Nisbah perceraian di kalangan masyarakat kita pada hari ini sebenarnya semakin meningkat dan ia sewajarnya membimbangkan kita. Ini kerana kita tahu bahawa kestabilan institusi rumah tangga adalah akar umbi kepada keutuhan sesebuah masyarakat dan seterusnya negara. Sekalipun perceraian yang berlaku adalah atas persetujuan bersama dan ia dibuat secara baik, tetapi ia tetap sesuatu yang mengandungi nilai perpecahan. Adalah amat malang apabila sesetengah perkahwinan hanya sempat dibina dalam tempoh beberapa jam selepas diakadnikahkan.
Di sisi agama Islam, perkahwinan adalah sesuatu yang sangat dituntut dan sehubungan dengan itu perceraian adalah perkara yang sangat dibenci. Kebencian ini adalah disebabkan agama Islam merupakan agama yang menganjur dan sangat menitikberatkan kasih sayang, penyatuan dan pemuafakatan. Apabila perceraian berlaku maka nilai-nilai yang baik itu menjadi rosak dan pecah bertaburan sebagai kesan kepada persengketaan dan kemelut keluarga.
Itulah sebabnya, bagi mengelak perceraian daripada berlaku dan dapat berlangsung sehingga ke akhir hayat, agama Islam telah mengajar umatnya dengan memberi panduan-panduan yang amat berguna kepada bakal-bakal pengantin. Agama yang dimiliki diri merupakan keutamaan dalam mencari teman hidup sekalipun tidak menafikan ciri-ciri lain yang disukai oleh mata dan hati. Imam Hassan al-Basri pernah didatangi oleh seorang bapa kepada seorang anak perempuan dan bertanyakan beliau perihal sifat yang bagaimana perlu ada pada calon suami anaknya. Al-Basri mengatakan bahawa sekiranya lelaki tersebut mencarikan calon suami untuk anak perempuannya atas dasar cinta, maka anak perempuannya itu akan dijaga dan dilindungi setakat kasih sayang mana yang dikandung dalam hatinya hidup dan belum padam. Apabila kasih sayang dan cinta itu pudar dan sudah tiada lagi, maka anak perempuannya mungkin akan dipersia-siakan. Sebaliknya, sekiranya dia mencari calon suami atas dasar agama, apapun keadaan yang berlaku suami yang beriman akan menjaga isterinya dengan penuh tanggungjawab.
Walaupun agama Islam membenci perceraian, akan tetapi ia bukan sesuatu yang tidak dibenarkan kerana agama Islam mendokong nilai-nilai perikemanusiaan. Pengalaman antara Thabit bin Qais dengan isterinya yang bercerai secara khuluk ialah antara contoh bagaimana agama merai dan mengiktiraf perasaan seseorang apabila merasakan sudah tidak mempunyai keserasian untuk hidup bersama sekalipun tidak ada perselisihan antara mereka.
Walaupun demikian, tidak sewajarnya sesebuah perkahwinan itu dianggap sebagai perjudian yang mudah sehingga perkara yang remeh dijadikan sebagai alasan untuk meruntuhkan istana perkongsian hidup. Hanya kerana pasangan tidak tahu berdandan atau tidak pandai membawa diri ke majlis keraian ia menjadi keaiban sehingga mengakibatkan persengketaan yang besar dalam rumah tangga. Bagi kita yang panjang akal, contoh-contoh seperti ini sememangnya tidak munasabah kerana ia kelemahan yang sangat boleh diperbaiki.
Tidak boleh menerima kekurangan pasangan atau pandangan yang tidak sehaluan merupakan antara alasan yang sebenarnya perlu disemak semula. Berbanding alasan perceraian yang disebabkan kezaliman, penganiayaan, penipuan atau sengaja dan enggan melaksanakan tanggungjawab yang disyariatkan secara sempurna.
Untuk kita mengukur sejauh mana munasabahnya alasan untuk bercerai seharusnya kita menggunakan neraca yang telah disediakan oleh agama. Syariah telah memberi garis panduan kepada pihak suami berkenaan kewajarannya untuk menceraikan isteri. Malah, Syariah telah memperuntukkan hukum-hukum tertentu bagi keadaan-keadaan tertentu semasa menjatuhkan talak kepada isteri. Contohnya, adalah makruh hukumnya menceraikan isteri yang baik dan taat kepada suami.
Sehubungan perkara ini, walaupun pihak isteri juga mempunyai hak untuk berpisah daripada ikatan perkahwinan sekalipun mereka tidak memiliki kuasa talak, mereka juga diberi panduan-panduan tertentu sekiranya merasakan rumah tangga yang dibina tidak memberi kebahagiaan kepada mereka. Menjadi isteri yang patuh, taat dan baik adalah jalan paling mudah untuk memasuki pintu syurga.
Pihak ketiga seakan sudah menjadi lumrah sebagai sebab kepada kehancuran rumah tangga dalam masyarakat kita pada hari ini. Antara cinta pihak ketiga dengan perkongsian hidup yang telah dibina bersama pasangan sedia ada, ada ketikanya sesetengah daripada kalangan kita lebih terbuai dengan sesuatu yang tidak bersifat kenyataan. Mungkin tidak dinafikan pasangan yang sedia ada tidak mempunyai kelebihan atau keistimewaan tertentu jika hendak dibandingkan dengan cinta hati yang baru muncul dalam kehidupannya. Persimpangan sebegini ada ketikanya mengundang ketewasan pada akal yang dangkal. Pesanan Imam Hassan al-Basri seharusnya direnungi dengan dalam dan penuh kesedaran kerana beliau sebenarnya menekankan sifat keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat.
Terdapat juga tanggapan yang mengatakan bahawa poligami adalah antara punca perceraian kepada perkahwinan sedia ada. Sehubungan itu, kita juga melihat sesetengah ‘poligami’ diamalkan sebagai tindakan melarikan diri daripada masalah yang timbul dalam perkahwinan yang pertama. Ia sebenarnya perkara yang sangat malang kerana masalah yang sedia wujud tidak diselesaikan terlebih dahulu, malah ditambah dengan beban yang baru. Apabila ini berlaku, ia mengundang perceraian kepada perkahwinan yang lama.
Sesetengah daripada kalangan wanita pula terburu-buru meminta cerai daripada suami masing-masing setelah mereka dimadu. Alasan perceraian hanya disebabkan suami ingin melaksanakan perkahwinan seterusnya (poligami), sebenarnya bukanlah alasan yang munasabah. Kecualilah dalam perkahwinan yang dibina telah wujud alasan yang syariii sifatnya, ataupun suami tidak berlaku adil ketika melaksanakan ‘poligami’. Mengapa tidak wanita pada hari ini bersatu hati dalam menerima amalan poligami dan menjadikan semua pihak dalam keadaan menang-menang? Wanita hari ini seharusnya meninggalkan stigma tradisi bahawa poligami hanya memberi kelebihan kepada sebelah pihak sahaja sementelah lelaki budiman pada hari ini mula meuar-uarkan bahawa hati mereka secara fitrahnya bersifat luas dan punya petak-petak (compartment) yang boleh diisi dengan beberapa kasih sayang. Berdasarkan kenyataan sebegini, makna cinta sejati seharusnya dapat ditafsir semula dengan lebih bijaksana. Apapun sekiranya sebarang tindakan dibuat tanpa kematangan dan kebijaksanaan, ia tentunya mengundang musibah dan kesakitan kepada semua pihak terbabit.
Akhir kata , institusi keluarga yang kukuh, aman dan seimbang akan melahirkan suasana hidup yang ceria dan sihat. Rasa tanggungjawab untuk mempertahankan rumah tangga akan melahirkan generasi yang sihat perasaannya, jasad dan pemikirannya. Rasa tanggung jawab ini pula akan mendidik diri untuk memiliki sikap tolak ansur dengan pasangan dan mengenepikan rasa mementingkan diri sendiri. Kepentingan bersama akan menjadi keutamaan kepada kedua-dua belah pihak suami isteri. Sekiranya berlaku perselisihan faham, semua pihak akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan keadaan. Maka perceraian dengan alasan yang tidak munasabah dapat dielakkan.