Berdakwah merupakan satu tuntutan kepada umat Islam. Dakwah ialah usaha yang pelbagai untuk menyampaikan Islam kepada manusia dalam bidang akidah, syariah dan akhlak. Ia dituntut ke atas segenap lapisan Muslim sama ada individu, masyarakat dan pemerintah. Setiap entiti yang berada di dalam masyarakat perlu menyedari bahawa mereka sebenarnya merupakan pendakwah. Maksud sabda nabi Muhammad SAW “Sampaikanlah daripada aku walau hanya satu ayat.” Hadis riwayat imam Bukhari.
Cuma tugasan dakwah yang dipikul bukan sama rata di kalangan masyarakat. Bagi seorang ahli agama, maka peranan dakwahnya sudah tentu lebih besar. Bagi individu Muslim awam, mempunyai akhlak yang baik juga satu bentuk dakwah yang secara tidak langsung menyediakan teladan baik kepada masyarakat. Pemerintah berada dalam kedudukan yang berautoriti untuk meluaskan dakwah secara hikmah di kalangan rakyat jelata.
Masing-masing mempunyai peranan dalam kerja dakwah mengikut bidang dan had kemampuan. Pelaksanaan dakwah perlu mematuhi termanya agar perkara tentang Islam yang disampaikan kepada mad’ u (orang yang didakwahkan) dapat diterima dengan baik, melalui manhaj yang betul dan sesuai.
Antara termanya ialah dakwah perlu dilakukan secara fatanah (bijaksana). Maksudnya bijaksana dalam memahami keperluan mad’u, sama ada perlu pendekatan secara tegas, lembut atau dengan penuh kesabaran. Teladan terbaik kepada kita ialah nabi Muhammad SAW sendiri yang bertegas ketika berhadapan dengan Abu Lahab dan Abu Jahal, berlembut ketika memujuk bapa saudaranya Abu Talib dan bersabar dalam melayan karenah seorang wanita Yahudi buta sehingga akhirnya wanita berkenaan menerima risalah baginda SAW.
Salah satu manhaj dakwah adalah melalui fatwa. Dalam usaha menyebarkan Islam kepada masyarakat melalui fatwa maka aspek definisi, cabaran dan serta peranan fatwa perlu dilihat dan dibuat penambahbaikan sehingga fatwa dapat menjadi satu medium dakwah yang berkesan. Fatwa merupakan satu keputusan hukum syariah yang dikeluarkan oleh seorang mujtahid. Usaha mengeluarkan hukum timbul apabila ada isu semasa yang memerlukan pandangan agama sebagai panduan masyarakat Muslim.
Dalam konteks negara kita, fatwa merupakan pandangan rasmi negara berkaitan hukum yang berkait dengan agama Islam. Ada dua institusi fatwa iaitu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dan Jawatankuasa Fatwa Negeri. Kedua-dua jawatankuasa fatwa ini ditubuhkan berdasarkan undang-undang yang berbeza. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada awal 1970 di bawah peraturan 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri ditubuhkan di bawah setiap enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri.
Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bersifat pandangan hukum yang melibatkan isu-isu penting negara untuk kepentingan seluruh umat Islam. Sementara itu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri, termasuk memperakukan keputusan Jawatankuasa Majlis Kebangsaan, akan berkuatkuasa di negeri masing-masing setelah diwartakan. Ini merupakan fenomena kedudukan fatwa di negara Malaysia. Kedua-dua jawatankuasa fatwa ini membekalkan pelbagai hukum kepada masyarakat sebagai dakwah dalam aspek perundangan Syariah.
Antara cabaran kepada dakwah institusi kefatwaan dalam era ledakan teknologi maklumat ini ialah masyarakat awam masing-masing mempunyai akses kepada pelbagai ilmu agama seperti di dalam laman web. Hasil pembacaan sendiri daripada maklumat ini secara tidak langsung memberi ilmu agama kepada mereka. Walaupun begitu, ada di kalangan orang awam yang cenderung menjatuhkan hukum dalam sesuatu isu agama berdasarkan pembacaan mereka semata-mata. Ini adalah satu perkara yang tidak betul kerana menjatuhkan perkara hukum agama perlu kepada penguasaan segala aspek ilmu ijtihad (ilmu mengeluarkan hukum) termasuk ilmu Usul Fiqh dan Syariah yang baik. Di samping itu, cabaran lain yang timbul ialah individu cerdik pandai agama sering mengeluarkan pandangan mereka yang berbeza di khalayak dalam sesuatu isu khilaf (perselisihan pandangan) agama sehingga boleh menimbulkan kekeliruan orang awam.
Melihat kepada senario cabaran seperti di atas, maka institusi kefatwaan mempunyai peranan penting yang dapat menghindarkan kecelaruan hukum-hakam di kalangan masyarakat. Mereka perlu mengeluarkan fatwa yang dominan untuk menjadi panduan masyarakat. Ini akan meminggirkan pandangan-pandangan agama mereka yang tidak layak atau pun agamawan yang tidak mempunyai autoriti.
Salah satu elemen yang membawa kepada pengeluaran fatwa yang dominan ialah ia perlu berpaksikan kepada mazhab imam Syafie. Ini kerana sejarah masyarakat Melayu Islam menunjukkan bahawa datuk nenek moyang mereka telah pun mengamalkan manhaj mazhab imam agung ini. Sebagai contoh, pada abad ke-18 sehingga ke-20 Masihi kerja terjemahan kitab-kitab agama adalah daripada aliran mazhab Syafie. Sekolah-sekolah pondok di Tanah Melayu ketika itu juga menggunakan sukatan pengajian berdasarkan kitab-kitab mazhab Syafie. Pengaruh mazhab Syafie di dalam sektor awam pula bermula sekitar abad ke-20 Masihi dengan perlantikan jawatan Mufti dan Kadi daripada kalangan mereka berlatar belakang pendidikan mazhab Syafie.
Ini menunjukkan pengaruh dan penonjolan mazhab Syafie telah pun berakar umbi dan menjadi sebati dalam amalan hidup beragama masyarakat Islam tempatan sehingga sekarang. Aliran mazhab Syafie yang diterima pakai secara meluas membuktikan ia sesuai dengan uruf (persekitaran) sosial kehidupan tempatan. Sungguh pun begitu, dalam isu-isu yang tidak ada jawapannya dalam mazhab Syafie maka pandangan mazhab Sunni lain boleh diterima atas dasar menjaga maslahah awam.
Segala usaha penambahbaikan ke atas fatwa perlu dibuat secara berterusan dalam semua aspek agar ia dapat menjadi medium dakwah yang bukan sahaja menyampaikan hukum-hakam Islam bahkan dapat menyelaraskan dan menyatukan mad’unya, iaitu masyarakat Islam dalam amalan hidup beragama mereka.