Revolusi Perindustrian yang melanda Eropah pada kurun ke-18 telah memberikan kesan besar kepada manusia, dan terpesona dengan apa yang berlaku itu negara-negara lain turut cuba mengikut jejak langkah Eropah, dengan kepercayaan bahawa politik, sains dan seni akan berterusan mengalami kemajuan demi kemajuan tanpa henti. The Great Exhibition, yang telah diadakan buat julung-julung kalinya di kota London pada tahun 1851 dengan tema Peace, menzahirkan kepercayaan dan keterujaan manusia kurun ke19 terhadap progress ataupun ‘kemajuan’. Penaja utama pameran itu, Putera Albert, menyifatkannya sebagai bukti bahawa sejarah manusia sedang menuju ke arah penyatuan umat manusia (the realisation of the unity of mankind). Bagi Albert pencapaian yang ditunjukkan oleh peralatan dan mesin-mesin yang dipamerkan itu melambangkan kemajuan yang sedang melanda dunia pada masa itu, dan ia akan berterusan berlaku.
Kita tidak menafikan bahawa banyak kemajuan yang dicapai pada kurun ke19 dan 20 itu telah mendatangkan banyak kebaikan kepada manusia. Akibatnya, kini manusia hidup lebih panjang, kematian bayi menurun, sumber makanan menjadi lebih banyak, perumahan yang lebih baik, manakala pendidikan pula menjadi lebih menyeluruh dan berkualiti. Dengan terciptanya enjin stim, lokomotif, kapal terbang dan kereta pengangkutan dan perhubungan menjadi sangat mudah dan pantas manakala penemuan-penemuan besar dalam bidang perubatan telah melonjakkan lagi kualiti hidup manusia ke tahap yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Meskipun begitu, malapetaka dahsyat yang dibawa oleh Perang Dunia Pertama dan Kedua, telah menggugat keyakinan ramai orang terhadap kemajuan yang dipacu oleh sains, teknologi dan ilmu pengetahuan moden. Dalam The Idea of Progress yang diterbitkan pada tahun 1920, John Bagnell Bury menulis bahawa kemajuan bukanlah sesuatu yang wajib berlaku seperti undang-undang tabii akan tetapi hanyalah semata-mata idea baharu yang dicipta oleh manusia.
Sebagai suatu idea, perubahan dan kemajuan tidak dinafikan mempunyai daya penarik yang kuat, kerana semua orang mahu melihat kemajuan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Masalahnya terlalu banyak perubahan yang telah dan sedang berlaku di sekeliling kita; adakah semuanya baik dan memajukan? Jawapannya tentulah tidak semua perubahan yang telah dan sedang berlaku ini membawa kebaikan kepada kita. Bahkan sebahagian daripada perubahan itu bukanlah sebenarnya kemajuan tetapi sebaliknya ialah kemunduran.
Apakah kayu ukur yang kita pakai bagi menentukan maju atau mundurnya sesuatu bangsa? Ini ialah persoalan yang amat penting sedangkan tidak ramai yang mampu menjawabnya dengan yakin. Kemajuan mengandaikan adanya arah dan tujuan yang pasti, dan maju atau mundurnya sesuatu bangsa ditentukan oleh jauh atau dekatnya daripada tujuan itu. Adakah tujuan yang ingin dicapai itu sendiri termasuk dalam perkara yang sentiasa berubah-ubah itu? Jawapannya tentulah tidak, kerana tujuan yang sentiasa berubah-ubah itu bukanlah tujuan namanya kerana ia tidak mungkin dapat dicapai. Akan tetapi itulah hakikatnya nasib manusia moden hari ini, mereka tidak pasti ke mana arah yang ingin dituju dalam kehidupan ini. Maka ‘kemajuan’ yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan hidup yang tiada tujuan.
Bangsa atau masyarakat yang tidak tahu tujuan hidup tidak boleh dikatakan maju apatah lagi dijadikan kayu ukur kemajuan oleh orang lain. Namun begitu itulah yang sebenarnya berlaku. Masyarakat Barat yang tercari-cari dalam keraguan perihal nasib diri dan tujuan akhir itulah yang dijadikan kayu ukur kemajuan manusia. Ini menunjukkan betapa mendalamnya kesan penjajahan Barat terhadap pemikiran dan cara hidup manusia. Bahkan Barat juga tiada segan-silu menganjurkan bahkan memaksakan agar nilai-nilai yang menjadi pegangan hidupnya itu dijadikan neraca hidup seluruh manusia.
Bagi memastikan hegemoninya berterusan, kuasa-kuasa Barat bekerja keras supaya rejim yang pro Barat didukung dan dipertahankan manakala yang menentang akan dimusnahkan. Bukanlah suatu rahsia bahawa badan-badan dunia yang didukung oleh NGO dan agensi perisikan Barat bergerak cergas mencampuri urusan politik negara yang dianggap mempunyai kepentingan strategik kepada mereka.
Dengan berselindung di sebalik gerakan pro-demokrasi dan hak asasi manusia Barat cuba memaksakan nilai dan amalan hidupnya kepada seluruh manusia. Piala Dunia 2022 di Qatar menunjukkan dengan nyata bagaimana Barat menggunakan sukan untuk mempromosikan gaya hidup LGBTQ yang disamarkan sebagai hak asasi manusia. Mereka melakukannya tanpa segan silu kerana beranggapan merekalah manusia yang paling maju dan mereka sangka menjadi tanggungjawab mereka untuk menjadikan manusia yang lain turut ‘bertamadun’ seperti mereka.
Qatar dan seluruh umat Islam di seluruh dunia, sebaliknya, menunjukkan kepada Barat bahawa prinsip moral yang bersandarkan agama bukanlah sesuatu yang boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya hanya untuk memuaskan hati mereka. Sebaliknya, merekalah yang sepatutnya menginsafi hal keadaan diri mereka sendiri yang sudah jauh terlanjur akibat kehilangan makna diri. Mereka sangka umat Islam juga seperti mereka, sanggup menggadaikan agama dan budi pekerti hanya kerana bola sepak.