Sejarah menunjukkan bahawa Perang Dunia Kedua telah dicetuskan oleh suatu bangsa yang percaya terhadap kelebihan dan keutamaan bangsanya mengatasi bangsa-bangsa lain. Mereka percaya bahawa evolusi telah mengangkat martabat sesetengah bangsa menjadi manusia istimewa (superhuman) dan menurunkan yang lain menjadi subhuman. Bangsa Aryan melihat dirinya mempunyai potensi untuk menjadi superhuman, dan oleh sebab itu ia mesti dilindungi daripada dicampuri oleh bangsa-bangsa lain bagi memastikan keasliannya. Secara ringkasnya itulah pegangan kaum cerdik pandai di universiti-universiti terkemuka di Eropah pada tahun 40-an. Walaupun tidak semua mereka menyokong ideologi Nazisme tetapi mereka secara umumnya percaya terhadap keunggulan bangsa kulit putih (white supremacy) dan kehinaan bangsa-bangsa yang lain. Di Australia kepercayaan ini diterjemahkan kepada dasar hanya menerima penghijrahan bangsa kulit putih, dan dasar ini dilaksanakan sehingga tahun 1973. Di Afrika Selatan kepercayaan ini telah menimbulkan dasar apartheid yang mendeskriminasi manusia berdasarkan warna kulit.
Perang Dunia Kedua telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada dunia, secara khusus kepada bangsa-bangsa Eropah. Sedikit demi sedikit mereka mula menyedari bahaya faham perkauman sempit yang memuliakan sesuatu bangsa berdasarkan warna kulit semata-mata. Pengalaman ngeri peperangan yang dicetuskan oleh ideologi yang berasaskan perkauman menyebabkan mereka mula menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang dikaitkan dengan perkauman. Mereka kini bercakap dan cuba mengajar manusia semua tentang kemanusiaan dan hak asasi manusia serta cuba pula menguatkuasakan kepercayaan baharu itu kepada semua dengan berbagai-bagai cara. Barangkali mereka sudah lupa bahawa baru beberapa dekad yang lalu malapetaka yang besar telah menimpa manusia gara-gara ideologi perkauman yang mereka ajarkan kepada manusia. Kini sekali lagi Barat mahu menjadi guru kepada semua manusia. Tapi kita harus nyatakan dengan terus-terang kepada mereka bahawa kalau adapun perkara yang kita boleh pelajari dari Barat, soal manusia dan kemanusiaan bukanlah salah satu daripadanya. Mereka tidak mempunyai rekod yang baik tentang perkara itu untuk dijadikan rujukan.
Daripada pengalaman mereka telah menyimpulkan bahawa apa yang difahami sebagai insan dan hakikat itu senantiasa menempuhi perubahan. Bukan sahaja manusia itu dipercayai berevolusi daripada beruk kepada homo sapiens, bahkan apa yang manusia fikir dan fahami tentang makna dirinya juga tertakluk kepada evolusi, iaitu senantiasa berubah-ubah. Bagi mereka hanya dengan perubahan yang berterusan sahaja manusia maju ke hadapan. Apa yang sebenarnya berlaku adalah perubahan yang tiada arah tujuan dan akibatnya adalah manusia yang terpinga-pinga mencari makna diri dan tujuan hidup. Pandangan dan sikap Tamadun Barat terhadap perubahan menunjukkan bukan setakat mereka sudah tidak kenal diri sendiri bahkan mereka telah menafikan kemungkinan diri itu dikenali hakikatnya. Apa yang manusia mampu lakukan sepanjang hayat dan sejarahnya, menurut mereka, adalah berterusan mencari dan mencari seolah-olahnya pencarian itu adalah suatu permainan yang bertujuan semata-mata untuk melekakan buat seketika para pemainnya tentang nasib dirinya yang sebenar. Yang demikian itulah secara ringkasnya hal keadaan jiwa bangsa Barat yang kononnya mahu mengajar seluruh manusia makna kemanusiaan. Hal keadaan mereka itulah yang disifatkan oleh Tan Sri Profesor Syed Muhammad al-Naquib bin Ali al-Attas sebagai nasib yang amat malang yang disebabkan oleh tiadanya keyakinan terhadap makna diri dan nasib akhir. Diri itu disifatkan sebagai malang kerana dia tidak mengenali dari mana asalnya dan ke mana akhirnya, dan diri yang sedemikian keadaannya tidak mungkin dia merasa bahagia. Bahkan kalau seluruh dunia dan isinya menjadi miliknya sekalipun dia tetap takkan merasa puas. Tetapi itulah nasib yang ditakdirkan untuk manusia menurut fahaman Tamadun Barat. Oleh sebab itu mereka menganjurkan supaya kita hidup sepenuhnya untuk masa kini, dan melupakan tentang kesudahan yang abadi.
Tumpuan hidup orang Barat semata-mata terhadap masa kini dan kehidupan duniawi adalah disebabkan oleh keraguan mereka terhadap masa lalu dan masa hadapan kerana menolak Tuhan dan petunjuk agama. Yang mereka yakini wujud adalah semata-mata masa kini dan apa yang sedang dialami di dunia ini. Lalu mereka mengambil jalan mudah dengan melupakan masa lalu dan masa akan datang kerana semata-mata menurut hawa nafsu. Inilah asas kepada falsafah kemanusiaan sekular yang meletakkan keutamaan terhadap kehidupan duniawi dan nasib hidup manusia dalam kehidupan duniawi semata-mata. Berasaskan falsafah inilah dibina faham ilmu dan pendidikan serta dibangunkan masyarakat dan negara. Falsafah inilah yang giat dianjurkan kepada seluruh umat manusia sebagai kebenaran tertinggi.
Bagi Kaum Muslimin tiada sebab untuk mereka cuba mengikuti jejak langkah bangsa Barat itu kerana bagi mereka sudah nyata petunjuk agama perihal makna dan nasib diri insan. Mereka tidak perlu lagi tercari-cari apa yang sudah ada. Yang mereka perlukan adalah cuba memahami dan mengamalkannya sungguh-sungguh. Setiap Muslim menginsafi hakikat bahawa setinggi manapun ilmu pengetahuan dan kemajuan duniawi yang dicapai oleh sesuatu bangsa dan tamadun, apa yang paling penting adalah perkara yang dialami dan dirasai oleh setiap diri iaitu kebahagiaan. Dalam soal ini Kaum Muslimin sepatutnya menjadi guru bukan sahaja kepada Barat bahkan kepada seluruh umat manusia. Walau bagaimanapun itu tidak mungkin akan berlaku kalau sekiranya mereka turut membiarkan diri sendiri dibelenggu oleh krisis makna diri.