SAYA berharap bahawa keghairahan kita membicarakan isu hak asasi manusia pada masa-masa yang terakhir ini tidak mengundang kekeliruan yang serius tentang kebebasan beragama dalam masyarakat Islam.
Satu perkara yang harus difahami bahawa hak asasi dan kebebasan manusia dalam sebarang aspek kehidupannya sentiasa disertakan dengan peraturan dan undang-undang yang tertentu.
Kebebasan mutlak pada umumnya hampir tidak wujud di dalam masyarakat manusia yang bertamadun, dan hal inilah yang membezakan di antara masyarakat manusia dengan masyarakat makhluk yang lain.
Maka di dalam Islam kebebasan yang diberikan kepada manusia juga terikat dengan peraturan dan undang-undang yang tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan akidah dan iman serta pemahaman konsep ketuhanan dan kenabian.
Soal akidah dan iman serta keesaan Tuhan Allah s.w.t dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi yang terakhir tidak dapat dikompromi sama sekali. Penghayatan akidah dan keimanan inilah yang mengikat seorang Muslim untuk komited kepada penghayatan agamanya dari sudut akidah, syariah dan akhlaknya yang jelas dan terang.
Oleh itu isu kebebasan beragama di dalam masyarakat kita tidak seharusnya dijadikan gelanggang untuk membicarakan isu akidah dan prinsip syariah serta akhlaknya. Hal ini sebenarnya mengatasi sebarang deklarasi hak asasi manusia ciptaan manusia walau dari mana sekalipun ia dikeluarkan.
Saya menyebut perkara ini kerana tradisi kebebasan beragama di dalam masyarakat dan negara kita sepanjang yang saya ingat tidak pernah dibicarakan dalam gaya dan bentuk pembicaraan yang diketengahkan pada masa ini.
Seingat saya amalan berbilang agama di dalam masyarakat negara kita telah menjadi satu budaya dan kefahaman masyarakat berbilang kaum yang amat mantap dan saling dimengerti oleh semua orang.
Telah menjadi amalan di dalam masyarakat kita umpamanya bahawa setiap orang bukan Islam yang akan berkahwin dengan orang Islam maka ia mestilah memeluk agama Islam.
Tidak terdapat amalan di dalam masyarakat kita bahawa satu keluarga yang terdiri dari suami isteri dan anak-anak menganuti kepelbagaian agama jika salah seorang suami atau isteri itu beragama Islam. Hal ini perlu wujud kerana peraturan dan undang-undang Islam amat ketat mengawal pembangunan keluarga dari sudut menentukan waris untuk menerima harta pusaka, wali untuk menikahkan anak perempuannya dan beberapa perkara lain yang mungkin menimbulkan kekeliruan seperti hukum
berkahwin di antara anggota keluarga umpamanya.
Saya dapati bahawa hal ini sudah lama difahami oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di negara kita dan telah lama pula diamalkan dengan penuh bertolak ansur di antara semua kaum.
Oleh itu saya tidak fikir hal ini seharusnya dijadikan bahan polemik atas sebarang hujah sekali pun pada masa ini kerana hukum agama dalam hal ini adalah jelas.
Satu perkara lain yang perlu disedari oleh para ibu bapa dan para pendidik Islam ialah isu kebebasan beragama ini haruslah difahami dengan sebaik-baiknya oleh anak-anak Islam supaya mereka juga tidak akan terkeliru dengan berbagai macam deklarasi dan konsep kebebasan manusia ini.
Dari segi nilai-nilai sosial, adab pertuturan, hormat menghormati dan bertolak ansur secara umum atas dasar kejiranan, kewarganegaraan malah kemanusiaan sejagat adalah dijamin di dalam Islam, malah manusia Muslim diperintahkan supayamenghormati nilai-nilai toleransi kemanusiaan dan sosial ini demi menjaga keharmonian sesama manusia.
Tetapi satu perkara yang harus difahami oleh para ibu bapa dan pendidik umumnya bahawa dalam soal akidah, Islam tidak memberikan sebarang ruang untuk bertolak ansur. Anak-anak kita harus faham pengertian yang diutarakan oleh al-Quran bahawa:
Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. (Ali Imran, 19).
Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi. (Ali Imran, 85)
Ayat-ayat ini haruslah difahami oleh semua orang yang beriman kepada Islam sebagai kalam Allah s.w.t yang benar, dan ia menjadi akidah umat yang tidak mungkin diingkari sama sekali.
Kefahaman dan kebenaran hakikat ini seharusnya dimasukkan ke dalam hati sanubari anak-anak kita dengan bersungguh-sungguh supaya mereka memahami kenapa mereka menjadi orang Islam dan mengapa mereka tidak seharusnya meninggalkan agama anutan mereka itu.
Kefahaman ini amat penting supaya pemikiran mereka tidak diracuni dan dikelirukan dengan hujah tidak ada paksaan di dalam agama seperti yang sering dihujahkan oleh beberapa kalangan bagi melonggarkan pengertian beragama di kalangan orang Islam. Hal ini telah saya jelaskan juga di dalam tulisan saya di ruangan ini pada 12 Oktober 2000.
Kita harus berhati-hati ketika membicarakan isu hak asasi manusia dalam hubungan hak dan kebebasan beragama. Dalam konteks Islam, banyak perkara yang boleh dibicarakan tentang hal ini, tetapi isu akidah dan keimanan haruslah diperkatakan dengan lebih berhati-hati kerana soal akidah adalah merupakan soal prinsip dan kepercayaan orang-orang Islam yang tidak harus dipertikai atau dipersoalkan.
Saya masih ingat ketika pendakwah, Ahmad Deedat berceramah di Kuala Lumpur satu ketika dulu dengan mempersoalkan ideologi dan kepercayaan agama Kristian, maka ceramah itu dianggap tidak sesuai dengan masyarakat kita, lalu ia dipendekkan dan tidak diteruskan.
Walaupun beliau dibenarkan berbuat demikian di negara-negara lain, tetapi dalam masyarakat negara kita yang penuh harmoni ini, maka ia dianggap tidak wajar kerana ia mempersoalkan akidah agama lain yang tidak seharusnya menjadi tajuk perdebatan umum.
Maka hal yang sama juga harus dilakukan terhadap agama Islam, iaitu perbincangan tentang agama seharusnya dibuat dengan lebih berhati-hati dan di dalam ruang-ruang tertentu di luar batas-batas akidah dan prinsip utama Islam, terutamanya rakyat negara ini telah sekian lama memahami kepekaan penduduknya yang terdiri dari berbagai-bagai kaum dan menganut berbagai-bagai agama, apa lagi dalam konteks Islam sebagai agama rasmi negara kita, tanpa menjejaskan kebebasan agama lain.
Saya ingin melihat keinginan untuk membicarakan isu kebebasan agama ini dapat dilakukan dalam batas-batasnya yang tertentu dan penuh dengan hikmah dan pengetahuan, jujur dan ikhlas demi keharmonian dan perdamaian masyarakat kita sendiri.