TARIKH 31 Oktober 2003 terpahat dalam lipatan sejarah negara. Selepas memimpin negara selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan teraju kepimpinan kepada penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Peralihan kepimpinan ini, yang disaksikan bukan saja rakyat negara ini, malah warga dunia adalah satu proses yang begitu licin dan teratur.
Peralihan kuasa dilihat sebagai suatu kesinambungan kepada kepimpinan sebuah negara Islam demokratik. Kesinambungan ini resipi utama kestabilan negara. Kestabilan negara pula akan membawa kemakmuran sosio ekonomi, apatah lagi Malaysia sebagai negara yang mempunyai komposisi etnik dan agama yang pelbagai.
Dalam kata lain, kesinambungan kepimpinan di negara ini menjamin kestabilan dan kemakmuran negara, yang bermakna status quo dikekalkan.
Istilah ‘status quo’ merujuk kepada ‘keadaan sebagaimana sedia ada’.
Dalam konteks peralihan kepimpinan di Malaysia, walaupun terajunya berubah, keyakinan terhadap kepimpinan baru dikekalkan dengan adanya apa yang dipanggil ‘status quo positif’.
Status quo tidak wajar dilihat dari sudut negatif semata-mata kerana status quo positif sudah diamalkan sejak zaman Rasulullah saw lagi.
Seorang pengkaji gaya pentadbiran dan kepimpinan Rasulullah, Wahiduddin Khan, mendapati status quo positif adalah antara pendekatan yang diguna pakai Baginda, sekalipun pendekatan ini tidak diketahui dan jarang dibincangkan khalayak ramai.
Pendekatan ini digunakan Baginda sejak hari pertama dilantik sebagai nabi dan rasul terakhir.
Kita semua maklum bagaimana kota Makkah pada ketika itu dikuasai penyembah berhala, sedangkan Nabi Muhammad berpegang kepada akidah berasaskan tauhid.
Untuk mengembangkan ajaran Islam, baginda memilih untuk tidak menentang status quo pada ketika itu, sebaliknya dengan penuh kebijaksanaan, baginda menggunakan apa saja peluang yang ada untuk mengembangkan Islam.
Antara peluang itu ialah menggunakan Kaabah yang menjadi pusat bagi penduduk Makkah. Ketika itu, Kaabah penuh dengan berhala yang pelbagai saiz dan bentuk.
Rasulullah menggunakan kesempatan perhatian penduduk Makkah kepada berhala di Kaabah dengan turut berada di Kaabah.
Baginda tidak mengganggu urusan penyembah berhala itu, sebaliknya baginda membacakan ayat suci al-Quran kepada mereka.
Pendekatan berhikmah ini menyebabkan ramai yang tertarik kepada ajaran Islam. Persekitaran tenang hasil pendekatan status quo positif diamalkan baginda menyuburkan usaha dakwah Islamiah.
Melihatkan kejayaan pendekatan dakwah Rasulullah yang menggunakan pendekatan hikmah ini, pemimpin Makkah ketika itu berasa terancam lalu mengeluarkan perintah membunuh baginda.
Apabila baginda mengetahui perkara ini, sekali lagi baginda mengambil pendekatan status quo positif. Rasulullah tidak menentang atau memberontak, sebaliknya baginda mengambil keputusan berhijrah secara senyap ke Madinah.
Malah, selepas penghijrahan ke Madinah, Rasulullah tidak merancang sebarang tindak balas ke atas kaum Musyrikin Makkah, sebaliknya menumpukan usaha dakwah dengan membangunkan sosio ekonomi penduduk di kota Madinah.
Ini adalah satu lagi bentuk pendekatan status quo positif Rasulullah di mana pertembungan secara langsung dengan status quo di Makkah dielakkan, lantas mewujudkan persekitaran kondusif untuk penyebaran dakwah di Madinah.
Masyarakat di Madinah pada ketika itu terdiri daripada kalangan Muslim (iaitu kaum Muhajirin daripada Makkah dan Ansar di Madinah), kalangan penyembah berhala dan kaum Yahudi.
Rasulullah bijak membaca suasana keseimbangan sosial di Madinah ketika itu. Justeru, baginda mewujudkan satu sistem pentadbiran dan perundangan terulung.
Baginda menjadi pemimpin Madinah, manakala komuniti lain diberikan kebebasan untuk menjalankan kehidupan mereka mengikut kepercayaan dan adat masing-masing.
Sekali lagi ia menunjukkan Rasulullah menggunakan pendekatan status quo positif dalam menjamin kestabilan sosio politik masyarakat.
Masyarakat Musyrikin Makkah pula tidak melupakan kebencian mereka kepada Rasulullah dan orang Islam. Mereka tetap melancarkan perang ke atas Madinah menerusi Peperangan Badar dan Peperangan Uhud.
Peperangan ini mengganggu keamanan yang diwujudkan di Madinah. Namun bagi mewujudkan kembali keamanan dan kestabilan, Rasulullah mengikat perjanjian dengan kaum Musyrikin Makkah.
Perjanjian keamanan selama sepuluh tahun ini dikenali Perjanjian Hudaibiyah dilihat ramai pihak sebagai memihak kepada kaum Musyrikin Makkah.
Walaupun ditentang beberapa sahabat, kebijaksanaan baginda terserlah dengan tidak menentang status quo pada ketika itu.
Sekalipun perjanjian itu nampak begitu berat sebelah, Baginda mengambil kesempatan hasil keamanan yang wujud untuk terus mengembangkan ajaran Islam kepada penduduk di Semenanjung Hijjaz di bawah status quo sedia ada.
Natijahnya, kejayaan dicapai Baginda menerusi Futuhat Makkah (pembukaan Kota Mekah) seperti yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wabai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.” (Surah al-Fath, ayat 1).
Selepas kewafatan Rasulullah, isu perlantikan khalifah untuk memimpin umat Islam dibangkitkan. Perkara ini diputuskan berdasarkan kata-kata baginda iaitu, ‘Ketua negara hendaklah dipilih di kalangan orang Quraisy.’
Kata-kata Rasulullah ini seolah-olah janggal kerana Islam dengan jelas menyatakan bahawa seluruh umat manusia adalah setaraf.
Malah, ada yang berani mengatakan bahawa arahan Rasulullah ini satu diskriminasi. Hakikat sebenarnya jauh dari itu. Apa yang diperkatakan Rasulullah bukan satu diskriminasi, sebaliknya berpijak di bumi nyata berlandaskan realiti sosio politik ketika itu.
Sejak zaman-berzaman, bangsa Quraish sudah menjadi pemimpin di bumi Hijjaz. Kini, gangguan kepada status quo ini akan menjerumuskan Semenanjung Hijjaz ke dalam ketidaktentuan dan ketidakstabilan.
Dengan berpegang kepada polisi status quo positif, sejarah membuktikan bahawa perpaduan umat Islam selepas kewafatan baginda kian dimantapkan, di samping memakmurkan lagi usaha dakwah Islamiah yang dijalankan.
Inilah sebab yang tersirat di sebalik apa yang dikatakan Baginda supaya memilih pemimpin di kalangan puak Quraisy agar matlamat perjuangan Islam tidak terganggu. Status quo positif dapat dilihat sebagai satu mekanisma praktikal dalam mentadbir masyarakat.
Menelusuri sejarah Malaysia yang masih muda ini dan melihat kepada komposisi negara pelbagai kaum serta agama, maka disimpulkan bahawa pendekatan status quo positif seperti diamalkan Rasulullah adalah suatu pendekatan pragmatik dan sesuai dengan keadaan masyarakat semasa negara ini.
Malah, peralihan tampuk kepimpinan negara pada tanggal 31 Oktober 2003 lalu adalah antara contoh bahawa kestabilan negara dapat dijamin menerusi kesinambungan kepemimpinan yang teratur dan terancang tanpa menyebabkan sebarang ketidakpastian dalam sosio politik negara.