PERCATURAN politik antarabangsa hari ini menampakkan lemahnya nilai murni manusia. Kepentingan peribadi yang membelakangi kepentingan majoriti, begitu menonjol akhir-akhir ini. Senario ini meminggirkan peranan dan kepentingan agama sebagai asas kepada pemikiran dan amalan.
Manusia sudah lama menyedari perlunya satu usaha atau prinsip untuk menamatkan sebarang konflik melalui perjanjian, persefahaman dan kerjasama. Melalui inisiatif ini, Barat berjaya keluar daripada zaman kegelapan kerana meyakini bahawa dasar kesinambungan persefahaman melalui kerangka formal, mengekalkan hak dan kedaulatan sebuah negara adalah diperlukan. Dengan termeterainya Perjanjian Westphalia 1648 yang menamatkan persengketaan selama 30 tahun di kalangan bangsa Eropah, mereka mampu menumpukan reformasi dan hala tuju pembangunan ke arah pengeluaran dan kemajuan yang begitu drastik dalam semua bidang. Dengan perjanjian itu, maka kewujudan negara yang berteraskan kepada kepentingan, semangat nasionalisme dan persempadanan, digariskan sebagai asas kepada pengiktirafan kewujudan sebuah entiti negara bangsa di Eropah.
Justeru, pelbagai kegiatan berorientasikan jalinan diplomasi di peringkat antarabangsa terjalin dan berjalan dengan lancar.
Dengan sistem dan struktur yang diterima pakai ini, perkembangan orde dunia yang positif terbentuk untuk menamatkan kerakusan manusia. Ini dapat dilihat daripada beberapa inisiatif yang diambil dalam sejarah dunia seperti penubuhan Liga Negara-negara dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).Sebenarnya, Islam memegang prinsip seperti ini lebih awal berbanding dengan Eropah. Islam berkembang dan menjadi wacana pergerakan massa. Tanggungjawab penganut Islam yang tidak mengenal perbezaan bangsa dan kebudayaan, menyebarkan Islam dan memanfaatkan agama itu sebagai satu cara hidup dalam semua genap kehidupan.Secara tidak langsung, nilai murni dan sejagat Islam terus tersebar ke seluruh dunia sehingga mendapat tentangan hebat daripada musuh Islam.
Mengapakah tentangan ini timbul, sedangkan agama Islam tidak mengajar penganutnya memaksa penganut agama lain, memeluk Islam?
Tentangan hebat ini timbul kerana agama yang sedia ada, dipesong dan digunakan oleh pihak berkepentingan, untuk mengumpul sokongan rakyat dan mendapatkan kuasa. Apabila kuasa mereka mula terjejas akibat perkembangan Islam, kedudukan mereka juga terjejas. Ini menyebabkan mereka menentang agama Islam yang begitu defensif atau bersifat mempertahankan apa yang ada.Sistem dunia yang diterima pakai ini, mendatangkan faedah besar kepada bangsa Eropah untuk terus maju dalam pelbagai aspek, sehingga mereka mula berpandangan jauh untuk menjajah dan membolot kekayaan di luar benuanya. Contohnya, sistem ekonomi kapitalisme, yang berpunca daripada kebangkitan ekonomi Eropah, yang mengubah struktur dominasi ekonomi pada ketika itu daripada feudalisme kepada kapitalisme (1450-1640).
Begitu juga, kebangkitan hegemoni British, anjakan daripada pertanian kepada industri kapitalisme, dan seterusnya dicirikan dengan hegemoni Amerika Syarikat.
Sistem yang diterima pakai ini terus berkembang dengan berlandaskan kepada hubungan diplomasi profesionalisme, di antara negara yang wujud ketika itu.
Modenisme dunia Barat melalui penemuan baru, mempertikaikan kedudukan agama yang ada pada ketika itu. Ini berbeza ketika kegemilangan Islam bahawa penemuan mengukuhkan lagi keyakinan terhadap nikmat dan kewujudan Allah.Oleh sedemikian, modenisme dalam erti kata sebenar bagi Barat, terus berlegar-legar dengan pendekatan dan pemikiran idealisme, realisme, utilitarianisme dan sebagainya, yang berpendapat bahawa, entiti (negara) yang wujud dalam interaksi hubungan antarabangsa, adalah alat politik untuk memenuhi kepentingan kelas atasan bagi mengaut sebanyak mungkin lebihan pengeluaran dunia.
Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan Teori Sistem Dunia (World System Theory) dan Teori Kebergantungan (Dependency Theory), yang mengasaskan hakikat kerakusan interaksi di antara negara, dalam konteks hubungan antarabangsa, disebabkan oleh sistem ekonomi dunia yang bercirikan transnasional, kewangan, pengeluaran dan perdagangan.
Keadaan ini tidak dapat dibendung hinggakan setiap negara terperangkap dengan pergantungan ekonomi nasional mutlak, yang mementingkan keuntungan lebih daripada keharmonian sejagat.
Pemikiran pemisahan di antara agama dan politik, yang diterima pakai oleh Barat ini, mempengaruhi keputusan dan langkah yang diambil untuk mencapai matlamat atau kepentingan negara. Ini berasaskan kepada teori “meletakkan yang lemah di bawah telunjuk yang kuat.”
Negara Islam, walaupun kaya dengan sumber bahan mentah, diletakkan sebagai pengguna atau pelanggan terakhir dalam sistem ini. Inilah yang menyebabkan dunia Islam pada hari ini terus dibelenggu telunjuk Barat.
Belenggu ini bertambah ketat dengan terbentuknya blok pemusatan kuasa yang menggunakan entiti negara yang menganggotainya, sebagai alat untuk mencapai kepentingan persepakatan politik ekonomi mereka. Akhirnya, akan keluar daripada pemusatan ini konsep hegemoni di mana satu negara yang kuat, akan cuba mendominasi dunia, mengikut kehendak dan kepentingannya.Hakikat ini, walaupun cuba dibendung melalui kuasa veto yang diberikan kepada lima keanggotaan kekal di PBB, namun, ia akan terus menghantui orde baru dunia pada hari ini. Senario ini menyebabkan umat manusia kembali ke zaman batu, yang hidup dalam dilema ketakutan. Keadaan di mana setiap negara bersaing dan berlumba-lumba memperlengkapkan kekuatan mereka, mencorakkan masa depan dunia yang begitu menggerunkan.
Dengan senario ini, penghuni dunia tidak akan dapat hidup aman, melainkan mereka kembali kepada asas utama, iaitu peranan agama, dalam pembentukan sahsiah dan keperibadian manusia.