Di dalam Surah al-Anfal ayat ke-60, Allah memperingatkan kaum Muslimin supaya sentiasa bersiap sedia dengan segala bentuk kekuatan ketenteraan bagi menghadapi ancaman musuh. Matlamat akhir arahan ini bukan untuk menegaskan bahawa agama Islam suka akan peperangan. Sebaliknya ia lebih kepada arahan berusaha untuk menimbulkan rasa kegerunan di hati pihak musuh yang mungkin memulakan melancarkan tindakan kekerasan ke atas negara Islami. Jadi melalui pembinaan kekuatan sebegini, pihak musuh tidak akan sesuka hati mengambil peluang untuk memperkotak katikkan maruah agama Islam dan seterusnya sesebuah kerajaan Islami itu dapat menjamin keselamatan dan keharmonian kehidupan penduduknya.
Walaupun kebanyakan kitab tafsir lama seperti Tafsir al-Maraghi, Tafsir al-Fakh al-Razi mahupun kitab tafsir moden seperti Tafsir al-Azhar karangan Prof. Dr. Hamka menghurai dengan panjang lebar keperluan persediaan dalam bidang ketenteraan bagi menghasilkan unsur keselamatan negara, namun dalam suasana sekarang, intipati ayat tadi – yang mengaitkan jaminan keselamatan negara dengan unsur ketenteraan – perlu dilihat melalui sudut yang lebih luas lagi.
Sekarang keselamatan negara bukan sahaja boleh diganggu gugat oleh pihak musuh luar dalam bentuk peperangan, ia juga boleh diganggu gugat oleh masalah kekurangan dan kenaikan harga bekalan makanan asasi atau food insecurity. Dalam satu sidang akhbar, Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran, menggunakan istilah ‘the silent tsunami‘ atau tsunami senyap untuk menggambarkan keadaan yang berlaku sekarang.
Istilah ini memang bertepatan kerana kekurangan dan kenaikan harga bahan makanan bukan sahaja mencetuskan masalah kelaparan dan kekurangan zat makanan, malah ia boleh menimbulkan suasana tidak aman dan keresahan di kalangan masyarakat awam. Buktinya dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini sahaja, PBB sudah mencatatkan lebih 34 buah kerajaan berhadapan dengan masalah tunjuk perasaan dan rusuhan barang makanan (food riot) di serata dunia.
Malaysia sebagai sebuah negara yang masih belum mencapai tahap sara diri pengeluaran bahan makanan bagi keperluan penduduknya tidak terkecuali daripada menerima tempias tsunami senyap ini. Walaupun kesan yang diterima oleh rakyat negara ini merupakan kesan kenaikan harga, namun jika ia tidak ditangani dengan baik oleh pihak berwajib, kita tidak boleh mengatakan bahawa rusuhan makanan sepertimana yang berlaku di Mexico, Pakistan,Yemen mahupun Indonesia tidak mungkin akan berlaku di Malaysia.
Apa yang dikatakan sebagai jaminan barangan makanan (food security) dan apakah pelaksanaan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga nya terkawal?
Bagi menjawab persoalan pertama, takrifan berkenaan jaminan barangan makanan perlu kita perhalusi. Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat [US Department of Agriculture (USDA)] jaminan makanan bagi sesebuah isi rumah bermaksud setiap ahlinya mempunyai capaian kepada barangan makanan secara mencukupi pada bila-bila masa bagi membolehkan mereka menjalani satu kehidupan secara giat dan sihat. Jaminan makanan ini merangkumi keperluan-keperluan minimum ke atas perkara-perkara berikut:
- Sumber yang tersedia dan mencukupi baik dari sudut khasiat dan keselamatan, dan
- Jaminan kemampuan untuk memperolehi makanan melalui cara yang yang diterima ramai (maksudnya tanpa perlu menggunakan bekalan kecemasan, mencari-cari, mencuri dan sebagainya)
Di sini kita boleh katakan jaminan barangan makanan penting bagi memastikan masyarakat memperolehi makanan asas yang berkhasiat tanpa perlu berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan atau terpaksa membayar pada harga yang melampau.
Di Malaysia, sebelum kerajaan memperkenalkan Majlis Harga Negara dan Dasar Jaminan Makanan Negara pada awal Januari dan April 2008 yang lepas, negara sebenarnya sudah menggariskan matlamat untuk meningkatkan jaminan makanan kepada masyarakat sepuluh tahun dahulu di dalam Dasar Pertanian negara (1998-2010). Namun begitu sejauh mana matlamat ini telah dicapai memandangkan tempoh dasar akan berakhir tidak lama lagi?
Berdasarkan kepada maklumat-maklumat data yang dimuatkan di dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9), tahap sara diri Malaysia bagi komoditi beras untuk 2005 berada pada tahap 72% sahaja. Manakala bagi sayur-sayuran, keluaran perikanan, daging lembu dan susu masing-masing berada pada kadar 74%, 91%, 28% dan 5% sahaja. Ini secara tak langsung menggambarkan betapa tidak terjaminnya kestabilan paras harga makanan penduduk Malaysia selain mereka juga terdedah kepada ancaman kekurangan bekalan kerana masih perlu bergantung kepada import luar.
Di Malaysia, daripada 6.38 juta hektar tanah yang digunakan untuk pertanian negara, hanya 0.452 juta hektar saja yang ditanam padi. Jika dibandingkan dengan tanaman komoditi eksport seperti kelapa sawit dan getah, angka ini sebenarnya sangat kecil kerana keluasan tanaman sawit dan getah negara pada 2005 masing-masing sebanyak 4.1 juta dan 1.25 juta hektar. Keluasan tanaman padi pada 2005 itu sebenarnya merosot jika dibandingkan dengan keluasannya pada tahun 2000 iaitu 0.478 juta hektar. Dijangkakan menjelang 2010, angka ini akan menurun kepada 0.45 juta hektar.
Tentu timbul pertanyaan di fikiran kita mengapa kita sangat maju dalam bidang pertanian kelapa sawit dan getah tetapi agak ketinggalan dalam soal pertanian makanan terutamanya dalam penghasilan padi?
Hal ini boleh diterjemahkan sebagai suatu kegagalan Dasar Pertanian Negara -walaupun ia bukanlah suatu kegagalan yang menyeluruh- yang mungkin berpunca daripada ketiadaan kesunggguhan dan perhatian yang sewajarnya daripada pihak berwajib untuk mencapai apa yang direncanakan melalui dasar yang dibuat.
Di sini pihak pembuat dasar perlu peka dalam menentukan keutamaan sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan. Keperluan mengeluarkan bahan makanan pada tahap sara diri sepatutnya lebih diutamakan daripada menghasilkan tanaman komoditi untuk eksport.
Walaupun sawit dan getah menjana pendapatan yang banyak untuk negara mahupun kepada para peneroka, kita tidak seharusnya mengabaikan kebajikan sendiri. Jika kita mampu mengorbankan pelbagai sumber-sumber pengeluaran negara seperti kewangan, kepakaran, teknologi dan sebagainya untuk membangunkan ladang sawit dan getah negara dan seterusnya membantu negara pengimport memenuhi keperluan mereka, apa salahnya jika kita menggunakan sumber-sumber tadi juga untuk membangunkan sektor pertanian makanan bagi mencukupkan keperluan asasi masyarakat setempat.
Penulis bukan bermaksud untuk mengatakan kita perlu mengabaikan tanaman eksport. Apa yang sebenarnya ingin dinyatakan di sini ialah kita perlu meletakkan keutamaan dalam melaksanakan sesuatu itu berdasarkan kepada tingkat yang betul. Dalam penjelasan mudah faham daruriyyat, hajiyyat dan tahsinat perlu digunapakai pada setiap ketika. Jika ia dapat dilaksanakan mengikut faham ini seterusnya amatlah mudah untuk kita mencapai tujuan dan matlamat perundangan Islam (maqasid as-syariah) iaitu untuk menjaga dan memperkasakan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.