DALAM hidup bermasyarakat hari ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran, terutama terhadap hubungan dan perpaduan ummah. Di antara cabarannya ialah pertelingkahan, perbalahan dan pertikaian yang timbul disebabkan pelbagai faktor.
Kita mungkin bertelingkah disebabkan berbeza pendapat atau berbalah kerana hak dan kepentingan dicabar. Adalah baik dan bijak, jika perbalahan dan pertikaian itu dapat ditangani dengan penuh bijaksana.
Bagaimanapun, jika ia menimbulkan masalah lebih besar, misalnya, menyebabkan sesuatu pihak teraniaya, ia memerlukan pihak lain untuk menghakimi dan menyelesaikannya hingga keadilan dapat dilaksanakan, demi kepentingan semua pihak.Di sini, letaknya peranan institusi kehakiman dalam Islam. Institusi ini turut berperanan besar untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam sangat adil, unggul dan sesuai untuk dilaksanakan di semua tempat, setiap masa dan meliputi setiap lapisan masyarakat.Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman adalah di antara falsafah sistem kehakiman Islam. Inilah
garis panduan yang ditetapkan oleh Allah dan disebut dalam al-Quran.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat…” (Surah an-Nisa, ayat 105).
Islam menghendaki supaya keadilan mutlak ditegakkan dan kezaliman dihapuskan. Keadilan hanya akan dapat ditegakkan jika berdasarkan undang-undang adil seperti ditegaskan dalam al-Quran.
Bagaimanapun, jika undang-undang yang adil itu tidak ditadbir dengan cekap, amanah dan adil, maka keadilan undang-undang tidak akan dapat dinikmati. Malah, bertukar menjadi kezaliman.Penegasan Allah supaya manusia berlaku adil dalam menghakimi sesuatu pertikaian turut merangkumi tuntutan supaya mengetepikan perasaan benci, marah, dendam dan sebagainya. Firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa” (Surah al-Maidah, ayat 8).
Ayat ini jelas memerintahkan kita supaya berlaku adil walaupun terhadap golongan atau orang yang menjadi musuh. Ini kerana perasaan benci dan marah boleh mendorong untuk tidak berlaku adil. Ini bertentangan dengan prinsip kehakiman Islam.
Semua pihak yang terbabit dalam proses pengadilan mesti berlaku adil, bukan hanya hakim semata-mata. Misalnya untuk menjadi saksi, keterangan yang diberikan perlulah benar walaupun merugikan diri sendiri dan ahli keluarga lain.Dalam sistem kehakiman Islam pada zaman Rasulullah saw, kita mendapati bahawa baginda sering bertindak sebagai hakim yang sangat dikagumi kebijaksanaan serta keadilannya walaupun terhadap bukan Islam.
Banyak kitab hadis yang mencatatkan contoh kes baginda hakimi termasuk berhubung harta pusaka, nikah, cerai, khuluk, rujuk, nafkah, penjagaan anak, hudud dan qisas.
Prinsip keadilan yang diamalkan Rasulullah saw dalam kehakiman ialah:
- Tidak boleh menghukum sebelum mendengar keterangan kedua-dua pihak.
- Pihak yang tertuduh berhak untuk membela dirinya kerana ia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
- Layanan adil dan saksama hendaklah diberikan kepada pihak yang bertelagah.
- Jika hakim atau kadi sangsi dan ragu-ragu atau kurang memahami keterangan pihak terbabit, beliau hendaklah bertenang, selain berusaha sedaya upaya untuk memahaminya dengan baik.
Selepas wilayah Islam bertambah luas, Rasulullah saw mula menyerahkan kuasa pengadilan dan penghakiman kepada sahabat. Ini kerana sukar bagi baginda menyelesaikan semua kes di seluruh wilayah Islam, lebih-lebih lagi sesuatu kes memerlukan keputusan segera.Justeru, Rasulullah saw mengutuskan Amir yang mewakili baginda ke pelbagai daerah. Amir ini dilantik berdasarkan kemampuan dalam bidang pentadbiran dan pengurusan negara, di samping kebolehan atau kepakaran untuk berijtihad. Dia yang pernah menyandang jawatan itu ketika hayat baginda ialah Saidina `Umar al-Khattab, Saidina `Ali ibn Abi Talib dan Mu’az ibn Jabal.
Rasulullah saw juga pernah membenarkan sahabat menjalankan pengadilan ketika baginda berada di tempat itu. Contohnya, seorang sahabat sedang menyelesaikan satu kes di masjid, kemudian Rasulullah saw tiba dan baginda mengizinkan agar kes itu diselesaikan oleh sahabat berkenaan.
Rasulullah saw turut melatih sahabat supaya memiliki kepakaran yang benar-benar tinggi dalam bidang kehakiman. Begitu juga dengan cara mengeluarkan hukum daripada sumbernya untuk difatwakan.Di antaranya ialah `Umar al-Khattab, Ali ibn Abi Talib, Abdullah ibn Mas’ud, Abdullah ibn Umar dan yang paling terkenal ialah Abdullah ibn Abbas.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah meminta Amr ibn al-As supaya memutuskan hukuman terhadap satu kes berhubung harta. Amr berasa serba salah untuk menyatakan pendapat dan memberikan keputusannya memandangkan baginda ada bersama dalam majlis itu.
Melihat keadaan `Amr itu, baginda pun bersabda, “Wahai Amr, silakanlah hukumkan perkara ini”. Amr bertanya kepada Rasulullah saw, “Bolehkah saya berijtihad, sedangkan tuan berada di sini?” Jawab Rasulullah saw, “Ya, boleh. Jika kamu benar dan segera memberikan keputusan, kamu akan mendapat dua kebaikan tetapi jika kamu tersilap, kamu akan mendapat satu kebaikan”.