Baru-baru ini penulis telah menghadiri satu persidangan tentang kependudukan. Hasil persidangan ini, penulis membuat kesimpulan umum bahawa ‘persediaan’ adalah unsur penting dalam menghadapi perubahan dari segi kependudukan di negara ini. Persediaan yang dimaksudkan di sini haruslah berlaku di peringkat negara mahupun orang perseorangan.
Pada ketika ini, penduduk di Malaysia adalah terdiri daripada penduduk yang ‘muda’ (young population). Ini bermaksud, sebahagian besar penduduk terdiri daripada mereka yang berumur kurang dari 65 tahun. Oleh itu, Malaysia kini menikmati kelebihan-kelebihan tertentu, salah satunya, mempunyai sekumpulan warga pekerja muda yang ramai dan mempunyai daya kerja yang tinggi.
Walau bagaimanapun, keadaan ini akan berubah satu ketika nanti. Perubahan yang dimaksudkan ini merujuk kepada keadaan di mana kumpulan penduduk berusia lebih 65 tahun meningkat dan oleh itu, kumpulan penduduk warga emas semakin meningkat (aging population). Bagi Malaysia, keadaan ini dijangka berlaku sekitar tahun 2050 dan walaupun ianya masih jauh persediaan yang sewajarnya mestilah dilakukan.
Di peringkat negara, persediaan utama yang perlu dilakukan adalah dari segi pembentukan polisi tertentu untuk menghadapi dan menguruskan aging population. Polisi ini perlulah mencakupi perkara kesihatan, penyediaan kemudahan untuk warga emas dan sebagainya. Penyediaan peruntukan untuk membiayai belanja perubatan warga emas adalah lebih besar berbanding golongan muda. Berikutan dari ini, sesetengah negara yang telah memasuki fasa aging population seperti Jepun dan Amerika Syarikat terpaksa memperuntukan sejumlah besar belanja kerajaan untuk memguruskan warga emas. Keadaan menjadi lebih sukar jika warga emas tersebut tidak mempunyai simpanan hari tua dan tiada ahli keluarga yang mahu menjaganya.
Penulis amat terkejut apabila satu pembentangan dalam persidangan ini menunjukkan bahawa masyarakat muda kini tidak lagi mahu menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua malah menyerahkan tanggungjawab ini kepada kerajaan. Keadaan ini sangat ketara di Jepun apabila ramai warga emas yang berusia lebih 100 tahun tinggal bersendirian. Bagi negara Amerika Syarikat pula, kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menyediakan kemudahan perumahan yang sesuai untuk warga emas kerana mereka tidak lagi tinggal bersama anak-anak mereka. Bagi negara kita pula, trend ini semakin berkembang. Selain kemudahan perumahan, kemudahan-kemudahan lain seperti kemudahan pengangkutan yang sesuai dengan warga emas, kemudahan berurusan di kaunter dan kemudahan di pusat membeli belah juga perlu difikirkan.
Berdasarkan kenyataan yang disebutkan di atas, kita sebagai orang perseorangan juga perlu memikirkan persediaan dalam menghadapi hari tua nanti. Dalam hal ini, terdapat tiga perkara yang ingin penulis tekankan. Pertamanya, persediaan kewangan. Kita perlulah menyediakan simpanan yang mencukupi untuk hari tua nanti. Sebahagian besar dari kita akan menamatkan kerjaya pada usia 56 tahun. Dengan jangkahayat penduduk yang semakin meningkat iaitu antara 74 ke 76 tahun, maka kita mempunyai lebih kurang 20 tahun untuk hidup tanpa bekerja. Dari manakah kita akan mendapatkan wang untuk membiayai kehidupan selama 20 tahun itu? Di Malaysia, kita sangat bertuah kerana terdapatnya sistem pencen dan simpanan wajib KWSP untuk para pekerja. Ini juga adalah satu bentuk simpanan. Walau bagaimanapun, simpanan sebegini masih belum mencukupi. Ini kerana, kos hidup akan meningkat pada masa akan datang dan begitu juga dengan belanja perubatan. Oleh itu, kebergantungan kepada pencen dan KWSP sahaja tidak mencukupi tetapi perlulah disokong dengan simpanan-simpanan yang lain.
Selain itu, perlu juga kita fikirkan tentang perkara-perkara yang akan atau hendak kita lakukan apabila tua nanti. Ini terutamanya, bagi mereka yang telah pencen dan tidak mempunyai pekerjaan lain. Perlulah diingatkan bahawa mereka yang pencen ini bekerja dalam pelbagai bidang dan masih sihat. Pengalaman yang mereka miliki tidak wajar dipersiakan. Oleh itu, ilmu dan pengalaman yang ada bolehlah disalurkan untuk membantu masyarakat keseluruhannya. Ini bermaksud, warga emas perlulah dibenarkan menjalankan kegiatan yang mereka suka dan berbakti kepada masyarakat bukannya hanya duduk di rumah. Bagi kita yang masih bekerja, maka fikirkanlah apa yang hendak dilakukan apabila tidak bekerja nanti.
Akhir sekali, kita juga perlu memikirkan dengan siapa kita hendak tinggal apabila tua nanti? Tinggal bersendirian di rumah, tinggal bersama anak-anak atau tinggal di pusat penjagaan bersama rakan seusia. Salah seorang pembentang daripada University Michigan, Amerika Syarikat yang menjalankan banyak penyelidikan tentang warga emas menyatakan bahawa tempat terbaik bagi warga emas/ibu bapa yang telah tua adalah bersama keluarganya iaitu anak-anaknya. Ini kerana anak-anak dapat memberikan rasa selamat, gembira dan diperlukan bagi warga emas. Bukan itu sahaja, anak-anak dapat menyediakan bantuan dari segi kesihatan kepada mereka.
Walau bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan bahawa anak-anak tidak mahu lagi menjaga ibu bapa mereka kerana pelbagai sebab seperti tiada masa, kekangan kewangan dan sebagainya. Bagi mereka yang mahu menjaga pula, mereka melakukan kerana tanggungjawab semata-mata. Jadi di manakah nilai kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak? Jika ibu bapa boleh menjaga anak-anaknya dalam apa juga keadaan yang sukar mahupun senang dan ini dilakukan kerana kasih dan sayang mereka, maka kenapakah kini kita tidak mampu membalas yang serupa kepada mereka? Oleh itu, sebagai sebuah keluarga, kita perlu menilai semula hubungan dan didikan yang diberikan kepada anak-anak. Adalah sangat penting untuk kita menekankan tentang kasih sayang kerana jagaan anak terhadap ibu bapa yang berpunca dari kasih sayang adalah lebih baik berbanding tanggungjawab semata-mata.
Kesimpulannya, dalam menghadapi aging population, persediaan sangat penting. Ini kerana, pengalaman negara-negara lain menunjukkan bahawa persediaan yang tidak dirancang dengan baik akan membawa kesan-kesan yang tidak baik kepada negara mahupun orang perseorangan.