Pemikiran berdasarkan sains tidak boleh dinilai sebagai bersifat sementara kerana ia memberi makna-diri atau identiti kepada sesuatu kebudayaan. Oleh kerana itu, sambil pemikiran perseorangan boleh dirobah dengan mudah, pemikiran yang berasaskan sains, tidak. Darjat ketiga berkenaan dengan asas metafizika bagi semua pemikiran bertertib dan perseorangan; dan kerana itu adalah dasar yang berasaskannya pemikiran perseorangan ditetapkan, yang kemudiannya menghasilkan pemikiran bertertib. Fikiran-fikiran bertertib dan perseorangan hanya boleh menjadi kekal sejauh yang batas-batas hakaik dan ilminya terbentuk dari asas metafizika tersebut. Ini merujuk kepada asas metafizika yang memperkenankan pemikiran, kesahihan, dan burhan. Oleh sebab itu, sekiranya asas metafizika tersebut mengalami perubahan, maka fikiran-fikiran bertertib dan perseorangan juga mengalami perubahan. Walau bagaimanapun, keadaan yang sebaliknya tidak semestinya benar; iaitu pemikiran perseorangan sememangnya boleh melalui perubahan, yang selanjutnya mempengaruhi pemikiran bertertib tetapi tanpa menjejaskan asas-asas metafizika. Asas-asas metafizika tersebutlah yang menghasil dan mentakrifkan apa yang difahami sebagai ‘pandangan-alam’.
Secara umum, kita boleh menerima keterangan bahawa pandangan-alam Barat membangun dalam sejarah; lain kata, pandangan-alamnya telah dan masih lagi terhasil dan terbentuk dari kebudayaan dan sederet tradisi kesarjanaan yang berturutan yang tiap satunya ditandai dengan persekitaran ideologi, yang asas-asasnya teguh berpangkal dalam perjalanan sains yang pegangannya adalah berdasar semata-mata kepada alam shahadah yang boleh dilihat. Oleh itu, bolehlah disimpulkan bahawa ia diasaskan kepada satu semangat yang menekankan kepentingan dugaan nazari yang terumus terutamanya dari pengamatan maklumat pengalaman inderawi, apa yang kelihatan pada mata, terbatas kepada alam pengalaman inderawi, alam makhluqat.
Kerana itu, nasib pandangan-alam ini adalah bergantung kepada paradigma-paradigma ideologi. Tambahan lagi, pandangan-alam itu juga menerima baik pemisahan antara yang kudus dengan yang nista, antara akhirat dengan dunia. Hakikatnya, pandangan-alam tersebut bukanlah berpunca dari sumber yang ditanzilkan, dan kerana itu tidak kekal, tergantung kepada perumusan berterusan ideologi-ideologi baru. Memandangkan pandangan-alam dunia Barat tidak bersumber dan tidak bergantung kepada kebenaran yang ditanzilkan, bolehlah dihujahkan secara yang munasabah bahawa tidak ada unsur-unsur yang penting dalam pandangan-alam tersebut.
Berlawanan dengan itu, pandangan-alam Islam tidak lahir dari kebudayaan atau kegentingan masyarakat. Pandangan-alam Islam juga tidak bergantung kepada sejarah atau perjalanan penemuan sains. Ia tidak memperkenankan pemisahan antara yang kudus (akhirat) dengan yang nista (dunia). Sebaliknya, pandangan-alam itulah yang melahirkan kebudayaan dan seterusnya peradaban tamadun. Ringkasnya, Wahyu Tanzil merencanakan unsur-unsur utama pandangan-alam, yang ilmu mengenainya berdasar kepada keyakinan. Dari penjelasan sepintas lalu ini, bolehlah disimpulkan secara yakin bahawa, apa yang dimaksudkan sebagai pandangan-alam dalam tinjauan Islam, adalah pandangan mengenai hakikat dan kebenaran yang diperlihatkan pada renungan akali peri kewujudan semesta yang ditayangkan oleh Islam. Pandangan-alam Islam tidak mengalami masalah berkenaan ilmu; wahyu tidak bercanggah dengan upaya akal, dan akal mampu memahami kebenaran-kebenaran yang dinyatakan oleh wahyu.
Kebudayaan
Dalam bahasa yang mudah, pandangan-alam Barat adalah cara mana alam shahadah difahami dan ditafsirkan. Penafsirannya adalah bersandarkan kepada amalan kebudayaan atau tradisi dan teori-teori sains paling berpengaruh yang bergantung kepada maklumat alam shahadah. Berlawanan dengan ini, pandangan-alam Islam diperikan oleh wahyu, yang amalan budaya, tradisi dan sainsnya, berpunca kepada wahyu. Yakni, satu pandangan-alam yang menciri dan mentakrifkan kedua-duanya yang jasmani dan yang ghaib.
Penelitian yang saksama terhadap sejarah pemikiran Islam mendapati bahawa, mulai abad kesembilan, faham-faham yang berdaya untuk merobah pemikiran menerima ilmu hisab sebagai kaedah sains yang jitu, Akal Murni yang bersifat bebas dari kesalahan, kemustahilan membuktikan kewujudan maklumat ghaib dengan menggunakan mantiq semata-mata, dan penciptaan berterusan tanpa henti. Faham-faham sedemikian dipupuk oleh al-Kindi, al-Biruni, Ibn Sina, al-Ghazzali, dan Ibn Rushd. Cita-cita ilmiah mereka telah membimbing haluan pemikiran moden dan perjalanan pemikiran sains untuk abad-abad berikutnya. Menjelang zaman al-Ghazzali, ilmu mantiq telah diterima sebagai kaedah utama untuk memahami ilmu kalam dan sains; al-Ghazzali kemudian telah menunjukkan bahawa ilmu mantiq semata-mata tidak mampu memahami ilmu berkenaan hakikat-hakikat ghaib.
Kecenderungan serupa muncul dalam pemikiran pertengahan Eropah pada awal abad ke 13. Anselm, misalnya, berhujah adalah mustahil untuk membuktikan kewujudan Tuhan, apatah lagi untuk menggambarkan tasawuf wujud qudsi. Padahal, menurut banyak ajaran agama, Tuhan mencipta alam semesta dan kandungan isinya. Keyakinan ini mengandaikan bahawa peringkat kejadian mempunyai detik permulaan dan wujudnya “Yang Maha Berilmu dan tujuan akhir di sebalik aliran sejarah alam semesta”. Thomas Aquinas, dalam Summa Theologica merakamkan bahawa “tiada yang kekal-abadi melainkan Tuhan. Oleh kerana itu ia tidak boleh dibuktikan secara burhani.” Faham mengenai mustahilnya keabadian menandakan perbezaan paling penting antara pemikiran klasik dan moden.
Dalam tradisi pemikiran Islam, falsafah pergerakan sangatlah utama kepentingannya. Upacara agama yang sangat penting, iaitu du‘a, tidak melibatkan menghendaki apa yang bersifat keupayaan daripada Tuhan supaya keupayaan tersebut menjadi nyata. Oleh kerana Tuhan adalah Pencipta alam semesta, dengan segala isi kandungannya, Dia menunaikan permintaan seseorang mukmin. Akan tetapi, seseorang itu tidaklah bebas secara mutlak. Dan justeru, seseorang itu bukanlah asal kepada pergerakan melainkan Tuhan semata-mata. Aristotle merujuk kepada Tuhan sebagai Penggerak Awal yang memberikan rupa kepada maddah. Dia juga Zihin Murni, penggerak yang tidak bergerak oleh kerana prinsip pergerakan merujuk kepada perubahan antara perkara-perkara yang berlawanan. Dalam falsafah silam, proses pemikiran perlu dipertimbangkan nisbah hakikatnya kepada Tuhan atau Wujud Yang Maha Agung. Menurut ajaran kuno, sesuatu itu pada hakikatnya adalah wujud zihni sebelum wujud khariji oleh kerana wujud zihni itu merupakan natijah Akal Kulliyy. Oleh kerana itu, segala sesuatu difahami sebagai munasabah pada akal dan kefahaman. Justeru darjat tertinggi boleh dicapai dalam falsafah adalah berkenaan ‘irfan.
Kesimpulan umum seterusnya yang boleh diambil adalah bahawa ajaran-ajaran agama, ilmu-pengetahuan sains, dan mantiq atau ilmu hisab bergantung kepada kerangka ilmu hakaik. Dakwaan zaman moden awal mengenai ilmu hisab sebagai kaedah pembuktian dan sebagai kaedah sains murni boleh diamati dalam pemikiran Islam abad kesembilan. Sebahagian filsuf sains tabii tidak bersetuju dengan pendapat ahli-ahli metafizik mengenai alam semesta. Misalnya, walaupun al-Biruni menyanjung tinggi falsafah Ibn Sina, dia menyangkal pandangannya mengenai ilmu falak. Sambil ahli-ahli metafizik seperti al-Farabi dan Ibn Sina bersandar kepada ilmu mantiq, para filsuf sains tabii seumpama al-Kindi dan al-Biruni percaya kepada kaedah ilmu hisab. Faham-faham awwali mengenai kaedah matematik dimajukan oleh Jabir ibn al-Hayyan, al-Kindi, Ibn al-Haytham, dan al-Biruni. Jabir ibn al-Hayyan adalah seorang filsuf sains tabii yang dipengaruhi oleh aliran baru-Phythagorisma dan neo-Platonisma. Dia menolak penggunaan tasawwurat kerana menurutnya, tasawwurat adalah dalam pengalaman. Kefahamannya mengenai sains adalah bersandarkan kammiyyat dan ahkam tabi‘iyyat yang dapat diukur-sukat, yang dinamakannya al-Hawas. Sains, pada pandangannya bergantung kepada pertalian matematik antara tasawwurat. Pada pendapatnya, jika seseorang itu boleh mendirikan sains melalui pertalian matematik dan mengalami perihal-ehwal tabii, dia akan mampu meniru hal-ehwal tabii dan bahkan mencipta organisma yang tidak pernah dilihat sebelumnya dalam alam tabii. Al-Kindi menggunakan kaedah matematik untuk menghujahkan ketidakterhinggaan alam semesta. Al-Kindi menghujahkan bahawa ilmu hisab bukanlah kaedah khitabah tetapi adalah kaedah burhan. Beliau mendebatkan bahawa ilmu hisab lebih utama daripada ilmu mantiq sejauh yang berkenaan dengan sains kerana prinsip-prinsip burhan hanya boleh dicapai menerusi ilmu hisab.
Pemikiran
Satu daripada hubungan yang lebih utama antara Barat moden awal dan pemikiran Islami telah dimantapkan menerusi filsuf Andalusia Ibn Rushd. Banyak faham-faham ilmiahnya telah tersebar kepada falsafah Barat di Padua, Bologna dan aliran Parisienne dalam abad ke13 dan ke 14. Cita-cita ilmiah Ibn Rushd telah mempengaruhi Gallileo dan ahli fizik moden awal, Kepler. Keduaduanya datang dari perbahasan tradisional mengenai fizik yang berasaskan ilmu hisab. Copernicus menggunakan lunas-lunas yang sama berkisar pergerakan bumi kepada pergerakan kawakib dan mencuba untuk menjelaskan ilmu falak selaras dengan tertib ilmu hisab. Copernicus berpendapat yang setiap zarah yang mengisi dunia memiliki daya-berat atau graviti. Menurut Gallileo, segala sesuatu sentiasa berada dalam keadaan bergerak. Lain dari menumpu kepada penggerak yang tidak bergerak seperti dalam perhatian para filsuf kuno, filsuf moden mengamati persoalan bagaimana untuk memberhentikan pergerakan tersebut. Hukum inersia Galileo menjadi rangka-kerja dasar fizik aliran Newton.
Boleh kita simpulkan yang soal utama dalam logik moden dicirikan oleh permasalahan bahasa. Ini terutamanya menuntut ketetapan apa jenis bahasa yang kita maksudkan. Dalam pemikiran silam persoalan bahasa adalah berhubung dengan permasalahan peristilahan dan bahasa yang berasaskan sains, dan asal-usul katanama. Sebaliknya, dalam pemikiran moden, ia adalah berhubung dengan bagaimana tata-tertib berfikir boleh ditetapkan dengan menggunakan peristilahan yang secara hakikatnya penuh dengan objek matematik. Dasar asasi kefahaman moden mengenai bahasa di Barat telah ditetapkan oleh Gallileo dan pengikutnya Descartes dan Leibniz.