“Tiada sesiapa yang mahu mendengar kisah di sebalik perkahwinan homoseksual. Aspek yang tidak diberi perhatian adalah anak-anak dalam perkahwinan itu tidak membesar dengan gembira, malah membesar berasaskan penentangan terhadap struktur sebenar sesebuah keluarga. Saya tidak memahami bagaimana masyarakat begitu keras menolak konsep semula jadi yang diterima dalam struktur keluarga yang lain.” Demikian luahan Millie Fontana, 25 berhubung pengalaman pahit yang dilaluinya sebagai anak yang lahir melalui pendermaan sperma dan dibesarkan oleh sepasang lesbian.
Pendedahan tentang kesan negatif perkahwinan homoseksual terhadap emosi, sahsiah, dan keselamatan diri anak-anak juga dapat dilihat melalui tulisan Dawn Stefanowicz bertajuk “Out from Under”. Stefanowicz menggambarkan penderitaan hidup di sisi seorang bapa yang sering bertukar-tukar pasangan sejenis. Selain masalah pergaulan dengan rakan sebaya dan persekitaran rumah yang tidak membahagiakan, beliau dan saudara lelakinya juga terlibat dalam keganasan yang dilakukan oleh pasangan seksual bapanya yang tidak terhitung. Stefanowicz juga menyaksikan bagaimana bapanya berhadapan dengan masalah kemurungan dan cubaan membunuh diri, suatu kelaziman bagi individu homoseksual. Menurut Stefanowicz lagi, bapanya tidak pernah mengutamakan kesihatan dirinya dan terus-menerus membiarkan diri terperangkap dalam gejolak nafsu yang buas. Akhirnya bapanya itu menemui ajal melalui AIDS, meninggalkan mereka dalam lubuk penderitaan yang berpanjangan.
Sanggahan syarak terhadap perkahwinan homoseksual ternyata melalui ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith Nabi S.A.W. Perkahwinan antara Nabi Adam A.S. dengan Hawwa’ A.S. sebagaimana dikisahkan al-Qur’an, membuktikan bahawa pasangan yang selama-lamanya sah dan menurut fitrah sebenar adalah yang berbeza jantina. Malah, itulah bentuk perkahwinan sejati dan mesti dipertahankan selama-lamanya. Perbezaan yang dimiliki antara lelaki dengan wanita hakikatnya bertujuan untuk mereka saling melengkapi serta menguatkan dan bukan pula untuk mereka saling bersaing sesama sendiri. Al-Qur’an turut menegaskan hikmah perkahwinan disyariatkan, iaitu memberikan ketenangan jiwa (sakinah), menyemai kasih sayang (mawaddah) serta belas kasihan (rahmah) (Surah al-Rum 30 : 21). Perkahwinan juga bertujuan memenuhi keperluan fitrah manusia dan memelihara kesempurnaan serta kesejahteraan keturunan yang merupakan salah satu prinsip maqasid al-shari`ah.
Oleh sebab perkahwinan mensasarkan matlamat yang besar lagi luhur ini, maka tugas yang dipikul oleh ibu bapa amatlah besar lagi mencabar. Tanggungjawab ibu bapa yang merangkumi penyediaan pendidikan; kerohanian dan keimanan, ibadah, serta akhlak selain perlindungan dan penjagaan yang sempurna bertujuan menjamin kesejahteraan kehidupan anak-anak. Khusus berkaitan dengan pendidikan keimanan, ia amat diperlukan kerana unsur keduniaan dapat memudaratkan ketenteraman jiwa dan akal anak-anak. Justeru, pendidikan tersebut dapat meneguhkan jiwa dan memperelok sifat yang seterusnya dapat membantu anak-anak untuk menghadapi ujian getir kehidupan duniawi. Menarik untuk dihayati kupasan dalam kitab Bada’i` al-Sana’i` fi Tartib al-Syara’i` berhubung tanggungjawab wali untuk melaburkan harta bagi melahirkan individu yang terbaik dalam segenap aspek, iaitu akal serta pemikiran yang mantap, tubuh yang sihat lagi cergas, dan akhlak yang luhur demi menyumbang semula kepada masyarakat secara berkesan.
Peredaran masa dan perkembangan zaman menunjukkan tanggungjawab keibubapaan sentiasa sahaja mendepani cabaran getir. Cabaran tersebut bukan sahaja datangnya dari dalam bahkan lebih-lebih lagi daripada luar negara. Justeru, ibu bapa zaman kini perlu sentiasa peka dan bersedia dengan cabaran semasa khususnya berkaitan ancaman terhadap institusi kekeluargaan. Antaranya termasuklah pentakrifan semula maksud perkahwinan yang menyaksikan ia tidak lagi dihadkan hanya antara pasangan berbeza jantina dan desakan pengiktirafan bagi perkahwinan homoseksual serta hak untuk mengambil anak angkat. Perkembangan ini kelihatannya bukan sahaja melibatkan negara-negara di dunia antarabangsa tetapi juga meliputi rantau Asia Tenggara. Di Singapura, sebuah mahkamah republik berkenaan Disember lalu menolak permohonan seorang doktor gay untuk mengambil “anaknya” yang lahir melalui kaedah ibu tumpang di Amerika Syarikat. Ancaman semasa lain yang lebih membimbangkan ialah penolakan segelintir umat Islam sendiri terhadap pentafsiran ayat-ayat al-Qur’an oleh mufassirin terdahulu. Penolakan tersebut seterusnya disusuli tindakan mentafsirkan semula konsep perkahwinan dalam al-Qur’an bagi mewajarkan atau menghalalkan perlakuan serta perkahwinan homoseksual.
Di negara ini, sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan, data pada tahun 2016 menunjukkan bahawa hubungan homoseksual direkodkan sebagai penyumbang utama bagi kes-kes jangkitan HIV terbaru. Terdapat sejumlah 1553 kes HIV baharu dalam kalangan homoseksual dan biseksual berbanding dengan 1311 melibatkan heteroseksual. Empat puluh peratus (40%) golongan homoseksual dan biseksual yang dijangkiti virus HIV adalah dalam lingkungan usia 19-29 tahun dan kebanyakannya adalah pelajar. Sejumlah 31% pula dalam lingkungan usia 30-39 tahun yang merupakan golongan profesional. Menyedari kemudaratan yang diakibatkan oleh perkembangan ini terhadap institusi kekeluargaan khususnya, maka segenap pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun itdak perlu menggembleng usaha menanganinya secara berkesan. Langkah strategik yang diambil dan diselaraskan oleh JAKIM bagi membentuk Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Perlakuan LGBT serta program intervensi kerohanian (mukhayyam) selain usaha-usaha terpuji pihak-pihak lain, termasuk NGO diharap berjaya matlamat yang disasarkan. Dalam hubungan ini, keperluan spiritual yang membentuk hak keagamaan golongan LGBT tidak harus sama sekali dinafikan atau diberikan bantahan.
Desakan dan tekanan yang diberikan terhadap kepimpinan negara, termasuk oleh pejuang hak LGBT di negara ini bagi memenuhi tuntutan tidak berasas golongan berkenaan, perlu ditangani dengan menegaskan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Perkara ini jelas ditegaskan melalui Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Sehubungan itu, isu-isu berkaitan orientasi seksual dan identiti gender di negara ini pastinya wajar ditangani dalam kerangka perundangan Islam. Perundangan Islam itu pula bersumberkan al-Qur’an dan Hadith yang keseluruhannya bermatlamat memelihara kesejahteraan dan mengelakkan kemudaratan daripada menimpa kehidupan manusia, bukan sahaja di dunia bahkan lebih-lebih lagi di akhirat kelak.