Secara fizikalnya, setiap individu mempunyai kecenderungan atau naluri biologikal. Naluri biologikal adalah satu bentuk keinginan semula jadi yang datang sejak lahir sebagaimana yang dianugerahkan oleh Allah kepada seluruh insan tanpa ada pengecualian.
Namun setiap individu adalah berbeza dari segi tahap dan peringkat kecenderungan naluri bergantung kepada satu-satu masa dan keadaan persekitaran.
Ada individu mempunyai naluri semula jadi yang amat kuat dan terdapat pula mereka yang memiliki tahap kecenderungan sederhana sahaja.
Perbezaan ini bergantung kepada pelbagai sebab. Di antara beberapa contoh keinginan semula jadi adalah seperti kemahuan makan minum, keinginan seksualiti, keperluan untuk rehat dan tidur, kecenderungan mahu bersaing antara satu sama lain atau untuk menjadi kuat, mulia dan gah di samping mempamerkan kekuatan serta mendatangkan kecederaan dan keganasan kepada diri sendiri, orang lain mahupun persekitaran.
Oleh kerana pada kejadian manusia itu terkandung entiti kefitrahan, anugerah ini diberikan demi kebaikan diri mereka seperti untuk mempertahankan maruah, keselamatan dan kesejahteraan diri. Dengan itu, mereka akan terpelihara dari segala bentuk keganasan dan kejahatan.
Naluri jenayah pula merupakan manifestasi keinginan semula jadi yang bercanggah dengan undang-undang dan etika moral. Kecenderungan untuk menonjolkan kekuatan yang ada dalam diri bukan digunakan untuk membela atau mempertahankan kehidupan, tetapi sebaliknya mendatangkan kecederaan, keganasan malah kematian.�
Kamus Dewan mengatakan bahawa jenayah adalah satu tindakan yang salah di sisi undang-undang. Walau apa pun perbuatan yang dilakukan, jika ia menyalahi peraturan dan perundangan, ia adalah jenayah tanpa mengira sama ada kecil atau besar kesalahan tersebut. Memandangkan setiap individu mempunyai naluri semula jadi untuk bertindak agresif dan ganas, sudah tentu mereka tidak terkecuali untuk melakukan jenayah akibat dorongan naluri semula jadi yang melampau jika ada peluang, melainkan mereka yang menghormati hukum agama dan undang-undang.
Jika sebelum ini para penjenayah sering dilabel sebagai seorang yang berpenyakit seperti mengalami gangguan hormon atau kecacatan saraf yang menjadi punca kepada jenayah yang dilakukan, tetapi kini ramai juga manusia normal dan sihat, datang dari keluarga yang sempurna dan bahagia, malah yang berpendidikan tinggi pun sering melakukan pelbagai kesalahan dan jenayah.
Sememangnya tidak dapat dinafikan ada banyak faktor pencetus atau pendorong yang perlu diberi perhatian jika jenayah dalam masyarakat mahu dibanteras. Salah satu daripadanya berkaitan dengan faktor individu penjenayah itu sendiri.
Individu penjenayah perlu difahami dan seterusnya disedarkan betapa buruknya perbuatan mereka dan kesannya dalam masyarakat. Hakikatnya penjenayah adalah kelompok kecil dan tersendiri dalam masyarakat. Mereka mempunyai ragam dan kepercayaan serta undang-undang sendiri yang berbeza dari masyarakat umum.
Walaupun setiap penjenayah berbeza antara satu sama lain akibat perbezaan individu, tetapi kebanyakan mereka berkongsi profil yang sama, sebahagian besarnya membabitkan aspek psikologikal.
Dalam usaha menuju ke arah masyarakat bebas jenayah, adalah perlu segala punca penglibatan golongan ini dalam jenayah dicari dan diselidiki. Di samping itu, mengenal pasti kumpulan-kumpulan kecil masyarakat yang berisiko tinggi untuk terjebak ke kancah jenayah hendaklah dilakukan seperti di kalangan remaja, penganggur dan penagih, akibat dari belenggu kemiskinan, gangguan psikologi dan sebagainya supaya usaha pencegahan dapat dilakukan di peringkat awal lagi.
Sememangnya ajaran agama sudah mencakupi peringatan dan tunjuk ajar yang wajar diikuti bagi mengelak atau membanteras jenayah.
Perkara yang perlu diperbaiki lagi adalah maklumat dan aspek pendidikan berpanjangan yang ditujukan kepada golongan yang khusus ini dan kepada seluruh masyarakat amnya agar dapat dipertingkatkan.
Terdapat kemungkinan yang tinggi di mana dari kalangan penjenayah dan tidak kurang juga kepada masyarakat awam untuk diajar kaedah dan strategi bagi mengawal rasa marah, kekecewaan dan kekurangan diri, teknik mempertahankan diri dari tekanan rakan sebaya, ataupun kaedah mengawal tekanan seksualiti dan lain-lain sebagai satu bentuk kemahiran baru yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana kekurangan kemahiran seperti ini turut menyebabkan mereka terjebak ke kancah jenayah.