Aturan kewangan antarabangsa berlandaskan kredit ciptaan yang lumpuh merupakan peluang besar kepada Malaysia untuk memacu perkembangan dan mengepalai peralihan aturan kewangan dunia. Perlantikan Gabenor Bank Negara Malaysia sebagai salah seorang panel dalam rombakan aturan kewangan antarabangsa di bawah payung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah petunjuk bahawa dunia mula mengikhtiraf pendekatan dan kaedah yang telah mendasari aturan kewangan dan ekonomi Malaysia selama ini. Apa yang tinggal ialah bagaimana kita ingin memainkan peranan merebut peluang ini dan menerajuinya. Mungkin langkah kita selepas ini dapat menemui di mana kesudahan amalan pertukaran dinar emas yang negara pernah perkenalkan dahulu.
Kalau kita imbas kembali, Melaka dahulunya terkenal kerana kedudukannya yang strategik menjadi pusat rangkaian perdagangan dunia. Kemudian kita menyaksikan kawalan rangkaian ini diambilalih oleh orang lain setelah mereka menakluki dan menguasai Melaka. Kejatuhan Melaka bukan kerana ancaman luar tetapi akibat dari kelemahan dalaman. Perang saudara dan pertikaian perebutan kuasa yang berlaku telah memudahkan penaklukan. Kini Malaysia mempunyai aturan ekonomi yang strategik untuk menjadi pusat rangkaian perdagangan dunia. Kedudukan, keupayaan dan kelebihan strategik ini lebih bersifat tamsili jika dibandingkan dengan kedudukan strategik dari sudut geografi Melaka yang telah dijadikan sasaran penaklukan. Tidak mustahil juga, kedudukan strategik sekarang cuba diintai oleh orang lain dengan mengakui bahawa mereka adalah pelantar dan pengamal aturan yang sama serta cuba menguasai rangkaian perdagangan dunia. Negara bukan sahaja perlu terkenal dengan cetusan awal aturan ini tetapi dapat membuktikan kemampuan mengawalnya untuk kepentingan bersama. Oleh itu, kelebihan cetusan aturan kewangan Islami yang telah diiktiraf dunia ini perlu diperkemaskan secepat mungkin supaya kelebihan yang dimiliki tidak dirampas oleh orang lain. Kalau dilihat kepada keseluruhan apa yang berlaku sekarang, bolehlah dikatakan bahawa peluang untuk Malaysia terbuka luas untuk menerajui dunia dalam rangkaian perdagangan dunia tetapi ianya tetap bergantung kepada persediaan yang kita miliki.
Aturan kewangan amat penting dalam pembangunan dan kepenggunaan sesebuah negara. Tanpa pembiayaan kewangan sesebuah projek, keseluruhan projek pembangunan juga tidak akan dapat mencapai maksudnya. Pendekatan pembiayaan yang digunakan dalam aturan ekonomi biasanya adalah dengan amalan kredit. Kredit difahami umum sebagai memberi pendahuluan atau pinjaman wang kepada peminjam sama ada dengan kadar faedah atau tidak. Dalam hal ini, sebagaimana yang kita ketahui bahawa amalan kewangan biasa tidak mementingkan sama ada terdapat amalan ekonomi atau tidak asalkan kadar faedah diperolehi dari sesuatu pinjaman. Lebih besar faedah, lebih dialu-alukan.
Kemudahan kredit merupakan tulang belakang pembiayaan sebarang usaha pembangunan, pembinaan dan penggunaan serta urusan perdagangan dalaman dan luar negara. Apabila asas kepada aturan kredit atau membentuk kredit tidak disandarkan kepada nilai ekonomi tertentu serta penuh dengan keraguan, maka sebarang bentuk kekayaan yang nampak di mata kasar hanyalah seperti gelembung-gelembung buih yang akan pecah pada bila-bila masa sahaja. Itulah yang berlaku dalam krisis yang dihadapi oleh Amerika Syarikat. Kemampuan institusi kewangan dan insuran telah jatuh dalam usaha untuk membentuk dan memberi kredit menyebabkan banyak projek pembangunan tidak dapat dibiayai dan terbengkalai. Pendeposit kepada institusi tersebut pula telah hilang keyakinan dan mengeluarkan wang mereka menjadikan institusi tersebut muflis. Kerugian yang dialami dan kemampuan memberi pinjaman telah lumpuh sama sekali. Keadaan ini telah memaksa syarikat-syarikat dalam rangkaian industri lain juga tidak berupaya mendapatkan pembiayaan dan terpaksa juga gulung tikar atau mengurangkan tenaga kerja. Tekanan tambahan dari kurangnya permintaan barangan dari pasaran menyebabkan syarikat mengalami kerugian dan tidak dapat meneruskan operasi.
Kesemua sebab ini membawa kepada berlakunya pembuangan kerja, hilang sumber pendapatan dan kuasa beli seterusnya menjejaskan keseluruhan aturan ekonomi sedia ada. Sekiranya ada institusi yang mampu menyediakan kemudahan kredit, mereka mengambil langkah yang lebih berhati-hati dengan mengenakan syarat yang ketat bagi sebarang pembiayaan. Inilah fasa kedua yang dialami oleh Amerika Syarikat menyebabkan kelembapan menekan pergerakan pasaran. Dagangan import dan eksport juga terjejas akibat dari kemampuan pengeluaran dalaman untuk dieksport atau kemampuan membayar barangan dan perkhidmatan yang diimport turut sama terjejas.
Ekonomi Amerika Syarikat merundum kerana mementingkan keuntungan faedah dari nilaian apungan yang dicipta dalam bentuk sijil unit saham. Walaupun unit saham berlandaskan perumahan dan hartanah yang pada pandangan umum mustahil untuk mengalami kejatuhan ternyata telah merentap keseluruhan aturan kewangan dan ekonomi negara. Ditambah pula dengan ketiadaan kecekapan dan ketegasan dalam polisi, keseluruhan aturan telah dipacu ke arah kepentingan masing-masing sehinggalah rakyat menjadi mangsa. Kita takuti perkara yang sama berlaku di negara kita dan menyedari pentingnya kita mencari jalan keluar kepada tempias dari permasalahan ini. Usaha yang dilakukan bukan sahaja untuk kepentingan rakyat Malaysia tetapi menjadi ilham di peringkat antarabangsa.
Pada tahun 1997 dan 1998, Malaysia yang mengalami kemerosotan ekonomi telah berjaya menghadapinya tanpa bantuan dari sumber asing. Tambatan nilai matawang, tegas dalam perlaksanaan polisi dan kerancakan kepenggunaan dan amalan ekonomi dalaman merupakan ramuan ketahanan Malaysia pada masa itu. Kemungkinan inilah menjadi sebab utama yang dapat dibanggakan di samping kejayaan Malaysia mencetuskan aturan kewangan Islam bagi menggantikan aturan lazim yang diamalkan. Apa yang kita telah pelajari dari semua yang berlaku ialah aturan kewangan mestilah berlandaskan kepada amalan ekonomi sebenar sebagaimana yang telah menjadi dasar asas kepada ekonomi Islami. Dengan berpanjikan kefahaman ini, keseluruhan kerangka aturan kewangan sedia ada perlu diselaraskan kepada falsafah ini.
Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes melibatkan Bai’ Bithamani Ajil (BBA) yang diputuskan baru-baru ini merupakan satu petanda bagi pengamal perbankan. Apa khabarnya pembangunan aturan pertukaran dagangan berdasarkan Dinar Emas? Di mana tahap keberanian dan keyakinan institusi penawar perkhidmatan kepada aturan kewangan Islami? Apakah masih tiada kepastian kepada piawaian audit kewangan dan syariah manakah yang paling sesuai untuk digunapakai atau memadai dengan menggunakan Garis Panduan dari Bank Negara sahaja untuk memacu kerangka amalan antarabangsa? Bolehkah kita usahakan sesuatu kepada falsafah zakat dalam Islam agar dijadikan sebagai asas kepada aturan percukaian negara?. Bagaimana dengan ketegasan badan yang memberi pensijilan halal terhadap keakuran kehendak piawaian halal sebenar? Banyak lagi persoalan yang masih belum kita selesaikan.
Terbukti bahawa pasaran dan pemasaran barangan serta perkhidmatan Islami adalah merupakan wadah baru perjuangan alaf ini. Faham globalisasi yang rakus merebut kekayaan negara lain oleh syarikat-syarikat besar ternyata telah cedera tetapi tidaklah kita tolak sama sekali. Globalisasi perlu digendung bersama agar kebaikannya dapat dimanfaatkan. Marilah kita renungi usaha mencari jalan memulihkan keharmonian dalam perjuangan keadilan bersama. Peluang-peluang pembangunan dan penyelidikan dalam bidang ini perlu diterokai secepat mungkin. Kepakaran sedia ada perlu dikekalkan di dalam negara berbanding dari mengaut pulangan secara persendirian di tempat lain. Institusi berkaitan perlu mencari titik kepada matlamat yang sama. Persefahaman di semua peringkat wajar dijadikan landasan kepada penambahbaikan aturan dalam kerangka perundangan. Semoga suatu masa nanti, negara berupaya menjadi pelantar aturan kewangan dan ekonomi dunia dengan kecekapan kawalan yang tidak dapat dipersoalkan lagi.