Sebagai satu usaha menangani perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan, IKIM telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat “Etika Kecerdasan Buatan” pada 20 Februari 2019 bertempat di Dewan Besar IKIM. Objektif program ini adalah untuk memahami perkembangan mutakhir bidang kecerdasan buatan serta kesannya kepada masyarakat, di samping mengenal pasti isu-isu etika berkaitan teknologi ini. Sebanyak tujuh kertas kerja telah dibentangkan bagi mencapai objektif-objektif tersebut.

Dua kertas kerja dibentangkan pada sesi pertama yang menyentuh tema “Trend Terkini Kecerdasan Pintar dalam Industri Kritikal”. Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Dr. Rezal Khairi Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, Nano Malaysia Bhd. dengan tajuk “Kecerdasan Buatan dalam Industri Pembuatan” manakala kertas kerja kedua dibentangkan oleh Profesor Dato’ Dr. Norbik Bashah Idris dari Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan tajuk “Bagaimana Kecerdasan Buatan Sedang Mentransformasi Industri Kewangan.”

Dalam sesi kedua yang bertemakan “Kecerdasan Buatan: Isu dan Kebimbangan”, dua lagi kertas kerja dibentangkan. Encik Muhammad Husni Mohd Amin, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM membentangkan kertas kerja bertajuk “Automasi: Patutkah Kecerdasan Buatan Menggantikan Kerja?” sementara Dr. Azree Shahrel Ahmad Nazri dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia membentangkan kertas kerja bertajuk “Kebimbangan Mengenai Kesedaran Mesin Menurut Hawking dan Gates”.

Encik Muhammad Husni Mohd Amin, Pegawai Penyelidik Kanan membentangkan kertas kerja beliau
Pada sesi terakhir yang membincangkan tema “Meneroka Kemungkinan Kerangka Kerja Etika bagi Kecerdasan Buatan”, tiga kertas kerja telah dibentangkan. Profesor Dr. Mohamad Fauzan Noordin dari Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia membentangkan tajuk “Ke Arah Kerangka Kerja Islam bagi Kecerdasan Buatan.” Encik Mohd Hilmi Ramli dari Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban, Universiti Teknologi Malaysia membentangkan mengenai “Kecerdasan Buatan dan Orang yang Sah dari Segi Perundangan: Isu dan Cabaran”. Kertas yang terakhir bertajuk “Pembelajaran Mesin: Keperluan kepada Fiqh Algoritma” dibentangkan oleh Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, Felow Kanan/Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM.
Persidangan meja bulat ini disertai oleh ahli akademik, pihak industri dan penyelidik dalam bidang kecerdasan buatan.