BERILMU saja tidak cukup bagi wanita, malah mereka perlu menggunakan ilmu yang ada dengan bersuara dan bertindak agar mendapat hak yang ditetapkan. Ilmu yang ditekankan di sini adalah ilmu berkaitan hak mereka.
Bagi wanita yang bernasib baik, mereka perlu menggunakan ilmu untuk membantu wanita kurang bernasib baik melalui penyatuan suara dan tindakan berkesan.
Kita tahu Islam menuntut umatnya, tidak kira lelaki atau perempuan untuk menuntut ilmu. Wanita Malaysia amat beruntung kerana dari dulu negara kita memberi peluang kepada semua warganya untuk menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi tanpa mengira jantina.
Namun, apa yang perlu dibetulkan ialah hakikat pencarian ilmu tidak terhenti selepas keluar dari institusi pendidikan formal. Banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari dan dicari melalui pembacaan atau majlis ilmu lain. Contoh yang mudah, ilmu mengenai hak wanita tidak pernah diajarkan secara formal kecuali bagi mereka yang mengambil subjek wanita di institusi pengajian tinggi (IPT).
Sehubungan dengan konsep ilmu ini juga, kita perlu sedar ilmu perlu dikongsi untuk kebaikan bersama. Jika kita boleh berkongsi gosip terkini mengenai artis, mengapa tidak boleh berkongsi ilmu baru yang bermanfaat?
Sebenarnya ada banyak cara untuk berkongsi ilmu. Misalnya, memberi orang lain membaca majalah bermaklumat yang dibeli atau mengedarkan maklumat berguna melalui emel.
Soal wanita berilmu diperkatakan kerana ia pernah menjadi tema sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat kebangsaan di Kuching, Sarawak, pada 8 Mac lalu.
Tema ‘Berilmu, bersuara, bertindak’ dipilih kali ini masih menekankan kepada usaha menghentikan keganasan terhadap wanita.
Dari segi bersuara dan bertindak, Islam menggalakkannya kerana ini adalah aplikasi ilmu yang dimiliki. Ilmu yang ada bukan saja dituntut diajarkan (dikongsi) kepada orang lain, lebih penting perlu digunakan untuk mengelak diri (sendiri dan orang lain) daripada kemudaratan.
Oleh itu, jika wanita menggunakan ilmu untuk membantu wanita lain yang teraniaya melalui penyatuan suara dan tindakan berkesan, ini amat digalakkan Islam
Dalam hal bersuara dan bertindak, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian oleh wanita. Pertama, keberanian menyuarakan hak. Kedua, strategi bersuara dan bertindak.
Tidak semua wanita berani menyuarakan ketidakadilan yang berlaku kepada mereka. Namun, ini mungkin dapat diatasi selepas berbincang dengan teman lain yang memberi semangat dan sokongan.
Strategi juga penting. Wanita yang bersuara dan bertindak mengikut emosi sering tidak mendapat apa yang diinginkan. Sebaliknya, wanita yang bersuara dan bertindak secara bijaksana kerap mendapat apa yang dihajati.
Oleh itu, dalam usaha bersuara dan bertindak, perbincangan dengan rakan lain adalah perlu agar kita sampai kepada strategi terbaik yang membolehkan bukan saja suara didengari, malah membuatkan si pendengar ingin melakukan perubahan demi kebaikan bersama.
Bersuara dan bertindak dengan penuh strategi bukan sesuatu yang asing bagi wanita Islam. Sejak zaman Rasulullah saw, wanita Islam dengan berani bersuara dan bertindak demi hak mereka. Misalnya, kisah wanita Islam meminta Rasulullah menetapkan masa khusus untuk mereka belajar agama agar tidak perlu berebut dengan lelaki untuk bertanya soalan. Alhamdulillah, Rasulullah memperkenankan permintaan itu.
Ada juga kisah sekumpulan wanita memilih wakil untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana lelaki berpeluang mendapatkan banyak pahala melalui kegiatan luar rumah, sedangkan mereka hanya tinggal di rumah menguruskan keluarga.
Wanita pada zaman itu juga menggunakan strategi. Misalnya, sekumpulan isteri Rasulullah pernah berasa tidak puas hati terhadap sikap sahabat yang sering menghantar buah tangan ketika Rasulullah bermalam di rumah Aisyah.
Untuk menyuarakan rasa tidak puas hati itu, mereka memilih seorang isteri yang dirasakan boleh membawa mesej itu dengan baik dan berkesan. Apabila wakil itu gagal, mereka menghantar anakanda Baginda, Fatimah dengan harapan ada perubahan kerana Baginda amat menyayangi Fatimah dan tidak akan menghampakannya.
Ini jelas menunjukkan dalam bersuara dan bertindak, strategi amat penting. Untuk mendapatkan apa yang dihajati, usahakan dengan penuh bijaksana umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserakan.
Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh wanita dan lelaki ialah hakikat keadaan wanita di negara ini tidak berubah jika hanya wanita yang menghayati tema ini. Apa yang lebih penting ialah persekitaran yang menyokong dan kondusif. Tiada guna wanita menghayati tema ini jika suara dan tindakan mereka seumpama anjing menyalak bukit.
Wanita pada zaman Rasulullah berjaya melalui suara mereka kerana Baginda mendengar apa yang disuarakan dan bertindak mengikut keperluan suara itu. Betapa pekanya Baginda terhadap suara wanita, begitu juga kita harapkan lelaki di negara ini.