GAMBARAN kehidupan umat Islam pada masa ini seolah-olah membayangkan bahawa kita tidak mempunyai identiti yang dapat ditonjolkan setanding dengan umat Islam di abad ke-12.
Barangkali ini adalah keluhan dan kebimbangan dilahirkan oleh rata-rata umat Islam yang sedar dan celik terhadap perubahan semasa.
Suasana kemerosotan identiti ini sangat dirasai terutamanya di zaman perkembangan tamadun manusia yang begitu pesat di mana kemajuan sains dan teknologi seolah-olah dikuasai penuh oleh Barat.
Tanggapan sebegitu nampaknya diterima umum kerana akhir-akhir ini hampir keseluruhan kemajuan teknologi dikuasai Barat manakala umat Islam pula lebih berperanan sebagai pengguna kepada teknologi tersebut.
Mutakhir ini kemampuan mereka menguasai teknologi dan mengembangkan tamadun kebendaan memang tidak diragui dan melayakkan mereka berada di tempat teratas.
Keadaan ini sekali gus menundukkan negara-negara umat Islam, sungguhpun negara-negara yang didiami oleh orang-orang Islam yang kaya dengan hasil bumi anugerah Tuhan, dan berada di tempat yang strategik di peta dunia tidak berperanan dengan sewajarnya.
Lebih malang lagi apabila hampir kesemua negara umat Islam disifatkan sebagai negara dunia ketiga yang bergantung masa depan hidupnya pada dunia Barat.
Keadaan yang wujud ini sebenarnya berkait rapat dengan kesilapan umat Islam itu sendiri yang melihat Islam hanya sebagai agama di tikar sembahyang sahaja, sedangkan Islam itu lebih luas dan mencakupi setiap bidang kehidupan.
Umat Islam lebih suka mendalami bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan fikah, usuluddin, tasawuf dan akidah sahaja, kerana lazimnya mereka dididik dan cenderung kepada bidang yang sedemikian.
Penekanan terhadap bidang-bidang yang lain seperti sains, hikmah, mantik serta pembangunan dan kejuruteraan kurang diberi perhatian.
Justeru, penonjolan cendekiawan-cendekiawan dan para ulama di bidang sains agak jarang didengar umum.
Di Malaysia khususnya, negara yang bermazhab Shafie, apabila bercakap tentang Imam Shafie, maka kita lebih arif mengenai ilmunya di bidang fikah dan tasawuf sahaja.
Sedangkan Imam Shafie semasa hayatnya pernah menyatakan bahawa orang Islam itu sendiri telah menghilangkan satu pertiga daripada ilmunya dan menyerahkannya kepada Yahudi dan Nasrani.
Daripada kenyataan tersebut dapat kita fahami bahawa sindrom memandang rendah terhadap penguasaan ilmu di bidang sains telah wujud di zaman Imam Shafie lagi, sehinggakan ditulis di dalam kitab-kitab sejarah bahawa apabila sakitnya seorang Muslim, maka tabib daripada kalangan orang Nasrani terpaksa dicari ekoran kekurangan tabib di kalangan orang Islam.
Tidak ramai di antara kita yang mengetahui bahawa Imam Shafie adalah seorang yang berjaya menguasai bidang perubatan.
Apabila ia ditanya oleh khalifah Harun ar-Rashid tentang penguasaan ilmunya di bidang perubatan, beliau berkata, “Saya mengetahui pendapat orang-orang Rom seperti Aristotle, Anbaqqilinos dan Mahhowarios serta mengetahui bahasa mereka. Dan saya juga mengetahui apa yang ditulis dan dikembangkan oleh para tabib Arab dan ahli falsafah India dan apa yang dicatat oleh sarjana-sarjana Parsi.”
Beliau seterusnya menegaskan bahawa perkembangan ilmu Islam sebenarnya tidak berkesudahan dan tanggungjawab ini seharusnya dipikul oleh generasi kemudian dalam usaha memastikan keupayaan umat Islam dalam menguasai ilmu tidak terputus.
Umat Islam harus sedar bahawa hanya Islam satu-satu agama yang meletakkan ilmu pada kedudukan yang tertinggi. Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam di kurun ke-8 hingga 12 telah mencapai tahap penguasaan ilmu yang tinggi, sehingga mereka dijadikan tempat rujukan oleh sarjana-sarjana Barat.
Sehingga hari ini manuskrip kejayaan orang-orang Islam ini, sama ada di bidang perubatan, falak, hisab, falsafah dan sebagainya masih lagi tersimpan rapi di kebanyakan perpustakaan besar dunia, walaupun sebahagiannya telah dimusnahkan oleh bangsa Monggol ketika menyerang kota Baghdad suatu ketika dahulu.
Sebagai umat Islam yang mempunyai kesedaran, kita tidak mahu fakta sejarah ini hanya dijadikan sebagai bahan sampingan sahaja.
Apa yang harus dilakukan ialah selain memberi penekanan serius terhadap masalah akidah dan akhlak yang melanda umat ini, harus juga ditekankan secara seimbang soal bagaimana umat Islam boleh kembali gemilang di bidang sains.
Menyedari hakikat bahawa pembentukan tamadun dan peradaban Islam tidak lepas lari daripada pengaruh wahyu yang seterusnya mempengaruhi sains, maka pendekatan sebegini adalah perlu bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan atau bergantung selama-lamanya kepada Barat dalam menguasai ilmu sains dan teknologi.
Cita-cita ini juga adalah berdasarkan kepada pengalaman bahawa teknologi akan mengubah negara dalam masa yang singkat.
Sama ada disedari atau tidak, sebenarnya umat Islam mempunyai potensi yang tersendiri untuk membangunkan sains mereka tanpa bergantung harap kepada mana-mana pihak.
Keupayaan dan kekuatan ini sebenarnya terkandung dalam ajaran-ajaran suci Islam itu sendiri.
Kemampuan Islam ini telah diakui oleh seorang ahli sosiologi Barat, yang bernama Ernest Gellner. Menurut beliau, “Tradisi agung Islam boleh dimodenkan tanpa perlu mengalah kepada pihak luar dan ia boleh menjadi lanjutan kepada pelbagai dialog dalam umat sepanjang sejarah.”
Menurutnya lagi, “Islam ialah satu-satunya agama yang mampu mempertahankan sistem keimanannya dalam menghadapi cabaran abad moden ini walaupun umat Islam gagal menembusi zaman dan mempelopori umat manusia memasuki abad moden.”