Baru-baru ini, dalam satu sesi forum di seminar memerangi dadah, seorang bekas penagih yang beragama Kristian mengakui bahawa institusi agamanya begitu prihatin dan bersungguh-sunguh dalam membantu bekas penagih untuk memulakan hidup baru. Diceritakan bahawa pada hari pembebasan bekas penagih dari Pusat Serenti, mereka ditunggu oleh wakil agama tersebut dan ditawarkan tempat tinggal – sesuatu yang mungkin keluarga bekas penagih itu sendiri tidak lakukan.
Seorang bekas penagih yang beragama Hindu pula memuji kebaikan institusi Kristian dalam hal ini. Malah, menurut beliau, kebaikan itu telah menyebabkan ramai bekas penagih yang beragama Hindu memeluk Kristian.
Menurut sumber Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula, keprihatinan institusi Kristian dalam membantu para penagih untuk kembali ke pangkal jalan memang terserlah di Pusat Serenti lagi. Paderi-paderi Kristian kerap berkunjung ke Pusat Serenti untuk membimbing para penganutnya tanpa jadual tertentu. Usaha tersebut diteruskan bila bekas penagih itu dibebaskan seperti yang dinyatakan pada awal tadi.
Kisah kebaikan institusi Kristian terhadap bekas penagih – malah, terhadap mereka yang menghadapi masalah sosial yang lain pun – bukanlah sesuatu yang baru kita tahu. Kisah-kisah seumpama ini telah terlalu kerap kita dengar sehingga ramai dari kita yang merasa sangsi dan bimbang dengan perkembangan tersebut. Andai sahaja kita – orang Islam dan institusi Islam – belajar dari keprihatinan institusi Kristian itu, tentu banyak yang dapat kita lakukan untuk ahli masyarakat kita yang telah tersilap langkah. Lebih-lebih lagi dalam masalah dadah ini, perangkaan tahun 2006 menunjukkan bahawa 69 peratus penagih adalah orang Melayu yang pastinya beragama Islam.
Sebagai umat Islam, kita sering mencanangkan bahawa agama ini adalah yang terbaik. Malah, semua umat Islam maklum dengan sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Malangnya, bila tiba kepada menolong dan membantu golongan yang memerlukan, sifat pengasih dan penyayang Allah itu tidak menyerlah dalam tingkahlaku umat Islam dan pertubuhan Islam. Percanggahan (ironi) ini begitu jelas sekali bila salah seorang bekas penagih yang beragama Islam dalam sesi yang sama, mengakui pernah dihalau dari bermalam di masjid yang kita fahami sebagai ‘rumah Allah’. Beliau, yang telah berhijrah ke tempat lain untuk menghindari cemuhan masyarakat di tempat asalnya, juga pernah merasa teraniaya oleh sikap saudara seIslam, yang telah membongkar sejarah hitamnya kepada masyarakat tempat beliau berhijrah, sehingga siapa diri beliau yang sebenarnya diketahui oleh masyarakat itu. Ini berlaku dalam suasana di mana Islam memerintahkan kita menutup keaiban orang lain.
Inilah sikap segelintir masyarakat Islam terhadap penagih dan bekas penagih. Kita belum memperkatakan tentang sikap sebahagian dari kita terhadap mereka yang terlibat dengan masalah sosial yang lain seperti pelacuran, HIV/AIDs dan sebagainya. Dengan mengambil sikap mencemuh, menghina dan tidak peduli, ia tidak akan membawa kebaikan kepada sesiapa. Kepada orang yang merasa diri mereka lebih baik dan suci, sikap ini sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut kita menyayangi saudara seIslam seperti kita kasihkan diri kita sendiri. Kepada golongan yang tersilap langkah itu, mereka akan lebih jauh tersasar dan dalam kes dadah, mereka mungkin akan menagih semula. Bukankah Islam menyuruh agar sesiapa yang melihat sesuatu maksiat, ia perlu menghentikannya dengan perbuatan, lidah mahupun hati? Memadaikah dengan mencemuh, menghina dan tidak peduli?
Saya berpendapat, tidak ada salahnya jika kita belajar dari institusi agama lain tentang bagaimana mereka menguruskan keprihatinan mereka. Pertubuhan Kristian bukan sahaja melawat dan membimbing penganutnya di Pusat Serenti dan memberi tempat tinggal kepada mereka yang dibebaskan, tetapi juga menawarkan ‘fellowship’. ‘Fellowship’ ini merupakan satu bentuk hubungan sesama manusia yang begitu akrab, di mana bekas penagih boleh meluahkan isi hati dan perasaan mereka di masa-masa ketagihan itu kembali menjelma dalam diri mereka. Hubungan seumpama ini memainkan peranan besar dalam membantu bekas penagih melawan kemahuan mereka terhadap dadah.
Institusi Islam sebenarnya ada memainkan peranan dalam pemulihan para penagih. Misalnya, semasa di Pusat Serenti, ada kelas agama yang berjadual yang diteguhkan dengan amalan solat berjemaah. Namun, penglibatan institusi Islam setakat ini terhad di situ sahaja. Bila mereka dibebaskan, mereka seolah-olah dibiarkan tanpa apa-apa sokongan. Walaupun ramai dari mereka yang ada keluarga, namun, tidak semua keluarga menyambut bekas penagih dengan mesra. Perkara inilah yang perlu diberi perhatian kini. Untuk memulakan hidup baru, bekas penagih memerlukan bantuan-bantuan seperti kemudahan tempat tinggal, pekerjaan dan punca pendapatan. Mereka juga amat mengharapkan penerimaan ikhlas dan mesra oleh keluarga dan masyarakat.
Bagi melawan ketagihan pula, mereka memerlukan sokongan sosial dan emosi dari sekumpulan orang yang boleh mendengar rintihan serta keluhan mereka di samping memberi kata-kata dorongan dan semangat untuk terus hidup bebas dadah. Sebenarnya, bagi seorang bekas penagih, usaha melawan ketagihan merupakan satu jihad sepanjang hayat. Oleh kerana itulah, sokongan sosial dan emosi ini amat penting bagi mereka.
Untuk memahami keadaan ini, ada yang memberi analogi berikut: Sebagaimana seorang pesakit diabetis perlu mengawal pengambilan gula sepanjang masa, begitulah juga bekas penagih perlu melawan keinginan kembali mengambil dadah. Jika mengawal pengambilan gula pun menjadi satu masalah besar bagi sebahagian dari kita, inikan pula menahan kehendak mengambil dadah yang seperti kata seorang artis, keasyikan terhadap dadah itu berkali-kali ganda lebih kuat dari keasyikan cinta terhadap seorang wanita.
Dalam hal ini, institusi Islam perlu berganding bahu untuk membantu bekas-bekas penagih dadah yang merupakan tanggungjawab kita bersama. Ini bukanlah mustahil memandangkan institusi Islam di negara ini yang kaya dengan wang dan modal insannya. Yang penting, kita perlu duduk semeja bagi mengaturkan kegiatan-kegiatan yang sesuai demi kelangsungan bangsa dan agama kita.