Bangsa yang berbudaya ilmu sentiasa meletakkan ilmu dan kebenaran pada kedudukan tertinggi. Dalam masyarakat sedemikian budaya berfikir dan menyelidik berkembang subur, manakala para pemikir dan penyelidik dipandang tinggi dan dihormati. Berfikir adalah aktiviti akal, iaitu apabila akal bergerak dari satu makna kepada makna yang lain. Apabila aktiviti berfikir itu disertakan dengan suatu matlamat iaitu bagi memperolehi ilmu tentang sesuatu, maka ia dinamakan penyelidikan. Dengan menggunakan pancaindera dan akalnya manusia berupaya menyelidiki dan memahami alam sekelilingnya, dan berdasarkan maklumat yang sedia ada dia dapat memerolehi berbagai ilmu yang baharu.
Turut timbul bersama dengan budaya berfikir dan menyelidik adalah budaya perdebatan. Perdebatan hanya akan berlaku apabila dua pihak mencapai kesimpulan yang berlawanan dalam menanggapi sesuatu masalah. Berdebat adalah cara masyarakat bertamadun menyelesaikan perbezaan pendapat, iaitu dengan meminta kedua-dua pihak bertentangan membentangkan hujah masing-masing untuk dikritik dan dinilai oleh pihak yang satu lagi.
Walau bagaimanapun ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, dan halangan terbesar adalah ego manusia. Ia hanya dapat dilakukan apabila wujud suasana di mana kebenaran ilmiah itu menjadi hasrat dan matlamat semua pihak, kerana itulah tujuan yang ingin dicapai dari perdebatan itu, bukan kemenangan sesiapa. Satu-satunya pihak yang menang dalam perdebatan itu adalah kebenaran. Semua itu menuntut kematangan ilmiah dan akhlakiah dari kedua-dua pihak, dan itu termasuklah para penyokong dan juga mereka yang memerhati dan menilai dari jauh. Sebab itulah kita menyebut perkara ini dalam rangka hubungkaitnya dengan budaya ilmu. Hanya masyarakat yang budaya ilmunya sudah matang sahaja mampu menghargai perdebatan ilmiah dan mengambil manfaat darinya.
Maka para alim-ulama telah membenarkan perdebatan diadakan dengan syarat-syarat yang amat ketat, bermula dengan yang paling penting iaitu niatnya hendaklah untuk mencari kebenaran, bukan kemenangan. Perdebatan yang diadakan semata-mata untuk menunjukkan kehebatan diri dan menjatuhkan lawan dihukumkan haram. Maka dua istilah yang berbeza telah digunakan bagi merujuk kepada dua jenis perdebatan di atas, iaitu munazarah bagi yang pertama dan jadal bagi yang kedua.
Tamadun Islam seperti yang diakui kegemilangannya dalam sejarah manusia itu diasaskan kepada budaya ilmu yang mantap. Maka kita dapati budaya berfikir dan menyelidik berkembang subur dan pesat, dan perdebatan ilmiah menjadi suatu lumrah. Bahkan sejarah menunjukkan bahawa para pemimpin negara sendiri turut terkehadapan dalam menganjurkan perdebatan-perdebatan yang penting, dan ada di antara mereka turut terlibat sebagai pendebat. Khalifah Abbasiyyah, al-Mahdi (m. 169/785), dikhabarkan telah menggunakan kaedah perdebatan secara meluas sama ada untuk tujuan politik mahupun agama. Pada zaman beliau perdebatan sudah menjadi satu lumrah, dan yang diperdebatkan itu tidak terhad kepada persoalan teologi bahkan juga persoalan-persoalan lain dalam bidang hukum dan perundangan, falsafah, bahasa, dan kesusasteraan. Atas arahan beliaulah maka buku yang pertama diterjemahkan dari bahasa Greek ke bahasa Arab adalah sebuah karya Aristotle tentang perdebatan (dialectic) iaitu Topics. Beliau melihat kepentingan ilmu perdebatan dikuasai oleh umat Islam demi menghadapi cabaran dari kaum Yahudi, Nasrani, Majusi, dan kaum-kaum yang menyeleweng, sebagaimana yang beliau sendiri tunjukkan dalam perdebatannya dengan Patriarch Timothy.
Lama-kelamaan kaedah perdebatan telah menyerapi setiap disiplin ilmiah pada zaman itu dan para sarjana Islam sendiri, khususnya dari kalangan kaum mutakallimun mula menulis kitab-kitab yang menggariskan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang digunakan dalam perdebatan ilmiah khususnya yang berkaitan dengan ilmu kalam. Langkah ini telah diikuti pula oleh para fuqaha’ memandangkan banyak sekali berlaku perdebatan di kalangan mereka khususnya dalam perkara khilafiyyat. Akhirnya, pada kurun ke-14, suatu disiplin baru yang dinamakan Adab al-bahth wa al-munazarah telah terhasil, dan empat kurun kemudian ia menjadi matapelajaran penting yang diajarkan di madrasah-madrasah dalam Empayar Othmaniyyah. Ia merupakan ilmu alat yang dipelajari bukan semata-mata untuk menguasai kaedah perdebatan, akan tetapi yang lebih utama adalah untuk memahami tulisan ilmiah dalam berbagai bidang ilmu yang ditulis menurut kaedah itu. Ia sebenarnya adalah merupakan suatu garis panduan untuk para penyelidik bagi membolehkan mereka memahami dan memanfaatkan perdebatan yang berlaku dalam berbagai bidang ilmu itu.
Ternyata sehingga kurun ke-18 ilmu-ilmu akliah masih berkembang pesat, ditulis dan diajarkan secara meluas di pusat-pusat pengajian di dunia Islam, dan ini, menurut Khaled El-Rouayheb, seorang pakar sejarah keilmuwan Islam dari Harvard, menunjukkan bahawa kepercayaan umum bahawa pemikiran Islam mengalami zaman kemerosotan dan kebekuan selepas kurun ke-11 adalah jauh dari kebenaran. Akan tetapi itulah yang dicanangkan selama ini oleh kaum modenis, bahawa umat Islam hari ini telah menjadi jumud gara-gara taqlid dan penutupan pintu ijtihad. Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang dibuat oleh para penyelidik semasa tidak menyokong pandangan itu bahkan menyanggahinya. Kajian terhadap koleksi-koleksi manuskrip yang dihasilkan di antara kurun ke-12 hingga ke-18 tidak menunjukkan kemerosotan dari segi penghasilan karya-karya dalam disiplin-disiplin yang bersifat rasional seperti logik, kalam, dan falsafah, sehingga mewajarkan kesimpulan bahawa umat Islam sedang menempuh zaman kegelapan pemikiran.
Penghasilan karya-karya yang berbentuk sharah (huraian) dan hashiah (nota penjelasan) sering dijadikan hujah bahawa umat Islam sudah kekeringan idea dan tidak lagi mampu menghasilkan idea baharu. Mereka kini hanya mampu mengitar semula idea-idea lama dalam bentuk-bentuk yang disebutkan itu. Namun ini hanyalah tuduhan yang tidak diasaskan kepada penelitian terhadap karya-karya berkenaan. Sharah dan hashiah bukanlah hasil kitar semula semata-mata kerana ia memerlukan keahlian yang tinggi dalam menilai dan menghakimi perdebatan yang berlangsung dalam disiplin yang berkenaan. Ia adalah suatu tradisi yang telah melalui suatu evolusi yang panjang, dan tradisi itu telah kita lupakan semata-mata kerana kita menyangka ia tidak bernilai. Kerana kejahilan itu tanpa disedari kita mengulangi perdebatan lama di mana kita mengulangi kesilapan yang sama.