Selain isu RUU Mufti Wilayah Persekutuan yang hangat didebatkan sekarang, mauduk yang lebih besar, iaitu berkaitan kedudukan Asha’irah Maturidiyyah seharusnya diletakkan pada kedudukannya yang sebenar. Malangnya, perbahasan berkaitan perkara ini lebih banyak diwarnai emosi dan prejudis berbanding kefahaman dan ilmu. Oleh sebab persekitaran debat tentang perkara tersebut juga bermuarakan politik persaingan pentadbiran agama dan kefatwaan, maka pintu untuk bersifat dan bersikap ilmiah serta berlapang dada terhadap isu ini nampaknya agak tertutup.
Mereka yang menuding jari kepada Asha’irah nampaknya lebih banyak dipengaruhi oleh pandangan dan agenda beberapa tokoh agama yang agak keras menyerang aliran ini. Hal ini menyebabkan mereka terhalang daripada memahami sejarah dan peranan sebenar Asha’irah Maturidiyyah yang pada hakikatnya paling banyak menyumbang kepada pengukuhan akidah serta pemikiran majoriti umat Islam sepanjang sejarah.
Seandainya mereka lebih sedikit tawadu’ dan berjiwa besar untuk mengkaji peranan yang telah dimainkan oleh aliran Asha’irah Maturidiyyah ini nescaya mereka akan lebih tenang dalam membuat penilaian dan tidak akan sewenang-wenangnya melontar pelbagai tuduhan. Sekiranya pula ingin berbeza pandangan sekalipun, mereka boleh sahaja berbeza dari sudut ilmu serta kefahaman dan bukan sebaliknya bertindak berasaskan prejudis dan kebencian. Pada masa yang sama, tidak dinafikan bahawa sebahagian pihak yang ingin mempertahankan Asha’irah Maturidiyyah juga beremosi dan kadang kala tidak cuba menjelaskan kewibawaan aliran ini dengan hujah dan dalil. Namun sebaliknya mereka menyerang kembali pihak lawan dengan memburukkan aliran lawan mereka pula. Ini pastinya tidak akan membantu usaha untuk membina kefahaman.
Bagi yang begitu tegar memusuhi Asha’irah, barangkali mereka boleh bermula dengan merenungkan beberapa perkara yang berikut:
Pertama, bagaimana aliran Asha’irah Maturidiyyah mampu mendominasi arus kefahaman akidah umat Islam dalam tempoh yang begitu panjang, iaitu sejak akhir abad ke-3 hijrah atau ke-9 Masihi dengan kemunculan Imam al-Ash’ari dan al-Maturidi hinggalah ke hari ini. Sesuatu aliran yang dapat mampu bertahan lebih daripada seribu tahun dengan kukuh pasti mempunyai keistimewaan yang luar biasa.
Ada yang berhujah mengatakan bahawa dominasi adalah disebabkan paksaan daripada rejim siyasah yang memerintah sepanjang sejarah. Namun harus diingat, pemerintahan kerajaan dan dinasti sentiasa bertukar dan bukan sekadar dikuasai oleh satu aliran sahaja. Juga yang lebih penting, akal manusia terutama mereka yang bijak pandai bukan boleh dipaksa dan ditekan untuk berpegang pada satu-satu aliran. Mereka pasti akan dapat menilai dan berfikir untuk memilih aliran yang paling meyakinkan. Dalam hubungan ini, umat Islam sentiasa diajar bahawa bab akidah tidak boleh sekadar bertaqlid akan tetapi perlu berfikir dan menggunakan hujah dan dalil.
Kedua, cuba renungkan bagaimana luasnya pengaruh aliran akidah Asha’irah dan Maturidiyyah sehingga ia dapat menguasai dan memandu sekitar 90% umat Islam dunia dari segi sistem kepercayaan. Ia merupakan ‘sawad al-a’zam’ yang telah menyuluh jalan akidah umat Islam sedunia sepanjang zaman.
Ada juga yang cuba berhujah bahawa majoriti dan pendapat terbanyak tidak semestinya membuktikan ia benar. Namun perlu diingat bahawa kita sedang bercakap tentang pegangan kepercayaan akidah umat Islam yang telah melalui ujian dan cabaran yang hebat dalam sejarah tradisi keilmuwan yang panjang. Ia bukan aliran yang lahir sebulan dua atau ajaran songsang yang dibawa oleh panglima dari gua batu atau ajaran orang tua daripada kerajaan langit.
Ketiga, renungkan bagaimana aliran ini mendapat dokongan daripada sedemikian ramai tokoh besar yang hebat dalam sejarah Islam seperti Imam al-Baqillani, Imam al-Haramain al-Juwayni, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, Imam Fakhr al-Din al-Razi, al-Shahrastani, al-Iji, al-Taftazzani, al-Sanusi, al-Bajuri, al-Laqqani, Ibn Hajar, al-Suyuti, Izzuddin Ibn Salam, al-Bayhaqi, Ibn Khaldun dan ramai lagi bintang yang menyinari tradisi ilmu Islam.
Malangnya, senarai yang panjang ini mungkin tidak akan bermakna bagi mereka yang tidak berminat dan berusaha untuk mengenali siapa ialah siapa (who’s who) dalam sejarah keilmuan Islam.
Keempat, renungkan betapa gigihnya barisan panglima ilmu dalam aliran ini yang bertarung mempertahankan benteng akidah dan pemikiran Islam daripada kelompok perosak agama sejak awal perkembangan Islam. Mereka itu sama ada yang datang dari dalam seperti Mu’tazilah, Mujassimah, dan Khawarij atau juga dari luar seperti kelompok Falasifah, Nasrani, Yahudi, Zoroaster, Dahriyyun dan banyak lagi.
Dengan menggunakan pendekatan wasatiyyah yang seimbang antara aqal dengan wahyu, ‘aqli dengan naqli, dan mantiq dengan khabar, aliran inilah yang sepanjang zaman mampu menyanggah segala bentuk esktremisme pemikiran dan kepercayaan yang sentiasa datang untuk mengganggu gugat keimanan umat Islam.
Pada hari ini, cabaran pemikiran tidak kurang hebatnya dengan serangan daripada aliran sekularisme, pascamodenisme, ateisme, relativisme, nihilisme yang datang dari luar dan ancaman literalisme, radikalisme dan terorisme yang datang dari dalam. Kesemuanya memerlukan pendekatan pertengahan yang kuat untuk menghadapinya dan ia pasti mampu diterajui oleh aliran Asha’irah Maturidiyyah.
Semoga kita dikurniai kelapangan dada, ketenangan fikiran dan keluasan kefahaman untuk melihat isu ini dengan lebih ilmiah.