Ajaran Islam menuntut seluruh umatnya agar membina kehidupan yang sihat dan selamat pada setiap masa. Mengamalkan cara hidup yang sihat dan mencari kehidupan yang baik serta selamat adalah pilihan dan tanggungjawab mereka sendiri yang pada dasarnya dicetuskan oleh ajaran dalam Islam.
Allah berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 104 bermaksud: Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kejahatan.
Namun di negara ini, kita dapati pihak pemerintah dan pelbagai agensi lain di bawahnya lebih bersikap proaktif dengan cuba memastikan setiap rakyatnya dapat hidup dengan aman dan tenteram serta selamat. Tanggungjawab yang murni ini jelas kelihatan menerusi pembentangan Bajet 2004 yang baru menyentuh beberapa aspek berkaitan amalan dalam kehidupan yang tidak sihat, tetapi amat disukai oleh kebanyakan rakyat. Satu kaedah bagi membanteras amalan yang tidak sihat itu adalah dengan meningkatkan kadar cukai terhadap barangan yang terbabit agar dengan ini rakyat akan merasakan kepayahan dan kesukaran untuk memilikinya.
Lambat laun, mereka akan berubah sikap dan seterusnya akan cuba mengamalkan amalan cara hidup yang boleh meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri. Atau paling kurang pun, mereka tidak akan lagi mampu membeli dan mengambil barang-barang yang berkenaan yang sememangnya akan mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan diri dan kesejahteraan keluarga serta masyarakat dan negara.
Dalam peruntukan bajet bagi tahun 2004 itu yang bertemakan Meraih Kejayaan Membina Masa Depan, sebenarnya kenaikan kadar cukai bagi produk berasaskan tembakau seperti rokok sebanyak 20 peratus dan 10 peratus ke atas minuman keras sudah mampu untuk menyedarkan rakyat agar mereka berfikir dua kali sebelum mengikut telunjuk hawa nafsu untuk memilikinya. Selain bertujuan mendidik pemikiran dan membimbing tingkah laku mereka agar meninggalkan tabiat buruk ketagihan rokok dan arak, ia juga bertujuan untuk membendung kesan buruk gejala sosial daripada terus membarah dalam masyarakat dan kepada negara.
Masyarakat pada umumnya mengetahui bahawa rokok dan arak boleh mengakibatkan 1001 macam penyakit berbahaya. Dan umat Islam pula lebih maklum bahawa mereka adalah dilarang menggunakannya. Mereka juga seringkali diingatkan dengan beberapa potongan ayat al-Quran dan hadis bahawa melakukan sesuatu yang ditegah keras oleh agama adalah haram dan berdosa, contohnya dalam surah al-Baqarah, ayat 195 bermaksud: Dan belanjakanlah harta bendamu di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.
Sewajarnya setiap individu Muslim melihat tindakan menaikkan kadar cukai ke atas barangan terbabit sebagai satu usaha murni bagi menyedarkan masyarakat bahawa barangan tersebut bukannya satu keperluan asas, malah hanya akan membazirkan wang mereka di samping turut mendatangkan pelbagai penyakit pula kepada mereka. Tidak membeli dan menghisap rokok atau meminum arak merupakan satu langkah awal ke arah memelihara kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Inilah sebahagian dari amalan cara hidup yang sihat. Manakala menaikkan kadar cukai ke atas barangan terbabit pula merupakan langkah awal dalam membendung tabiat pembaziran dan amalan buruk mereka. Inilah yang perlu difahami dan disedari oleh umat Islam.
Tetapi yang lebih penting lagi sebenarnya adalah seperti apa yang sudah mereka semua maklumi, tetapi cuma perlu diperingatkan lagi pada saban hari akan sepotong firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 90 bermaksud: Wahai orang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, menyembah berhala dan menilik nasib adalah perbuatan keji dan berdosa, dari amalan syaitan.
Banyak perkara berkaitan ketagihan rokok yang menyumbang kepada gejala sosial. Adalah dipercayai bahawa rokok merupakan permulaan kepada penyalahgunaan dadah. Dalam rokok terdapat tembakau yang mengandungi nikotin, sejenis dadah yang mendatangkan kesan ketagihan yang sama seperti dadah heroin dan morfin. Rokok turut mencemarkan udara dan persekitaran. Rokok juga akan meningkatkan lagi risiko seseorang untuk menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan strok, pelbagai jenis kanser malah juga mati pucuk, selain mengurangi jumlah sperma dan ovum. Adalah diharapkan agar kenaikan kadar cukai ke atas barangan ini mampu menyedarkan mereka akan bahaya tabiat yang tidak betul ini.
Bagi kebanyakan anak-anak muda, mesej dan nilai murni dari peningkatan kadar cukai ini mungkin tidak dihayati sepenuhnya kerana terdapat pelbagai faktor lain yang meniupkan semangat mereka untuk merokok. Manakala bagi golongan dewasa dan sudah lanjut usia pula mungkin berasa amat sukar untuk meninggalkan amalan yang tidak sihat ini akibat ketagihan yang telah menguasai diri, lebih-lebih lagi sumber kewangan yang ada tidak mungkin boleh menjejaskan naluri ketagihan mereka ini. Dan apa yang terbaik untuk dilakukan buat masa ini adalah kaedah pendidikan dan penyebaran maklumat yang boleh menarik perhatian mereka bagi membanteras cara hidup yang tidak sihat ini.
Bagi tujuan ini, satu kempen berhenti merokok secara besar-besaran peringkat kebangsaan, bermula Ramadan 1424 Hijrah ini, akan diadakan oleh Kementerian Kesihatan. Kempen bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia. Kempen bertemakan Nafas Baru Bermula Ramadan 1424 Hijrah, adalah satu contoh dalam usaha untuk merealisasikan amalan cara hidup sihat sebagaimana yang dikehendaki Islam.