Jasa Profesor DiRaja Terpuji Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam konteks keilmuan dan ketamadunan amat besar, bukan sahaja untuk dunia Islam, tetapi semua bangsa dan negara yang ingin bebas dari cengkaman hegemoni pemikiran dan ketamadunan sekular Barat.
Ramai umat Islam sendiri kemungkinan besar tidak mengetahui bahawa pelbagai penulisan beliau telahpun diterjemahkan kedalam lima belas bahasa oleh para sarjana dan penterjemah terpelajar dari luar negara sejak tahun 1990an: Rusia, German, Itali, Mandarin, Jepun, Korea, Serbo-Croatia, Bosnia, Macedonia, Albania, Malayalam, Urdu, Farsi, Turki, dan Arab.
Usaha keilmuan beliau, khususnya dalam menangani cabaran dunia Islam pada peringkat akar (root cause) kekal relevan dan penting untuk difahami oleh semua golongan terpelajar untuk memastikan umat Islam benar-benar merdeka akal dan jiwanya.
Bagi DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, “Beliau adalah seorang sarjana yang memiliki kuasa intelek yang hebat. Berjaya meninggalkan impak kepada pemikiran muridnya walaupun hanya berpeluang berinteraksi seketika dengannya… Beliau adalah bukti hidup seorang insan yang berpegang kukuh kepada prinsip. Beliau teguh dalam tindakan untuk menegakkan kebenaran.”
Berdasar pengalaman, pemerhatian, dan renungan beliau, cabaran yang mendasar dan halus yang perlu ditanggani oleh dunia Islam ialah proses sekularasi bahasa dan pemikiran, atau perubahan pandangan alam kaum Muslimin.
Pada masa sama, beliau mendapati ianya berpunca daripada kelemahan disiplin pemikiran, rohani, dan moral kaum Muslimin khususnya dalam seratus tahun kebelakangan ini – yang digelar “keruntuhan adab”.
Kelemahan dalaman ini membawa kepada kehilangan keupayaan untuk mengenali dan mengakui hakikat dengan betul dalam susunan kewujudannya yang akhirnya kehilangan keupayaan untuk mengenali dan mengakui Pencipta Yang Maha Esa.
Atas asas inilah beliau menyeru dan mendidik kaum Muslimin yang secara sedar dan tidak sedar telah kehilangan disiplin menyeluruh ini melalui faham pendidikan yang ditakrifkan sebagai penyerapan adab (ta’dib), atau pemupukan insan yang beradab. Beliau menyeru agar matlamat sistem pendidikan kita ditumpukan kepada melahirkan “insan yang beradab”, bukan sekadar warganegara atau pekerja yang baik.
Faham pendidikan yang dianjurkan Prof. Al-Attas turut diakui kepentingannya oleh Shaykh al-Azhar Prof. Dr Sheikh Ahmad al-Tayyib, yang menyatakan: “Sebagaimana ditegaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, semoga Allah memeliharanya, yang berkata bahawa manhaj agama ini berdiri di atas asas-asas yang kukuh yakni penanaman adab dan pengukuhannya dalam fikiran insan melalui ta’dib akal dan roh secara serentak, ia adalah pandangan yang menyelamatkan masyarakat Malaysia daripada terjerumus ke dalam ancaman pemikiran yang bertentangan dengan Islam”.
Usaha-usaha keilmuan beliau terutamanya melalui Islam and Secularism (1978), A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri (1986), Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995), Risalah untuk Kaum Muslimin (2001), On Justice and the Nature of Man (2015), menangani pelbagai persoalan asasi dalam krisis yang sedang dihadapi dunia hari ini.
Menurut Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, penyandang Kursi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), UTM, dengan mengkaji dan menggungkap semula hikmat-hikmat ulama besar silam, beliau menawarkan penyelesaian yang bernas dan berdaya-cipta tentang bagaimana huraian ulama silam mengenai hakikat kewujudan yang bersepadu mampu menyumbang kepada medan pemikiran sains dan pemikiran pendidikan—sekaligus menangani cabaran kaum Muslimin pada akarnya dan memberi sumbangan yang berdaya-asli dalam sejarah pemikiran dunia.
Menariknya, dalam salah satu pertemuan tertutup kami dengannya di RZS-CASIS (di mana beliau pernah dilantik Profesor Pelawat Terbilang), beliau menegaskan bahawa beliau tidak menganggap dirinya sebagai produk mana-mana universiti; dan bahawa guru-gurunya yang sejati termasuklah Imam al-Ash’ari, Imam al-Shafi’i, Imam al-Ghazali, dan datuknya al-Habib Syed Abdullah Muhsin Al-Attas (merupakan murabbi kepada sejumlah ulama dan mufti dalam dunia Islam).
Antara sumbangan besar Prof. al-Attas yang diakui ramai ilmuwan antarabangsa juga ialah apabila beliau mereka-bentuk, mengasaskan, dan mengarahkan secara menyeluruh suatu institusi pengajian tinggi bagi mendepani cabaran zaman melalui Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) antara tahun 1987 hingga 2002.
Merujuk kepada ISTAC yang dipimpin Prof. Al-Attas pada satu ketika, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah bertitah, “Melihat ISTAC beta merumuskan bahawa beta sebenarnya berhadapan dengan seorang seniman yang sangat teliti, sangat jauh, mendalam dan luas wawasannya, sangat komited dan amat terlibat memenuhi visinya.”
Annemarie Schimmel, seorang sarjana masyhur dari negara Jerman yang mengajar di Universiti Harvard antara 1967-1992 pernah menulis kepada Prof. Al-Attas pada tahun 1990an: “Saya yakin bahawa usaha anda dan rakan sekerja anda dan kumpulan pembantu anda akan membuahkan hasil yang kaya pada masa hadapan, dan saya amat berterima kasih atas peluang untuk melihat anda dan Institut anda dan berasa seperti zarah kecil dalam rangkaian besar usaha anda!”
Pada pengetahuan penulis, belum ada negara lain—hatta negara-negara Arab atau Barat terkaya didunia—yang mempunyai sebuah institusi atau universiti yang direka-bentuk oleh ilmuwan mereka yang terkemuka.
Paling penting sekali kita berterima kasih kepada Prof. al-Attas kerana telah menumpukan segala kudrat yang diberi untuk menjelaskan kembali hakikat sebenar ajaran Islam. Karya terkini beliau yang disiapkan pada umur 93 tahun, Islam: The Covenants Fulfilled (2023)—yang di dedikasikan kepada Baginda Nabi ṣallāllāhu ʿalayhī wa-ʾālihī wa-sallam—telah membetulkan kesilapan-kesilapan fundamental yang sedang berlaku dikalangan umat yang terpelajar hari ini.
Oleh sebab-sebab ini semua lah dan juga jasa-jasa besar lain yang tidak tersenarai disini beliau ternyata layak dianugerahkan gelaran Profesor DiRaja Terpuji (atau dalam Bahasa Inggeris, “Royal Laureate Professor”), suatu
“gelaran khas hanya untuknya” seperti yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar. Sumbangan-sumbangan beliau perlu diteliti oleh pemimpin pelbagai sektor dan dimanfaatkan dalam usaha untuk meluhurkan pemikiran Kaum Muslimin, memperbetulkan semula sistem pendidikan, tujuan sains moden dan negara-negara Muslim amnya ke arah yang lebih bermakna dan supaya tidak semata-mata meniru agenda kemodenan sekular Barat. Wallahua’lam.