya alaf baru, dan banyak lagi. Turut menjadi perbualan hangat adalah persiapan untuk menyambut hari pertama alaf baru.
2. Sejarah dan perkembangan takwim solar
Perkembangan takwim banyak berhubung kait dengan faktor keagamaan dan sains. Dalam hal ini, terdapat dua cara pengiraan takwim, yakni dengan menggunakan matahari (solar) dan bulan (lunar). Bagi tujuan esei ini, kita akan menumpukan kepada perkembangan takwim solar. Berkenaan hal ini, di dalam al-Quran, Allah s.w.t. telah berfirman yang membawa maksud: “Dia yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya, serta mengaturnya pada beberapa tempat supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan. Allah tiada menciptakan yang demikian itu, melainkan dengan kebenaran. Dia terangkan beberapa tanda bagi kaum yang mahu mengetahui” [Surah Yunus, ayat 5].
2.1 Takwim solar Julian
Secara umumnya, orang Roman telah mempopularkan penggunaan takwim solar. Pada peringkat awal, penggunaan takwim dikira bermula daripada masa bandar Rom diasaskan. Tarikh yang digunakan ditanda dengan perkataan Rumawi iaitu ab urbe condita (a.u.c.) yang bermaksud “daripada tarikh pengasasan bandar”. Andai kata tarikh ini masih dipakai hari ini, 14 Januari 1996 merupakan permulaan tahun baru bagi tahun 2749 a.u.c.
Apabila Julius Caesar menawan Mesir pada tahun 48 sebelum Masehi, beliau memperkenalkan apa yang dipanggil takwim solar Julian pada tahun 709 a.u.c. atau tahun 46 sebelum Masehi. Takwim ini dikatakan diperkenalkan setelah Julius Caesar meminta seorang ahli falak bernama Sosigenes untuk membuat perubahan kepada takwim yang sedia ada pada ketika itu. Takwim ‘baru’ ini mempunyai 12 bulan dalam setahun dengan bilangan hari sebanyak 365 hari dengan tambahan sehari bagi setiap empat tahun.
Namun begitu, sejarah telah merekodkan bahawa kesilapan telah berlaku dalam pengiraan takwim Julian ini. Tambahan satu hari pada setiap empat tahun tidak dilakukan, sebaliknya tambahan ini dilakukan pada setiap tiga tahun. Ini berlaku di antara tahun 43 sebelum Masehi sehingga tahun 10 sebelum Masehi. Augustus Caesar yang menggantikan Julius Caesar sebagai pemerintah Empayar Rom mengarahkan supaya pengiraan tahun lompat ini dihentikan dan hanya disambung pada tahun 4 selepas Masehi.
Augustus Caesar juga membuat beberapa perubahan kepada jumlah hari di dalam sebulan. Pada asalnya, dikatakan bulan Februari mempunyai 29 hari dan 30 hari bagi tahun lompat. Februari kehilangan satu hari kerana pada satu ketika, dua daripada bulan di dalam takwim Julian dinamakan Julai (sempena Julius Caesar) dan Ogos (sempena Augustus Caesar). Pada asalnya Ogos hanya mempunyai 30 hari, namun Augustus Caesar menganggap dirinya sama hebat jika tidak lebih hebat daripada Julius Caesar, maka beliau telah memerintahkan supaya bulan Ogos ditambah satu hari. Ini menjadikan jumlah hari di dalam bulan Ogos sebanyak 31 sama seperti bulan Julai.
Kesan pembesaran Empayar Rom menyaksikan penyebaran penggunaan takwim Julian ini. Kemudian, gereja-gereja Kristian turut menerima pakai takwim Julian. Pada tahun 527 selepas Masehi, seorang paderi Rom bernama Dionysius Exiguus memperkenalkan sistem pengiraan takwim yang diberi nama Anno Domini atau A.D. (yang memulakan tarikh 1 A.D. sempena kelahiran Isa al-Masih). Orang Islam menggelarkan pengiraan ini sebagai al-Masihiah atau Masehi.
Apa yang menarik ialah kekeliruan yang timbul dengan tarikh lahirnya Nabi Isa ‘alahissalam. Dionysius Exiguus menyatakan bahawa Nabi Isa lahir pada tahun 754 a.u.c. tetapi ramai yang beranggapan bahawa kiraan Exuguus ini tidak tepat dan mempunyai ralat sebanyak beberapa tahun.
2.2 Takwim Gregorian
Jika ditinjau panjang purata setahun bagi takwim Julian ialah 365.25 hari dengan satu hari ditambah setiap empat tahun. Ini jauh berbeza dengan panjang sebenar bagi setahun. Namun demikian, di kalangan ahli astronomi sendiri, panjang sebenar dipertikaikan. Pendapat popular berpegang kepada purata tahun tropika iaitu 365.2422 hari dalam setahun. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa panjang purata setahun ialah 365.2424 hari dalam setahun. Beza nilai-nilai ini adalah masing-masing 0.0078 hari (11 minit 13.8 saat) dan 0.0076 hari (10 minit 56.4 saat).
Akibatnya setiap 131 tahun, takwim Julian ini akan berganjak menyebabkan ianya tidak lagi selari dengan perubahan musim solstis dan ekuinoks. Solstis dan ekuinoks merujuk kepada kedudukan matahari dengan bumi, dan ini menjadi sumber pengiraan yang penting bagi hari-hari kebesaran Kristian. Menjelang abad ke-16, tarikh Hari Easter yang sepatutnya berlaku semasa Ekuinoks Musim Bunga telah memasuki musim panas.
Bagi mengatasi masalah ini, Pope Paul III mendapatkan beberapa ahli astronomi seperti Christopher Clavius untuk mencari penyelesaian kepada keadaan gawat ini. Kajian dilakukan sehinggalah apabila Gregory XIII menjadi Pope Gereja Roman Katolik. Beberapa cadangan dikemukakan dan Gregory XIII memilih cadangan Clavius. Pada 24 Februari 1582, beliau memperkenalkan beberapa perubahan kepada pengiraan takwim dan ini dikenali sebagai “Takwim Gregorian”.
Perubahan-perubahan yang diperkenalkan adalah:
· Sebanyak 10 hari ditolak daripada takwim yang dipakai pada ketika itu, menjadikan hari yang menyusul selepas hari Khamis 4 Oktober, 1582 sebagai hari Jumaat 15 Oktober, 1582 (5 Oktober, 1582 jika menurut kiraan Julian).
· Bagi pengiraan tahun lompat Julian, tahun tersebut mestilah boleh dibahagi dengan angka 4. Dalam perubahan yang diperkenalkan melalui takwim Gregorian, sesuatu tahun lompat itu hanya dikira jika sama ada ianya boleh dibahagi dengan 4 dan tidak dengan 100 atau ianya boleh dibahagi dengan 400. Oleh itu, setiap tahun yang boleh dibahagi dengan 4 adalah tahun lompat melainkan jika ianya boleh dibahagi dengan 100 dan tidak dengan 400. Ini menjadikan tahun-tahun 1600 dan 2000 sebagai tahun lompat tetapi tidak demikian bagi tahun-tahun 1700, 1800, 1900 dan 2100.
· Hari pertama tahun baru ditetapkan pada 1 Januari setiap tahun.
· Hari bagi tahun lompat ditetapkan pada 29 Februari.
3. Penyebaran penggunaan takwim Gregorian
Penggunaan takwim ini tersebar serta-merta ke negara-negara Roman Katolik seperti Sepanyol, Itali, Portugal, Poland, Perancis dan Luxembourg. Secara berperingkat-peringkat ianya mula digunakan di negara-negara seperti Jerman, Belgium, Switzerland, Belanda dan Hungary. Britain hanya menggunakan takwim ini dalam tahun 1752 dengan perubahan pada tarikh dilakukan pada hari Khamis 14 September, 1752 (tarikh ini ditukarkan daripada 2 September, 1752). Koloni-koloni British di seluruh dunia turut melakukan perubahan ini.
Akibat daripada penggunaan takwim Gregorian ini, terdapat dua tarikh bagi satu hari yang sama di antara abad ke-16 dan 18, bergantung kepada takwim mana yang digunakan. Mengikut konvensyen, tarikh yang menggunakan takwim Julian ditandakan dengan “O.S.” yakni old style manakala tarikh yang menggunakan takwim Gregorian ditandakan dengan “N.S.” yakni new style. Negara-negara lain di dalam dunia turut menggunakan takwim Gregorian ini secara berperingkat misalnya Jepun (1873), Mesir (1875), Eropah Timur (antara 1912 dan 1919), Rusia (1918) dan Turki (1927).
Ringkasan A.D. yang diterima pakai bagi pengiraan takwim Gregorian adalah ringkasan kepada “Anni Domini Nostri Jesu Christi” yang bermaksud “dalam tahun Tuhan Kami Jesus Christ”. Ini mempunyai konotasi kepada agama Kristian. Oleh kerana ini mungkin menyebabkan ketidaksenangan hati di kalangan penganut-penganut agama Islam dan Yahudi khususnya, maka ringkasan A.D. diganti dengan C.E. yakni “Christian Era” dan B.C. (“Before Christ”) diganti dengan B.C.E. (untuk Before Christian Era”). Namun demikian, di kalangan orang Islam di Malaysia dan rantau Melayu umumnya, ringkasan S.M. (“sebelum Masehi”) dan T.M. (“tahun Masehi”) lebih kerap digunakan.
4. Sistem pengiraan takwim astronomi
C.E. juga merupakan ringkasan bagi “Common Era”. Takwim Era Umum (Common Era Calendar) ini menggunakan pengiraan yang sama dengan takwim Gregorian, cuma yang menjadi perbezaan ialah ianya tidak menggunakan sistem B.C. dan A.D. sebaliknya ianya menggunakan sistem pengiraan astronomi.
Ahli-ahli astronomi meletakkan tarikh-tarikh sebelum tahun 1 A.D. dengan angka sifar dan angka-angka negatif mengikut turutan nombor, yakni “…-3, -2, -1, 0, 1, 2, 3…”. Di antara tahun 1 dan tahun –1 adalah tahun 0. Oleh itu, ahli-ahli astronomi telah menggunakan konvensyen berikut bagi pengiraan tahun:
1 A.D. = 1 C.E. = tahun 1
1 B.C. = 1 B.C.E. = tahun 0
2 B.C. = 2 B.C.E. = tahun –1, dan begitulah seterusnya
Seperti yang telah dinyatakan, takwim era umum ini adalah sama dengan takwim Gregorian, hanya dibezakan dengan sistem pernomboran B.C./A.D. tidak digunakan di dalam takwim era umum. Ini membawa kepada persoalan popular dekad 1990an ini, “bilakah alaf baru bermula?”
5. Bilakah bermulanya alaf baru?
Pandangan umum adalah alaf baru bermula daripada 1 Januari, 2000. Ini juga merupakan pandangan yang paling popular. Namun hakikatnya terdapat dua pendapat mengenai permulaan alaf baru. Jika seseorang itu berpegang kepada takwim Gregorian yang memulakan alaf pertama dengan tahun 1 A.D., maka permulaan alaf ketiga adalah pada 1 Januari, 2001. Namun demikian, seandainya seseorang itu berpegang kepada takwim era umum (C.E.) yang menyusun tahun dengan –2, -1, 0, 1, 2 maka alaf pertama bermula pada tahun 0 C.E. dan ini bermakna alaf ketiga bermula pada 1 Januari 2000.
Walaupun kebanyakan orang berpegang kepada pandangan kedua ini, pakar-pakar di dalam bidang pengiraan takwim rata-rata berpendapat bahawa alaf ketiga bermula pada tahun 2001. Perkataan ‘alaf’ atau millennium bermaksud ‘1000 tahun’. Jadi bolehlah dianggap bahawa alaf pertama adalah di antara 1 A.D. hingga 1000 A.D. termasuk kedua-dua tahun tersebut. Jadi bagi yang berpegang kepada pengiraan mengikut takwim Gregorian yang mempunyai konotasi Kristian, tarikh bermulanya alaf ketiga adalah pada 1 Januari 2001.
Bagaimanapun debat ini tidak berakhir di sini sahaja. Kelemahan sistem Anno Domini atau A.D. ini ialah ianya hanya bagi tahun-tahun 1 A.D. ke atas. Apabila kita membicarakan tahun-tahun sebelumnya, sistem A.D. menggunakan istilah B.C. yang mana tahun sebelum 1 A.D. adalah 1 B.C.
Ini dilihat sebagai satu kelemahan yang nyata terutama jika dilihat dari sudut saintifik. Jika ditanya berapa tahunkah yang terdapat di antara 6 B.C. dengan 6 A.D., jawapannya tidaklah semudah yang dijangkakan. Atas sebab inilah maka sistem C.E. diperkenalkan yang menggunakan sifar dan angka-angka negatif. Sistem ini memudahkan perkiraan di antara tahun dan penentuan tahun-tahun lompat.
Seperti yang telah dinyatakan tadi, dari sudut definisi, ‘alaf’ membawa maksud 1000 tahun, namun tidak ada definisi khusus yang menetapkan bahawa alaf baru mesti bermula pada satu-satu tarikh tertentu. Jika seseorang itu menggunakan sistem perkiraan takwim astronomi, alaf pertama boleh bermula dengan tahun 0 atau tahun 1. Namun demikian, secara teorinya tidak ada alaf pertama, kedua atau ketiga menurut sistem perkiraan ini kerana ianya hanyalah satu turutan nombor untuk memudahkan perkiraan tahun secara saintifik.
Realitinya, bila alaf baru bermula adalah penting hanya kepada penganut agama Kristian yang menyambut ulang tahun kelahiran al-Masih. Bagi penganut-penganut agama lain, bila bermulanya alaf baru sepatutnya tidak menjadi suatu perkara yang perlu diheboh-hebohkan. Penganut Kristian mungkin akan berpegang kepada sistem Anno Domini yang menetapkan bahawa alaf baru bermula pada 1 Januari, 2001.
6. Konotasi sambutan alaf baru
Mengapakah sebenarnya alaf baru disambut? Bagi penganut Kristian, ianya mempunyai konotasi keagamaan kerana alaf baru menandakan ulang tahun ke-2000 kelahiran al-Masih. Namun kepada orang lain, ianya mempunyai konotasi yang berbeza. Manusia gemar membahagikan masa kepada era sama ada dekad, abad atau alaf. Perubahan angka ‘ribu’ pada tarikh hanya berlaku sekali dalam seribu tahun. Semua ini mempunyai kaitan dengan keadaan manusia itu sendiri. Jika dilihat kepada sejarah, abad ini malah alaf ini menyaksikan pertumpahan darah dan tragedi yang berlaku dengan amat banyak dan dahsyat sekali. Mungkin bermulanya tahun 2000 dilihat sebagai satu tanda harapan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik. Tahun 2000 atau alaf baru dilihat sebagai simbol untuk membawa peradaban manusia ke tahap yang lebih baik.
Namun yang menjadi persoalan sekarang adalah apakah konotasi alaf baru kepada umat Islam? Adalah suatu perkara yang amat menarik bagi 1 Januari, 2000 untuk jatuh semasa sepuluh malam terakhir bulan Ramadan al-Mubarak. Ketika inilah dikatakan malam al-Qadr akan berlaku. Umat Islam disaran berlumba-lumba untuk beribadat untuk mengejar ganjaran yang tidak ternilai yang datang bersama malam yang amat istimewa ini. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. telah berfirman yang membawa maksud: “Sesungguhnya telah Kami turunkan Quran pada malam al-Qadr (malam mulia atau takdir). Tahukah engkau, apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Turun para malaikat dan roh (Jibrail) pada malam itu dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur setiap urusan. Selamatlah malam itu, hingga terbit fajar” [Surah al-Qadr, ayat 1-5].
Jadi adakah sesuai bagi seorang yang menggelarkan dirinya Muslim menyambut alaf baru dengan pesta, hiburan, parti dan hedonisme? Apatah lagi malam menjelang 1 Januari, 2000 itu berlaku di dalam bulan Ramadan yang penuh mulia, lebih-lebih lagi jika berlakunya malam al-Qadr pada malam tersebut. Tiada salahnya menyambut ketibaan alaf baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik. Malah adalah lebih baik kiranya sambutan ini diadakan dengan tahlil, tadarus al-Quran dan ibadat-ibadat di malam hari supaya keberkatan bulan Ramadan dapat diperolehi. Apa yang penting di sini adalah niat dan cara menyambut malam tersebut. Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas-lunas syariat Islam adalah dilarang dan ditegah. Umat Islam harus berpegang kepada hakikat ini.
Menurut pandangan Islam, peredaran masa adalah satu perkara yang biasa yang telah ditetapkan Allah s.w.t. sedemikian rupa. Dari satu saat ke saat yang lain, dari satu minit ke satu minit yang lain sehinggalah dari satu alaf ke satu alaf yang lain, ianya merupakan satu proses alam yang telah Allah s.w.t. tetapkan bagi dunia ini. Malah di dalam al-Quran al-Karim sendiri, banyak ayat yang diturunkan yang menegaskan peripentingnya masa di dalam kehidupan manusia. Jika ditinjau secara logik, 1 Januari, 2000 hanyalah satu hari di dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan yang besar kepada kehidupan manusia melainkan ianya menjadi tanda bermulanya ‘era’ baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian.
Islam mempunyai kiraan takwimnya sendiri. Sayyidina ‘Umar al-Khattab telah menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam. Pengiraan takwim Islam adalah berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan. Ini berbeza dengan pengiraan sistem A.D. dan C.E. yang melihat kepada kedudukan dan pergetakan matahari. Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari-hari kebesarannya banyak melibatkan kedudukan matahari dan pergerakan musim seperti Hari Easter dan seumpamanya.
Satu perkara yang mungkin wajar ditanya adalah mengapakan orang Islam begitu beria-ia meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharram? Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah merupakan satu cuti umum di dalam kalendar tahunan kita semata-mata?
Golongan muda terutamanya nampak begitu ghairah dengan sambutan tahun baru, apa lagi alaf baru. Memang tidak dapat dinafikan bahawa naluri golongan muda adalah ke arah keseronokan dan kegembiraan. Namun sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak agama kita yang suci ini. Sekiranya perlu disambut alaf baru ini, ianya perlulah dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik. Namun apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak, dan ini bukanlah satu perkembangan ke arah yang lebih baik.
Memang diakui bahawa adalah mudah untuk bercakap tentang keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial. Pada waktu yang sama agak sukar untuk mengenengahkan cara yang praktikal dan realistik untuk mengatasi masalah ini. Persoalan ini juga bukan suatu perkara yang baru dan seolah-olah tiada penyelesaiannya.
Kita bangga dengan kejayaan Malaysia menangani krisis ekonomi dengan cara kita sendiri. Kita menggunakan pendekatan ala Malaysia yang dianggap tidak konvensional. Namun kita telah membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia boleh melakukannya. Hakikat ini sudah tidak dapat kita nafikan lagi. Menjelangnya alaf baru ini juga membawa makna bahawa kita hanya mempunyai 20 tahun sahaja lagi sebelum tibanya tahun 2020 yang telah ditetapkan sebagai tahun bagi negara mencapai tahap negara maju mengikut acuan sendiri.
Dari sudut ekonomi memang kita telah berjaya mengikut acuan kita sendiri. Namun dalam aspek yang lain masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Aspek sosiobudaya khususnya perlu diberikan perhatian. Kita dapati bahawa perkembangan sosiobudaya bukanlah mengikut acuan kita sebaliknya mengikut preskripsi barat. Inilah yang terjadi dengan sambutan alaf baru ini yang mana rata-rata cara sambutan adalah bukan dengan acuan kita. Perkara ini wajar direnungkan bersama. Jika kita ingin maju ke hadapan menuju alaf baru, eloklah kita fikirkan cara untuk memajukan aspek sosiobudaya menggunakan acuan kita sendiri. Ini hanya boleh dilakukan oleh diri kita sendiri. Semolek-moleknya acuan yang digunakan ini adalah berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.