MENGIKUT Wawasan 2020, Malaysia akan mencapai status negara maju dalam tempoh 15 tahun lagi.
Namun, beberapa buah negeri di Malaysia telah berazam untuk mencapai status negeri maju lebih awal daripada itu. Misalnya, Kedah dan Melaka yang sama-sama menjadi sasaran pencapaian status negeri maju pada 2010.
Berbanding negeri-negeri lain, Selangor telah lebih awal mengisytiharkan pencapaian status negeri maju iaitu pada 27 Ogos lepas.
Sesungguhnya, mengejar kemajuan adalah sesuatu yang dituntut dalam agama Islam. Melalui laungan azan, umat Islam diseru untuk menuju kejayaan (Falah) lima kali dalam sehari.
Mengejar status negeri atau negara maju adalah juga satu bentuk kejayaan dalam kehidupan kita di dunia ini.
Selain itu, mengejar kemajuan adalah naluri kejadian manusia yang sentiasa mahu memperbaiki keadaannya dari semasa ke semasa.
Al-Quran sendiri banyak menceritakan tentang kerajaan-kerajaan zaman lampau yang kuat dan maju. Salah satu daripadanya ialah kerajaan Saba’ yang diperintah oleh Ratu Balqis.
Beliau memiliki segala yang diperlukan oleh seorang pemerintah seperti harta kekayaan, bala-tentera, ilmu pengetahuan dan sebagainya (Surah an-Naml:23).
Empangan Ma’rib yang terkenal menjadikan negeri tersebut begitu makmur dan dapat mencapai tamadun yang tinggi.
Begitu juga dengan kerajaan Nabi Sulaiman yang pastinya lebih hebat daripada kerajaan Saba’.
Seni bina istananya sahaja amat mengagumkan sehingga Ratu Balqis menyingsingkan kainnya ketika mahu menjejakkan kaki di istana tersebut kerana pada sangkaannya lantai yang diperbuat dari kaca itu dipenuhi air.
Dua kerajaan tersebut iaitu Saba’ dan Nabi Sulaiman memiliki kehebatan tamadun mengikut ukuran zamannya. Di abad ke-21 ini, kemajuan sesebuah kerajaan itu hebat dengan ukuran zamannya pula.
Pengisytiharan Selangor sebagai sebuah negeri maju adalah berdasarkan kepada pencapaian-pencapaiannya dalam beberapa penanda aras tertentu yang mengukur empat faktor utama iaitu prestasi ekonomi; kecekapan kerajaan; kecekapan perniagaan dan akhir sekali prasarana atau infrastruktur dalam pelbagai bidang.
Menurut ukuran ini, sesebuah ekonomi dianggap maju apabila ia mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus kedudukan satu hingga 20 dalam setiap 75 penanda aras terpilih semasa mereka dibandingkan dengan 31 negara dan wilayah yang digunakan sebagai perbandingan.
Pada tahun 2004, Selangor telah pun mencapai tahap 77.3 peratus iaitu melebihi tahap minimum peratusan yang diperlukan untuk pengiktirafan sesebuah negara atau ekonomi maju.
Walaupun kemajuan ekonomi adalah indikator penting dalam menentukan kemajuan sesebuah negara, pembangunan sosial juga tidak boleh diketepikan sekiranya kita mahu maju mengikut acuan Islam.
Dalam Islam, pembangunan atau kemajuan yang sebenar merujuk kepada pembangunan insan semata-mata. Memang benar bahawa sebuah negeri maju bukanlah negeri yang bebas dari masalah ekonomi dan sosial.
Tetapi, sebuah negeri maju boleh berusaha keras untuk memastikan masalah-masalah yang berlaku di negeri tersebut adalah terkawal.
Untuk mencapai dan mengisi status negeri dan negara maju ini memerlukan kerjasama dari semua pihak, baik kerajaan, mahupun rakyat.
Kerajaan negeri atau Pusat pula sememangnya akan terus memainkan peranan mereka demi mencapai matlamat murni itu.
Dalam hal ini, rakyat juga ada peranan yang perlu mereka pikul.
Rakyat bukan sahaja berfungsi sebagai penerima segala nikmat kemajuan yang ada, tetapi juga perlu memainkan peranan sebagai penyumbang bagi memastikan matlamat itu tercapai dan berterusan.
Pada masa sama, tingkah laku rakyat juga perlu berubah selaras dengan kemajuan infrastruktur yang ada.
Segala kemudahan hendaklah digunakan dengan cermat dan dijaga secara baik agar ia dapat dinikmati semua untuk jangka masa yang lebih lama.
Budaya cintakan ilmu yang bermanfaat, menghargai masa, menjaga kebersihan, amalan gaya hidup sihat dan memiliki kesedaran sivik yang tinggi adalah antara budaya masyarakat bertamadun tinggi yang mesti ada dalam diri setiap rakyat maju.
Mentaliti, nilai dan sikap masyarakat bertamadun ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dizahirkan pada diri orang Islam kerana sesungguhnya ia juga merupakan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam sejak lebih 1,400 yang lalu.
Aspek penting dalam pembangunan masyarakat ialah pembangunan insan manakala aspek penting dalam pembangunan insan ialah melahirkan manusia yang beriman dan bertakwa.
Mereka yang mempunyai ciri-ciri ini bukan sahaja akan dapat menyumbang kepada kemajuan berkenaan, malah dapat menguruskan kemajuan tersebut dengan berkesan.
Itulah sebabnya Allah s.w.t. memerintahkan agar manusia tidak melupakan akhirat dalam mencari bahagiannya di dunia.
Kisah-kisah dalam al-Quran yang menunjukkan kejatuhan kerajaan-kerajaan yang kuat kerana tiadanya iman dan takwa di kalangan warganya, perlu dijadikan iktibar untuk kita dalam menuju ke arah status negeri dan negara maju ini.