Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands, Pahang dan di Bukit Kukus, Pulau Pinang baru-baru ini bukanlah kali pertama berlaku di Malaysia melibatkan kawasan lereng bukit. Malahan, tragedi seumpama ini telah berulang kali berlaku sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.
Apabila tragedi ini berulang kembali, siapa yang harus dipersalahkan? Bukan tiada teguran dan desakan daripada pelbagai pihak yang menuntut perhatian daripada pihak berwajib bagi menghentikan aktiviti penerokaan dan pembangunan di kawasan-kawasan sensitif alam sekitar. Namun, semuanya seolah-olah dipandang sepi tanpa sebarang tindakan susulan yang sewajarnya bagi menghentikan aktiviti ini.
Di Cameron Highlands misalnya, aktiviti penerokaan hutan secara berleluasa untuk tujuan pertanian juga telah berlanjutan sejak sekian lama, dan dalam tempoh itu juga kita menyaksikan bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh kerap kali berlaku. Keadaan terus berlanjutan dan sehingga ke hari ini didapati tiada penyelesaian terhadap permasalahan berkenaan.
Walaupun telah banyak desakan daripada pelbagai pihak khususnya badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan para aktivis alam sekitar untuk menghentikan segala bentuk aktiviti pembangunan dan penerokaan di kawasan-kawasan lereng bukit yang berisiko, namun seolah-olah langsung tidak diendahkan oleh pihak terbabit.
Sebaliknya, aktiviti pembangunan di kawasan-kawasan sensitif alam sekitar masih rancak dilaksanakan tanpa memikirkan faktor keselamatan kepada penduduk setempat dan juga kemaslahatan alam sekitar secara keseluruhannya. Sikap mengambil mudah dalam perkara-perkara seumpama ini secara jelas mencerminkan bahawa pihak berkepentingan dan para pemaju tidak belajar daripada kesilapan lalu.
Sedangkan, tragedi tanah runtuh yang berlaku di segenap pelosok negeri kesemuanya adalah berakar umbi daripada kesilapan yang sama, yakni ekoran daripada aktiviti pembangunan yang tidak beretika dan melampaui batas. Malah, aktiviti-aktiviti pembangunan yang dilaksanakan pada hari ini juga bukan sahaja tidak mengikut peraturan dan garis panduan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib, sebaliknya turut melanggar hukum alam itu sendiri sehingga mengundang risiko bencana yang kian berleluasa sejak kebelakangan ini.
Di dalam al-Quran, Allah SWT ada menyebut bahawa bukit-bukau dan gunung-ganang diciptakan oleh Allah SWT bukan dengan sia-sia, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai pasak bumi yang memberi kestabilan kepada struktur tanah daripada gegaran dan juga tanah runtuh. Hal ini disebutkan dengan jelas menerusi firman-Nya (Surah an-Naba’, ayat 6-7) yang bermaksud: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?”
Daripada ayat di atas, sewajarnya dapat memberi kefahaman yang jelas kepada kita bahawa sebarang bentuk pembangunan di kawasan lereng bukit perlu dielakkan bagi memastikan pasak bumi tidak dimusnahkan dan kestabilan ekosistem di kawasan berkenaan dapat dikekalkan. Hal ini amat penting untuk diberi perhatian, kerana sekiranya kawasan lereng bukit masih juga diganggu dan diterokai, ia akan mengundang masalah yang lebih besar di kemudian hari. Ini kerana, apabila cerun dipotong atau diganggu, ia akan menyebabkan struktur tanah akan menjadi longgar dan tidak stabil dalam jangka masa yang panjang. Ini seterusnya akan mengundang kepada kejadian bencana alam yang lebih dahsyat pada masa akan datang.
Justeru, tragedi tanah runtuh yang berlaku ini merupakan salah satu bencana yang sewajarnya diambil iktibar oleh semua pihak sebagai peringatan daripada Allah SWT natijah daripada kealpaan dan kerakusan segelintir pihak menggondolkan kawasan bukit-bukau dan gunung-ganang sehingga mengundang padah.
Hal ini telah dinukilkan dengan jelas di dalam firman Allah SWT (Surah ar-Rum, ayat 41) yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia: (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Sudah tiba masanya semua pihak membuka mata melihat bencana yang berlaku ini sebagai teguran dan peringatan daripada Allah SWT untuk pihak-pihak yang terlibat mengambil tanggungjawab bagi memulihkan kepincangan alam sekitar di kawasan terbabit dengan meneliti kesemua faktor yang menyumbang kepada tragedi berkenaan. Ini penting bagi memastikan isu penerokaan tanah secara haram yang semakin membimbangkan khususnya di Cameron Highlands dapat ditangani sehingga ke akar umbi.
Dalam konteks ini, campurtangan pihak kerajaan adalah perlu bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan aktiviti penerokaan tanah secara haram yang kian berleluasa di kawasan berkenaan.
Malah, kajian dan penelitian secara terperinci serta menyeluruh diperlukan bagi memastikan sama ada terdapat kemungkinan wujudnya tangan-tangan ghaib atau gejala rasuah di sebalik isu penerokaan tanah secara haram ini sehingga menyebabkan aktiviti berkenaan seolah-olah agak ‘kebal’ dan sukar untuk dibendung.
Sekiranya terdapat penglibatan rasuah dalam isu ini, maka ia tidak seharusnya dibiarkan menjadi barah sehingga memusnahkan khazanah alam yang cukup bernilai yang telah menjadi tarikan eko-pelancongan sejak sekian lama. Sebaliknya, ia perlu dibanteras habis-habisan agar tragedi sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Selain itu, polisi pembangunan di kawasan tanah tinggi sedia ada juga perlu disemak semula dan ditambahbaik agar kejadian bencana yang tidak diingini dapat dielakkan. Malah, semua pihak perlu peka dengan keadaan alam sekitar dan membuat kajian secara terperinci terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang bentuk aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi.
Dalam konteks ini, aspek keselamatan dan kestabilan cerun perlu diambilkira dan diberi keutamaan sebelum sesuatu projek pembangunan diluluskan. Ini penting bagi memastikan sesuatu projek pembangunan yang dilaksanakan tidak mendatangkan mudarat kepada keselamatan awam dan juga kemaslahatan alam sekitar secara keseluruhannya.