Niat menjadi asas utama kepada setiap perbuatan manusia. Dalam Islam, niat yang ikhlas menjadi syarat penting bagi menentukan nilai amalan di sisi Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat, dan setiap orang akan mendapat balasan berdasarkan niatnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bagaimanapun, niat yang baik jika tidak disertai dengan ilmu, kefahaman dan tindakan yang betul berupaya menatijahkan sesuatu yang buruk dan tidak diingini. Perkara ini dapat dilihat daripada kisah kera dengan ikan.
Seekor kera yang cuba “menyelamatkan” seekor ikan dengan membawanya naik ke pokok menjadi contoh klasik tentang niat baik yang berakhir dengan keburukan. Kera itu berniat baik kerana ingin membantu ikan yang disangkanya sedang lemas.
Hakikatnya, kera tidak menyedari bahawa ikan memerlukan air untuk hidup. Tempat ikan bukanlah di atas pokok iaitu tempat yang dianggap selamat oleh kera. Pengajaran daripada kisah ini menggambarkan betapa niat yang baik sahaja tidak mencukupi jika tidak disertakan ilmu dan hikmah.
Dalam kehidupan seharian, ada ketikanya kita sering mengambil tindakan dengan niat yang mulia tanpa memahami keperluan sebenar keadaan. Seorang individu mungkin ingin membantu seorang lain yang berada dalam kesulitan dengan memberikan nasihat tanpa memahami konteks masalah yang dihadapi.
Apabila ini berlaku, tidak mustahil nasihat yang diberi boleh menambah tekanan dan kesedihan kepada yang dibantu. Atas sebab itu, Islam menekankan kepentingan ilmu dalam setiap aspek kehidupan.
Sebelum bertindak, kita perlu memastikan tindakan tersebut sesuai dengan keadaan dan keperluan pihak yang ingin dibantu. Tanpa ilmu, niat baik boleh menjadi sia-sia atau lebih buruk lagi, mendatangkan mudarat. Seperti kisah kera dan ikan tadi, jika kera itu memahami keperluan ikan, ia tidak akan “menyelamatkan” ikan dengan cara yang memudaratkan.
Sama ada disedari atau tidak, kisah kera dan ikan ini sering berlaku dalam masyarakat. Misalnya, dalam usaha membantu individu yang miskin, ada yang memberikan wang secara terus tanpa memberi didikan tentang cara mengurus kewangan atau mencari sumber pendapatan yang stabil. Niat ini mungkin baik tetapi kesannya hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan punca kemiskinan tersebut.
Islam ialah al-din yakni cara hidup yang syumul. Maka, setiap kebaikan yang ingin dilakukan haruslah berpandukan syariat dan nilai-nilai Islam. Dalam konteks ini, Rasulullah SAW mengajar kita untuk sentiasa menerapkan ihsan dalam tindakan supaya tidak menatijahkan akibat yang tidak diingini.
Perkara ini diberikan penegasan menerusi firman Allah SWT dalam ayat 90 Surah al-Nahl yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”
Dalam melakukan kebaikan, kita perlu mengambil kira tiga aspek utama iaitu niat, ilmu dan cara pelaksanaan. Ketiga-tiga aspek ini saling melengkapi bagi memastikan tindakan setiap individu benar-benar memberi manfaat kepada pihak yang ingin dibantu.
Sebagai manusia, kita perlu sentiasa bermuhasabah tentang niat dan tindakan kita. Adakah kita benar-benar membantu dengan cara yang terbaik? Atau adakah kita hanya bertindak mengikut persepsi kita sendiri tanpa memahami keadaan sebenar?
Niat yang baik dengan berteraskan ilmu pengetahuan dan hikmah yang kemudiannya disusuli dengan pelaksanaan yang mengikut panduan Islam, insya-Allah, akan membawa kepada natijah yang bermanfaat. Dalam hal ini, Islam mendorong kita untuk sentiasa belajar, bertanya dan cakna supaya kita bijak membaca suasana sebelum bertindak.
Umpamanya, apabila kita melihat seseorang menghadapi masalah kesihatan mental, niat baik untuk “menasihati” mereka agar tidak bersedih mungkin tidak membantu. Sebaliknya, mendengar dengan penuh empati dan menyarankan mereka mendapatkan bantuan profesional merupakan tindakan yang lebih berhikmah dan bermanfaat.
Niat yang baik menjadi permulaan kepada setiap kebaikan. Bagaimanapun, niat ini perlu disertai dengan ilmu dan hikmah yang disusuli dengan tindakan yang tepat. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk sentiasa bertindak dengan ihsan dan berhikmah dalam usaha membantu orang lain.
Hal ini selari dengan maksud firman Allah SWT dalam ayat 269 Surah al-Baqarah: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
Elakkan daripada menjadi seperti kera dalam kisah tadi yang “menyelamatkan” ikan tetapi akhirnya menyebabkan ikan itu mati. Niat baik kita seharusnya membawa manfaat dan bukannya mudarat. Dengan ilmu, hikmah dan panduan syariat Islam, kita dapat memastikan setiap kebaikan yang dilakukan membawa keberkatan dan kebaikan yang sebenar. Semoga setiap niat baik kita sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah SWT dan menjadi amalan yang diredai-Nya.