Kisah Cikgu Husin bin Jafar, 62 tahun yang saban hari berjalan kaki lebih sejam, melebihi tiga kilometer dan melintasi dua buah titian serta mengharungi dua buah sungai; besar dan kecil demi menjalankan tugasnya sebagai pendidik benar-benar menyentuh hati nurani. Kisah dan pengalaman yang sama turut dilalui sebahagian pelajarnya di Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI), Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu dalam perjalanan mereka saban hari demi mendapatkan ilmu pengetahuan. Kesabaran mereka lebih teruji apabila berlaku hujan lebat dan banjir. Banjir tersebut bukan sahaja memusnahkan titian yang membawa mereka ke seberang, malah turut memusnahkan impian besar mereka untuk sehari lagi berpeluang mengisi ilmu di dada. Kisah-kisah seumpama ini yang sering didengar berpuluh tahun yang lalu hakikatnya masih berterusan hingga hari ini. Kisahnya masih serupa dan kecekalan mereka tetap sama. Lebih mendukacitakan, kedudukan mereka sebagai komuniti tidak bernegara turut kekal sebagaimana dahulunya.
Dilaporkan bahawa terdapat sejumlah 290,437 kanak-kanak tidak bernegara yang tinggal di negara ini. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak berkenaan tidak diberikan kewarganegaraan termasuklah ketiadaan dokumen rasmi seperti sijil kelahiran. Status tidak bernegara menafikan hak kanak-kanak tersebut, setakat ini untuk memasuki sekolah-sekolah awam, bergerak atau mengembara, dan memperoleh akses kepada penjagaan kesihatan. Status tidak bernegara juga meningkatkan risiko komuniti tidak bernegara kepada penahanan, diskriminasi, penderaan, eksploitasi, dan pemerdagangan manusia. Jelas bahawa peluang menikmati hak-hak asas yang penting dan ditekankan syarak seperti kesihatan yang menjamin kelangsungan kehidupan dan pendidikan yang menjamin pembangunan serta kemajuan, tidak diperoleh komuniti tidak bernegara. Malah, pada masa yang sama, mereka turut terdedah pada risiko-risiko tertentu yang mengancam keselamatan diri dan kehidupan.
Meskipun telah memberikan komitmen terhadap pencapaian 17 matlamat yang disytiharkan di bawah Matlamat Pembangunan Lestari 2030, Malaysia bagaimanapun masih belum mengamalkan prinsip pendidikan universal kepada semua. Kewarganegaraan masih menjadi keperluan untuk memasuki sekolah kebangsaan. Hal ini menjadi halangan bagi banyak kanak-kanak tidak bernegara, penghijrah dan pelarian untuk mendapatkan manfaat daripada pendidikan rendah. Sehubungan itu, 12 inisiatif terbaru peringkat sekolah yang diumumkan Menteri Pendidikan pada 17 Oktober melalui akaun facebooknya yang turut menjamin peluang untuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan memasuki sekolah kerajaan pada Januari 2019, mengundang kegembiraan yang bukan sedikit.
Pendidikan jelas merupakan satu-satunya mekanisme yang dapat menjamin kemajuan sesebuah masyarakat. Justeru, penafian hak pendidikan sesebuah komuniti merupakan pelanggaran hak asasi manusia dalam konteks sosial, ekonomi, dan kebudayaan. Bagi memastikan rekod hak asasi manusia yang cemerlang dipertahankan, Malaysia perlu memastikan bahawa semua kanak-kanak dalam wilayahnya diberikan akses kepada pendidikan. Kepentingan peranan pendidikan dapat dilihat ditekankan dalam beberapa instrumen antarabangsa seperti Artikel 26 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Artikel 13 serta 14 Kovenan Antarabangsa berkaitan Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESR).
Kegigihan usaha yang diambil oleh Haluan Sabah untuk menubuhkan tujuh buah sekolah rakyat yang dikenali sebagai Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan amatlah terpuji. Langkah tersebut diambil pastinya kerana menyedari kepentingan besar pendidikan di samping ketiadaan peluang bagi kanak-kanak berkenaan untuk memasuki sekolah-sekolah awam. Kecekalan semangat guru-guru menjalankan tugas meskipun tanpa jaminan elaun tetap dan kedalaman minat pelajar-pelajar sekolah yang tidak tergugat oleh apa juga bentuk halangan, mengundang delegasi demi delegasi bertamu demi menghulurkan bakti. Antaranya termasuklah sekumpulan sukarelawan di bawah naungan tiga buah Pertubuan Bukan Kerajaan (NGO), iaitu Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA), WAFIQ dan CONCERN yang melaksanakan misi #TagupiMembaca pada 10-13 Oktober 2018 yang lalu.
Dalam misi berkenaan, 15 orang sukarelawan termasuk penulis dan aktivis cilik selain seorang wartawan serta jurugambar Utusan Online, diterbangkan ke Lahad Datu, Sabah. Kumpulan sukarelawan tersebut membawa 418kg pelbagai jenis bahan bacaan, rujukan dan latihan di samping alat tulis, permainan rakyat serta peralatan penjagaan diri untuk PPMI Kg Tagupi Laut. Selain sumbangan bahan-bahan bacaan dan dana, kelas-kelas pembelajaran bahasa Inggeris turut diadakan untuk pelajar-pelajar serta tenaga pengajarnya. Misi penuh makna selama empat hari itu juga merupakan susulan daripada program yang dijalankan untuk menyantuni komuniti tidak bernegara oleh delegasi MACSA pada Julai lalu di beberapa buah sekolah rakyat (PPMI). Ziarah singkat itulah yang mendedahkan impian besar pelajar-pelajarnya untuk menimba ilmu pengetahuan meskipun kedaifan menyelubungi tempat dan suasana pembelajaran mereka. Antaranya termasuklah kekurangan peralatan mengajar dan ketiadaan pelan pemakanan sihat untuk pelajar-pelajar.
Begitu juga dengan jumlah bahan bacaan, rujukan serta latihan yang tidak mencukupi. Malah, terdapat buku teks terpakai yang digunakan, iaitu hasil sumbangan orang ramai telah hilang atau terkoyak helaian halamannya. Justeru, tidaklah menghairankan apabila menerima sejumlah buku yang besar; dengan pelbagai judul, tema, dan bahasa melalui misi #TagupiMembaca, kesyukuran mereka bagaikan tidak terlafaz melalui kata-kata. Program #Tagupi Membaca berakhir dengan membawa permintaan kecil pelajar-pelajar dan tenaga pengajarnya tetapi besar maknanya buat kita semua. Antaranya sepatu yang telah rosak diganti baharu, guna mengharungi perjalanan jauh dan arus deras sungai demi meneruskan tugas mendidik anak bangsa. Demikian juga bumbung beratap nipah yang telah usang diganti dengan yang lebih kukuh, buat berteduh saat mengikuti pembelajaran dan menekuni pengajian.
Permintaan ini tidak lain, semata-mata menggambarkan kecintaan mendalam dan semangat diri yang tinggi demi ilmu pengetahuan. Kecintaan dan semangat yang tidak mungkin tertewas oleh apa pun juga halangan mahupun batasan, termasuklah kekurangan dari sudut harta benda. Beruntunglah mereka yang tergolong dalam kumpulan yang sanggup menempuh kesulitan demi mendapatkan atau menyampaikan ilmu pengetahuan. Demikian pula beruntungnya insan yang sentiasa bersedia menginfakkan apa juga yang dimiliki demi menunaikan keinginan dan keperluan insan lain, sebagaimana digambarkan dalam Hadith yang bermaksud, “Sesiapa yang melapangkan salah satu kesulitan dunia daripada seorang Mukmin, maka Allah akan melapangkan baginya salah satu kesulitan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan (urusan) orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat….Allah sentiasa menolong seorang hamba, selagi hamba tersebut membantu saudaranya. ” (Muslim)