Islam adalah agama kesejahteraan dan keamanan. Ini amat bertepatan dan bersesuaian dengan perkataan Islam itu sendiri, di mana ia berasal daripada perkataan Arab, salima atau salama yang bermaksud aman, selamat dan sejahtera. Jika ditinjau dari sudut logik pemikiran dan penggunaan bahasa, ia adalah satu amalan yang bertujuan untuk mewujudkan suasana dan keadaan selamat, sejahtera serta aman. Namun, bagi umat Islam, pemahaman umumnya ialah bahawa agama Islam merupakan satu ajaran yang bersistem dan berstruktur dengan membawa misi keamanan dan kesejahteraan serta keselamatan, dengan tujuan untuk menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih bersistematik dan teratur dalam segenap aspek kehidupan, yang pada akhirnya akan mewujudkan suasana kesejahteraan, kestabilan, keamanan, kebenaran, kedamaian dan kebahagiaan kepada seluruh alam dan juga kehidupan di akhirat.
Pada hakikatnya, seluruh manusia itu diciptakan oleh Allah dengan sifat sukakan kepada keselamatan, kebenaran, keselesaan, kesejahteraan dan kebahagiaan serta menghindari kesempitan, kecelakaan, kepalsuan dan kegusaran. Sifat tersebut merupakan fitrah. Dalam ertikata yang lain, manusia diciptakan dengan fitrah yang tersendiri, iaitu sukakan kepada perkara yang molek, dan membenci perkara yang jelik, serta sentiasa mencari kebenaran bagi menghindari sebarang kepalsuan. Inilah fitrah kejadian manusia, selaras dengan naluri semula jadi yang telah dianugerahkan kepada mereka. Fitrah adalah sunnatullah, satu ketetapan dari Allah, yang dicipta bagi mewujudkan kemaslahatan kepada umat manusia dan akan membawa kemajuan dalam kehidupan mereka kerana ia akan memandu mereka ke jalan yang benar menurut landasan syarak. Allah yang telah menjadikan manusia dan seluruh alam ini, dan amat wajar hanya Allah sahaja yang memahami naluri dan fitrah manusia.
Atas hakikat itu juga, agama Islam turut sering dianggap sebagai agama fitrah kerana ia amat bersesuaian dan selari dengan kehendak dan naluri semulajadi kehidupan setiap insan. Dengan ini, terhasillah satu bentuk gaya hidup yang dikenali sebagai gaya hidup fitrah, atau gaya hidup yang bersifat alami dan Islami, serta merupakan satu bentuk gaya hidup yang wajib mereka ikuti. Ini amat bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al Ruum ayat 30 dan 31 yang bermaksud…maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah…
Amalan gaya hidup fitrah ialah satu bentuk gaya hidup yang sesuai dengan fitrah semula jadi manusia dan lambang sifat fitrah itu terpancar apabila umat manusia sering mengutamakan kebaikan dan menghindari kemungkaran dan kejahatan serta penyelewengan dan itulah yang dituntut oleh Islam. Perkataan fitrah itu juga sebenarnya memiliki pelbagai erti dan satunya seperti menurut ibn Qayyum yang diberi maksud sebagai keadaan yang terhasil daripada penciptaan yang juga dirujuk sebagai sunnah, kejadian atau tabiat. Dalam konteks ini, Allah yang mencipta dan hanya Dia sahaja yang mengetahui kecenderungan, keinginan dan tabiat serta matlamat hasil ciptaan-Nya itu. Atas dasar ini, manusia yang pelbagai itu secara tabiat dan fitrahnya memerlukan dan saling melengkapi di antara satu sama lain, lelaki memerlukan wanita, siang bersilih ganti dengan malam, air akan mendidih apabila dipanaskan dan membeku apabila disejukkan, senaman yang teratur dan makanan berkhasiat itu menyihatkan, kebaikan sentiasa mengatasi kejahatan dan kefasikan, serta bermacam-macam lagi. Itulah aturan fitrah alami yang Allah ciptakan.
Oleh kerana Allah sebagai Pencipta yang memiliki Zat yang Qudus dan Suci, maka manusia itu dan kehidupannya diciptakan sebagai suci, murni dan bersih dari sebarang pencemaran dan kekotoran. Dalam ertikata lain, setiap manusia itu diciptakan sebagai fitrah, suci, baik dan cenderung kepada kebaikan kerana mereka itu datangnya daripada Allah, justeru itu adalah wajar agar seluruh kehidupan manusia itu berjalan atas dasar fitrah dan bertepatan dengan aturan yang Allah inginkan, bukan yang manusia itu inginkan. Inilah intipati gaya hidup fitrah dalam Islam. Ini bertepatan seperti menurut hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud..setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan suci, maka ibubapalah yang menjadikan mereka itu sama ada sebagai Yahudi, Nasrani atau pun Majusi (Riwayat Imam Muslim). Atas dasar ini jugalah, sebarang pelanggaran atau pertentangan dengan fitrah, maka ia juga merupakan pelanggaran terhadap ajaran agama Islam dan menentang arus landasan syariatnya. Ia merupakan satu perkara yang amat tidak wajar dilakukan khususnya oleh umat Islam.
Selagi mana umat manusia itu menuruti amalan fitrah seperti yang dituntut Islam, selagi itulah mereka terpandu ke arah kebenaran dan kebaikan, kerana Islam adalah agama fitrah. Maka terhindarlah mereka dari kekejian zina dan penyelewengan rasuah, serta jauhlah budaya songsang dari pemikiran dan tingkahlaku mereka. Seringkali terdengar ungkapan gaya hidup sihat dan gaya hidup positif, namun, gaya hidup fitrah bukan hanya mendorong amalan gaya hidup yang sihat dan positif, tetapi juga menuruti amalan gaya hidup yang tidak melangkaui landasan syariat Islam.