Seluruh dunia ketika ini masih lagi dihantui bahang dan keperitan yang berlaku akibat kesan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) dan negara tentera bersekutu ke atas Iraq. Walaupun peperangan di bumi Iraq itu semakin berakhir, namun tiada jaminan bahawa kesan peperangan tersebut juga akan berakhir secara pantas di mana keadaan akan menjadi seperti sediakala, malah mungkin mustahil untuk melihat suasana di Iraq seperti sebelum peperangan.
Walau apa pun, peperangan sebagai faktor utama kemusnahan dunia dan tamadun manusia sewajarnya terus dijadikan pengajaran terutamanya bagi umat Islam sebagai satu contoh amat jelas di depan mata agar mereka lebih bersedia dari segenap segi.
Peperangan yang berlaku di Iraq adalah satu bentuk pencerobohan oleh satu pakatan terancang tanpa ada sebarang justifikasi yang adil dan saksama. Sebagai sebuah negara Islam, amat malang bagi negara Iraq apabila saudara seagama dan sebangsa yang bukan sahaja hanya mampu melihat tanpa bertindak apa-apa, sebaliknya ada yang turut menyokong musuh membantai mereka. Dengan tunduknya Iraq terhadap kekuatan luar biasa tentera penceroboh, pelbagai bentuk pencerobohan lain akan terus menyusul dengan apa yang lebih difahami sebagai kolonialisme bentuk baru.
Pencerobohan bentuk baru ini boleh berlaku dalam bentuk penjajahan ideologi dan eksploitasi minda untuk rakyat Iraq, yang sudah pasti akan menggegarkan kekuatan akidah dan keimanan mereka, selain pencerobohan budaya, cara hidup dan imej negara penjajah dalam kehidupan mereka. Dalam situasi ini, negara penjajah telah berjaya, bukan sahaja memenangi pertempuran kerana adanya bantuan dari senjata pemusnah yang canggih, tetapi juga mungkin berjaya untuk membudayakan pemikiran dan kehidupan serta cara hidup rakyat Iraq dengan satu pencerobohan budaya, ideologi dan pemikiran negara penceroboh.
Sememangnya inilah antara lain tujuan peperangan dan pencerobohan dari kalangan musuh Islam tetapi amat tidak disedari oleh majoriti pemimpin dan rakyat negara Islam. Akibatnya ada sesetengah negara dan pemimpin Islam yang terus-terusan melihat mereka sebagai satu idola yang hebat lantas disembah dan disanjung tinggi atau sebagai pelindung pula kepada mereka lantaran hilangnya keyakinan dan keupayaan sendiri.
Lihat sahaja situasi yang berlaku di Iraq apabila ada segelintir negara Arab yang menyokong tindakan negara penceroboh bagi mendapatkan sokongan dan perlindungan mereka kerana tiadanya kekuatan sendiri ataupun kegagalan mereka melihat kekuatan yang ada bagi digunakan sepenuhnya secara sepakat di kalangan sesama negara Islam untuk mempertahankan diri dari serangan musuh.
Ambillah iktibar dari firman Allah dalam surah Hud, ayat 100-101 bermaksud: Yang demikian ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), Kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan) dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap). Dan tiada Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikit pun pada masa datangnya azab Tuhanmu dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
Umat Islam juga perlu menyedari bahawa dalam peperangan dan pencerobohan sudah pasti penghapusan satu-satu kaum dan bangsa atau etnik akan turut berlaku bagi memungkinkan tercapainya matlamat negara yang melakukan pencerobohan dan penguasaan tersebut. Matlamat tersembunyi ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sehingga kini, adalah sesuatu yang amat memilukan apabila banyak juga negara dan umat Islam yang diserang atau menjadi sasaran bangsa yang sombong dan takbur yang lebih suka menjadi lawan dan musuh seperti apa yang berlaku di Palestin, Afghanistan dan Iraq, malah mimpi ngeri yang sama mungkin akan turut dideritai oleh rakyat Syria dan Iran.
Dunia telah pun menyaksikan betapa ramainya golongan muda, remaja dan kanak-kanak Iraq yang sihat dan bakal menjadi pemimpin negara mereka kelak tetapi telah menjadi cacat, cedera dan maut akibat pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya. Dalam perkara ini, siapakah yang akan membela mereka jika pemimpin dunia Islam sendiri masih lagi memberi peluang kepada negara musuh mengambil kesempatan untuk menghapuskan rakyat mereka.
Kebanyakan negara Islam mempunyai sumber semula jadi yang baik dan khazanah peninggalan sejarah yang mempunyai nilai ketamadunan yang tinggi selain dari nilai komersial. Sejarah tamadun manusia menunjukkan bahawa kehidupan dan peradaban di Iraq adalah pusat peradaban manusia yang paling awal di mana bermulanya tamadun manusia kini. Selain itu, Iraq juga merupakan tempat suci umat Islam kerana di sinilah dimakamkan tokoh Islam agung Saidina Husin radhiallahu anhu.
Selain dari ada kota Babylon, kota Baghdad pula amat sinonim dengan Hikayat 1001 Malam yang terkenal itu di samping sebagai pusat perkembangan ilmu Fiqh dan Usul Fiqh serta perkembangan Bahasa Arab (Nahu). Di Bandar Kufah dan Basra pula merupakan tempat lahirnya dan berkembangnya mazhab Fiqh terkenal iaitu mazhab Syafie oleh Imam As Syafie rahimahullah.
Di kota Baghdad juga tersimpannya pelbagai khazanah sejarah manusia dan bahan-bahan arkeologi berusia beribu tahun paling berharga dunia yang bernilai berbilion dolar seperti batu bersurat kaum Hammurabi yang tertulis kod undang-undang bangsa Hammurabi, lukisan arca Raja Gudea yang menjadi pengasas empayar Sumeria selain patung Babylon, Nineveh dan Sumeria.
Nasib kesan-kesan bukti sejarah ini sudah pasti akan lenyap lantas melenyapkan peranan dan sumbangan Islam dalam peradaban dunia. Ini juga merupakan antara matlamat musuh Islam yang iri hati melihat kekuatan Islam bangkit dari mencorakkan perkembangan dan kemajuan ilmu dan teknologi dunia.
Oleh itu, dunia Islam perlulah bangkit dari peristiwa yang menyayat hati ini dengan bersepakat dan bersatu padu sesama saudara seagama mereka demi memelihara maruah ajaran agama yang suci ini.