Semenjak media sosial digunakan dengan meluas, platform ini menjadi medan pertembungan idea dan pemikiran. Dalam banyak keadaan, perbezaan pandangan di media sosial sering membawa kepada perselisihan dan serangan peribadi. Natijahnya, terbentuk satu persekitaran digital yang tidak sihat.
Sifat media sosial yang membolehkan pengguna berselindung di sebalik nama samaran dan identiti palsu memberikan satu lesen besar untuk menulis atau berbahas tentang apa sahaja tanpa memikirkan implikasinya. Hujah yang diberikan lazimnya bersifat falasi yang dilandaskan kepada andaian palsu dan maklumat tidak sahih.
Individu yang melontarkan hujah sebegini mempunyai tahap keyakinan yang amat tinggi terhadap perkara yang dibahaskan sedangkan kompetensi atau pengetahuan mereka tentang perkara tersebut adalah rendah. Dalam psikologi, fenomena ini dikenali sebagai “kesan Dunning-Kruger.”
Kesan Dunning-Kruger ialah satu bias kognitif yang berlaku apabila individu dengan pengetahuan atau kemahiran yang sedikit cenderung untuk berasa yakin dengan pengetahuan atau kemahiran mereka. Fenomena ini menjadi semakin ketara dalam era media sosial apabila ia mempengaruhi cara orang berkongsi, menerima dan memahami maklumat.
Media sosial membolehkan pengguna memperoleh capaian meluas kepada maklumat. Capaian ini seterusnya memungkinkan sesiapa sahaja berkongsi idea dan pemikiran secara bebas. Individu yang mempunyai pemahaman yang terhad tentang topik yang rumit sering menganggap diri mereka pakar, lalu cenderung untuk menyebarkan maklumat yang salah sehingga membawa kepada kekeliruan dan salah faham.
Misalnya, sewaktu pandemik tidak lama dahulu, individu yang tidak mempunyai pengetahuan perubatan didapati sering memberi nasihat yang salah tentang vaksin, mempersoalkan kebenaran pandangan pakar perubatan dan galak menyebarkan teori konspirasi. Pandangan yang tidak berasas ini mendapat sambutan hebat sehingga menarik ramai pengikut sekalipun pandangan yang popular itu jelas menyalahi fakta.
Algoritma yang menggerakkan media sosial menyumbang kepada peningkatan kesan Dunning-Kruger dalam kalangan pengguna. Algoritma ini mempromosi kandungan yang mempunyai jumlah interaksi yang tinggi. Dalam kata lain, algoritma media sosial mengutamakan jumlah keterlibatan sesuatu hantaran yang dibuat berbanding ketepatan maklumat yang terkandung dalam hantaran tersebut.
Keadaan ini menyebabkan dakwaan yang tidak berasas tetapi disampaikan dengan cara menarik lebih mudah tersebar luas berbanding maklumat berasaskan fakta dan bukti. Contohnya, satu hantaran di media sosial yang menerangkan tentang mekanisme proses vaksinasi dalam menguatkan sistem imun badan kurang mendapat perhatian berbanding satu hantaran lain yang menghebahkan tentang teori konspirasi berkenaan vaksin.
Keadaan ini bukan sahaja merancakkan penyebaran maklumat salah tetapi juga mengukuhkan keyakinan orang yang menyebarkan maklumat tersebut kerana populariti yang melonjak dilihat sebagai satu pengesahan bagi “kepakaran” mereka.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila pengguna media sosial sering berada dalam lingkungan orang yang bersetuju dengan mereka semata-mata. Keadaan ini mewujudkan satu komuniti tertutup yang tidak mencabar pendapat yang dibawa. Pandangan yang berbeza akan diketepikan atau diserang manakala maklumat yang salah diratib berulang kali sehingga memberikan persepsi yang ia sahih.
Keadaan ini mewujudkan satu “kesan gema” yang meningkatkan kesan Dunning-Kruger. Kesan ini menghalang orang daripada menyedari hakikat bahawa mereka sebenarnya bukan pakar bidang atau ilmu tersebut. Akibatnya, maklumat palsu mendapat tempat dalam lingkungan komuniti tertutup tersebut menyebabkan mereka yang menyebarkannya menjadi semakin yakin dengan kepercayaan yang salah.
Usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan kesan Dunning-Kruger di media sosial. Platform media sosial harus mengutamakan sumber yang boleh dipercayai dan mengambil tindakan yang lebih ketat untuk membanteras berita palsu. Penting juga bagi pengguna media sosial untuk lebih bijak menyaring maklumat dengan berfikir secara kritis dan analitis.
Sementara itu, mereka yang benar-benar pakar dan ahli sesuatu bidang juga perlu meningkatkan usaha untuk berinteraksi dengan cara yang menarik, interaktif dan mudah difahami oleh khalayak umum. Naratif daripada pakar adalah amat diperlukan bagi mematahkan hujah yang dibawa bersandarkan maklumat palsu dan salah.
Kesan Dunning-Kruger mempunyai pengaruh yang besar terhadap penyebaran maklumat, wacana di media sosial dan tabiat pengguna media sosial itu sendiri. Media sosial tidak wajar menjadi medan wacana perbahasan tidak berkesudahan yang hanya membawa kepada persekitaran digital yang tidak sihat.
Seorang ulama besar era Mamluk pada abad ke-13 Masihi iaitu Imam Badr al-Din ibn Jama‘ah dikatakan telah mengungkapkan kata-kata berikut: “Ilmu itu ada tiga jengkal. Sesiapa yang sampai ke jengkal pertama, dia berasa takbur. Sesiapa yang sampai ke jengkal kedua, dia berasa rendah diri. Sesiapa yang sampai ke jengkal ketiga pula, dia berasa bahawa dia tidak mempunyai ilmu.”
Kata-kata Imam Ibn Jama‘ah ini seiring dengan fenomena yang diterangkan oleh kesan Dunning-Kruger, malah ia dinyatakan lebih awal iaitu hampir lapan abad yang lalu. Walaupun demikian, pengajarannya tetap sama. Tahap keyakinan yang tinggi terhadap ilmu sedikit yang dimiliki berupaya menjerumuskan diri dengan sifat takbur. Dalam era media sosial hari ini, sifat takbur dengan ilmu yang sedikit boleh membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan yang tidak berkesudahan. Maka, amat penting sekali bagi kita semua untuk mempunyai sifat tawaduk dalam usaha menjadi pengguna media sosial yang merendah diri dengan ilmu yang ada, tidak angkuh dan sebaliknya mengamalkan adab berkomunikasi seperti yang disarankan menerusi ajaran Islam.