“Dan apabila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab; Sesungguhnya kami adalah orang yang hanya membuat kebaikan. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.” Peringatan daripada Allah ini dirakamkan dalam surah al-Baqarah ayat 11-12. Kerosakan yang berlaku pada hari ini tidak pun disedari oleh pihak yang mencetuskan kerosakan tetapi dirasakan seperti telah membuat kebaikan dan menjaga kepentingan awam. Padahal kerosakan tersebut semakin membarah dan berleluasa malah akan mengundang bencana lain pula.
Isu pencemaran daripada perlombongan bauksit terus hangat diperkatakan. Malah timbul kegusaran di hati masyarakat setempat lebih-lebih lagi saban hari mereka berdepan dan menyedut udara di sekitarnya. Bagi masyarakat awam, bukan hanya alam yang tercemar menjadi kebimbangan mereka tetapi juga status kesihatan diri. Situasi pada hari ini banyak memberi gambaran keparahan kesan daripada aktiviti tersebut terhadap alam sekitar tetapi jarang sekali difokuskan penilaian kesan kepada kesihatan manusia.
Bagi pengendali aktiviti perlombongan bauksit dan pihak yang mempunyai kepentingan keuntungan sudah pasti melihat isu pencemaran alam sekitar akibat daripada bauksit ini adalah perkara alami apabila berlakunya aktiviti perlombongan. Mereka tidak menyedari akan kemudaratan yang menjejaskan kehidupan manusia sekiranya dilakukan tanpa perancangan sewajarnya. Malah kerosakan alam itu terus menerus berlaku demi keuntungan dunia yang diraih.
Kesihatan persekitaran yang terjejas bakal menurunkan taraf kesihatan manusia sama ada dalam jangkamasa pendek atau panjang. Barangkali kesan kepada kesihatan yang timbul pada hari ini tidak begitu signifikan sekiranya dinilai dalam tempoh masa yang singkat. Tetapi, ia bakal mengubah status kesihatan awam secara total jika pencemaran alam ini terus berleluasa tanpa ada langkah pengawalan yang tuntas. Malah generasi yang akan datang juga akan turut terkesan akibat daripada aktiviti tersebut.
Bauksit banyak kegunaannya dalam penghasilan aluminium. Sudah pasti dengan perkembangan sains dan teknologi pada hari ini, manfaatnya kepada kehidupan manusia tidak boleh dipertikaikan lagi. Perlombongan bauksit pada hari ini, perlu dinilai tahap risiko serta kesan dan hubungkait dengan kesihatan awam juga perlu dikaji. Kita ingin menikmati hasil bumi iaitu bauksit tetapi dalam masa yang sama tidak boleh mengorbankan kesihatan dan maslahat umum.
Kumpulan mineral seperti alumunium hidroksida, titanium oksida, ferum oksida dan silika merupakan kompenen asas dalam bauksit. Pendedahan terhadap debu-debu silika dan udara yang mengandungi logam berat akan menjejaskan sistem pernafasan manusia. Dalam keadaan yang biasa, pendedahan dalam jangka masa singkat boleh menyebabkan pelbagai masalah alahan kulit, batuk, pedih hidung dan mata. Masalah ekzema boleh menjadi lebih serius dan mereka yang terdedah akan berisiko untuk dijangkiti batuk kering. Apa yang dikhuatiri adalah jika pendedahan terhadap pencemaran bahan tersebut dalam jangka masa lama dan kronik boleh membawa kepada penyakit yang lebih berbahaya. Dapatan daripada kajian awal mendapati bauksit yang disedut daripada udara dalam jangka masa lama dan terkumpul boleh membawa kematian akibat penyakit pernafasan dan debu alumina yang disedut boleh memberi risiko kematian akibat penyakit serebrovaskular.
Melihat keadaan ini, kajian morbiditi dan mortaliti perlu dijalankan dengan lebih lanjut untuk melihat kesan pencemaran bauksit kepada kesihatan awam. Barangkali timbul gejala akut lain dalam kalangan masyarakat setempat tanpa disedari atau mungkin kesan ketoksikan udara boleh membawa peningkatan komplikasi kelahiran dan kematian pramatang. Dalam isu ini, kesan kepada kesihatan masyarakat perlu dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam sekiranya populasi awam terdedah kepada kualiti udara yang tidak sihat dalam tempoh yang agak lama.
Negara kita juga perlu mengkaji standard antarabangsa yang diamalkan oleh negara pengeluar bauksit yang lain. Sekiranya wujud langkah pengawalan berkesan juga prosedur untuk menjalankan aktiviti perlombongan secara selamat dan mesra alam dipatuhi, pencemaran akibat bauksit boleh diminimumkan dan kesihatan masyarakat awam lebih terjamin. Selain daripada penjagaan alam sekitar, penjagaan kesihatan diri manusia juga penting untuk dititikberatkan dalam mencapai maqasid syariah.
Penggantungan aktiviti perlombongan bauksit seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan merupakan satu langkah yang baik dalam usaha membentuk pelan penyelesaian pencemaran. Sekurang-kurangnya, masih ada masa yang diperuntukkan untuk menilai kembali peraturan dan syarat yang sedia ada, dan ditambahbaik sebagai penyelesaian untuk dikuatkuasakan. Sekiranya dikesan terdapat peningkatan dalam kes-kes peyakit daripada sistem pernafasan, keadaan ini perlu dipulih kembali dengan langkah pencegahan yang lebih baik dan intervensi yang sewajarnya agar ia tidak mendatangkan mafsadat (kerosakan) kepada umum.
Setiap kejadian Allah dan hasil dari muka bumi ini ada manfaatnya, namun untuk mendapatkannya perlu dalam keadaan menjaga kemaslahatan semua masyarakat dan hidupan lain. Perlombongan bauksit boleh dilakukan kerana dunia moden pada hari ini banyak menggunakannya, namun perlulah mengikut cara yang betul dan terkawal. Jangan sampai ia berlaku dalam keadaan yang tidak munasabah dan di luar batasan. Apabila kegiatan di luar kawalan, kesan persekitaran seperti pencemaran air dan udara lebih parah dan akhirnya bencana alam yang lebih buruk akan berlaku. Kesannya bukan hanya kepada mereka yang terlibat dalam industri tersebut tetapi semua masyarakat sekeliling akan turut merasainya. Allah telah pun memberi peringatan kepada manusia dalam surah ar-Rum ayat 41 tentang kerosakan dan bencana di dunia pada hari ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia juga. Maka, ia perlu menjadi satu ibrah dan garis pengukur kepada penggiat industri tersebut mahupun masyarakat sebelum melaksanakan apa jua aktiviti pada hari ini agar kesan pencemaran yang ketara dapat dikurangkan.
Isu ini perlu dilihat dari aspek kebertangunggjawaban semua pihak terhadap amanah dan nikmat yang Allah kurniakan. Ia melibatkan pihak pemerintah, pengendali perlombongan, pekerja di tapak perlombongan juga masyarakat awam. Ini kerana ia merangkumi soal keselamatan persekitaran dan kesihatan umum. Penggunaan dan penerokaan sumber alam perlu dipelihara dan dipulihara agar tidak menjejaskan ekosistem di samping kelestarian alam sekitar tetap dijaga.
Penilaian risiko terhadap alam sekitar perlu dilakukan dengan lebih rapi apabila melaksanakan aktiviti perlombongan ini. Segala tindakan perlu berdasarkan pelan penyelesaian untuk menyelamatkan seluruh ekosistem. Kesihatan pekerja di tapak perlombongan dan masyarakat setempat juga perlu diambilkira dalam menilai tahap risiko akibat pencemaran.
Dengan adanya kajian lanjut, masyarakat lebih peka dan berhati-hati dalam isu ini. Pengendali juga boleh mengatur langkah pencegahan dan tindakan pengawalan yang lebih baik. Maka dengan itu, langkah-langkah keselamatan lebih dititikberatkan. Disarankan agar cara pengendalian perlombongan dan pengangkutan dikaji semula agar kesan kepada persekitaran dan kesihatan awam dapat dikurangkan. Pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu peka dengan situasi ini dan perlu melakukan perubahan drastik dengan mengambilkira kepentingan awam supaya tidak timbul masalah yang lebih teruk yang akan menggugat kesejahteraan dan kesihatan.
Alam sekitar yang terjejas, menyebabkan kualiti udara turut menurun dan sumber air juga akan tercemar. Secara tidak langsung, hidupan akuatik juga akan turut terkesan. Maka, isu ini bukanlah hanya berkisar di kawasan perlombongan semata-mata tetapi juga melibatkan sistem kehidupan secara keseluruhannya. Justeru, pakar-pakar daripada pelbagai bidang juga perlu menggembleng tenaga dan usaha dalam mengurangkan permasalahan kesihatan awam dan persekitaran ini agar tidak memanjangkan masalah yang sedia ada. Penyelesaian dan cadangan yang holistik perlu diusahakan agar keadaan tidak menjadi lebih serius.
Sihat dan bebas daripada pencemaran yang boleh membawa penyakit akan menjadikan masyarakat yang lebih produktif, berdaya saing dan dinamik. Islam tidak dapat dihayati dan diamalkan dengan sempurna tanpa kesihatan seseorang individu. Ini akan menjejaskan matlamat penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah. Urusan dunia ini tertakluk kepada bagaimana cara kita mengurus dan mengatur perjalanan peranan dan tanggunggjawab agar alam ini sentiasa berfungsi dengan stabil dan sempurna. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh al- Tirmizi; “Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya.”
Justeru, menangani isu pencemaran bauksit perlu dilihat daripada pelbagai sudut tanpa mengira kepentingan pihak tertentu sahaja agar tindakan yang diambil tidak menyebabkan kerosakan yang akhirnya akan berbalik kepada manusia kembali. Kita mengambil nikmat daripada alam, maka tidak wajarlah untuk menggadaikan nikmat paling agung yang dimiliki pada hari ini iaitu kesihatan.