Kesejahteraan anak-anak adalah di dalam tangan kedua-dua ibu bapa mereka. Ibu bapa yang diberi amanah untuk menjaga anak-anak tersebut sudah pasti tidak dapat lari daripada tanggungjawab ini dan tidak boleh dengan semudah itu menyalahkan orang lain jika anak-anak mereka `tidak menjadi’. Oleh itu, ibu bapa perlu serius dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan.
Namun, oleh kerana Datin Seri Dr. Siti Hasmah berucap di khalayak wanita, beliau menekankan kepada peranan wanita. Menurut beliau, kaum wanita perlu lebih peka terhadap gejala tersebut dengan memainkan peranan besar sebagai benteng pertahanan pertama dalam keluarga, khususnya dalam mendidik anak-anak.
Untuk itu, kaum wanita perlu menimba maklumat-maklumat terkini mengenai pengendalian keluarga dan mekanisme imunisasi terbaik untuk melindungi keluarga mereka daripada kejutan-kejutan sosial seperti penagihan dadah dan sumbang mahram.
Walaupun penekanan diberikan kepada masalah penyalahgunaan dadah, namun sebagai orang yang paling hampir dengan anak-anak, para ibu melalui didikan, bimbingan dan nasihat yang diberikan kepada anak-anak, boleh memainkan peranan utama untuk menghindari anak-anak daripada segala bentuk masalah sosial. Dari segi inilah kita katakan wanita merupakan penyelamat keluarga.
Tugas ini walaupun kelihatannya begitu sinonim dengan wanita, namun kini ia bukanlah semudah itu untuk dilaksanakan. Dalam keadaan di mana semakin ramai wanita bekerja, tugas ini tidak lagi dianggap sebagai satu tugas yang mudah. Wanita yang terpaksa memainkan begitu banyak peranan, kadangkala tidak dapat melakukan tugas mendidik dan membimbing anak ini dengan baik.
Saranan yang sering kita dengar ialah supaya wanita bekerja tidak mengabaikan keluarga dan anak-anak. Memanglah, semua wanita bekerja, cuba sedaya upaya untuk melaksanakan semua tanggungjawab mereka. Namun, satu masalah bila kita cuba melakukan semua perkara ialah kita menjadi tidak begitu terperinci.
Kita mampu melarang anak dari melakukan sesuatu perbuatan yang dilarang tetapi kita tidak sempat menjelaskan mengapa perbuatan itu dilarang. Pada ketika yang lain, kesibukan kita menyebabkan kita terlepas pandang pada sesuatu kesilapan yang mereka lakukan. Malah, hakikat kita tidak selalu bersama anak-anak membuatkan kita sukar untuk tahu apakah mereka telah melanggar larangan yang dibuat.
Dalam keadaan ini, para wanita memerlukan bantuan orang lain untuk mengawasi tindak-tanduk anak-anak mereka. Bantuan yang paling utama ialah bantuan dari dalam isi rumah itu sendiri. Dalam isi rumah nukleus yang sering wujud kini, tidak banyak sumber bantuan yang ada. Satu daripadanya ialah suami. Suami perlu membantu isteri dalam segala hal, termasuklah dalam mendidik dan mengawasi tindak-tanduk anak-anak.
Jadi, secara bersama-sama, kedua-dua suami dan isteri perlu menjalankan tugas mendidik dan membimbing anak-anak, ambil tahu tentang diri dan kegiatan mereka, menetapkan had-had yang dipersetujui bersama misalnya, pukul berapa mesti berada di rumah dan seumpamanya.
Satu perkara yang dapat membantu kita dalam melaksanakan tugas ini ialah dengan mengenali kawan-kawan anak-anak kita. Oleh kerana pada usia remaja, rakan sebaya memainkan peranan yang amat penting dalam hidup mereka, kita perlu pastikan mereka berkawan dengan kawan-kawan yang membina dan bukan yang sebaliknya.
Dalam memilih teman, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud,
Manusia itu sentiasa menurut kelakuan temannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang dia berkawan dengannya. Oleh itu, adalah lebih baik ibu bapa memastikan pemilihan anak-anaknya itu tepat sebelum mereka terjebak dengan teman-teman yang boleh merosakkan.
Dalam kehidupan keluarga nukleus kini, satu lagi sumber bantuan yang boleh diharapkan ialah pembantu rumah. Bila ibu dan bapa keluar bekerja, pembantu rumahlah yang berada dengan anak-anak kita dan merekalah yang lebih arif tentang apa yang anak-anak kita buat dan tidak buat.
Jika kita dapat menjalinkan hubungan baik dengan pembantu rumah, baik dalam erti kata kita menghormati mereka sebagai individu yang banyak membantu meringankan tugas kita dan berjaya pula mewujudkan rasa hormat yang sama dalam diri anak-anak terhadap mereka, pembantu rumah ini dapat membantu kita untuk mengawasi tindak-tanduk anak-anak kita semasa kita tiada di rumah.
Anak-anak yang menghormati pembantu rumah akan akur dengan teguran. Sekiranya pembantu rumah tidak menegur pun, mereka masih boleh melaporkan setiap perbuatan nakal anak-anak kita untuk kita sendiri menegurnya. Sebaliknya, anak-anak yang tidak menghormati pembantu rumah, akan mengancam pembantu rumah itu agar tidak melaporkan segala perbuatan nakal yang telah dilakukannya.
Semua bersetuju bahawa wanita boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam mendidik anak-anak agar menghindari diri dari segala bentuk masalah sosial. Namun, dalam keadaan sekarang di mana semakin ramai wanita keluar bekerja, tanggungjawab ini lebih mudah dilaksanakan jika wanita mendapat bantuan dari orang-orang di sekeliling mereka.
Dalam hal pembantu rumah pula, mewujudkan rasa hormat anak-anak terhadap mereka juga penting kerana dengan rasa hormat ini, anak-anak akan mengiktiraf kehadiran mereka sebagai pengganti kita ketika ketiadaan kita di rumah.