`Berilmu, Bersuara, Bertindak’ begitulah tema sambutan Hari Wanita Sedunia Kebangsaan yang telah diadakan pada 8 Mac lalu di Kuching, Sarawak. Tema ini menunjukkan bahawa berilmu sahaja tidak memadai, sebaliknya, wanita perlu menggunakan ilmu yang mereka ada dengan bersuara dan bertindak agar mereka mendapat hak-hak yang telah ditetapkan.
Banyak lagi ilmu yang perlu dicari melalui pembacaan atau majlis-majlis ilmu yang lain. Contoh yang mudah, ilmu tentang hak-hak wanita tidak pernah diajarkan secara formal kecuali bagi mereka yang mengambil subjek wanita di institusi pengajian tinggi (IPT).
Sehubungan dengan konsep ilmu ini juga, kita perlu sedar bahawa ilmu perlu dikongsi untuk kebaikan bersama. Jika kita boleh berkongsi gosip terkini tentang seseorang artis, mengapa kita tidak boleh berkongsi ilmu baru yang bermanfaat yang telah kita peroleh? Sebenarnya terdapat banyak cara untuk berkongsi ilmu.
Misalnya, memberi orang lain membaca majalah berinformasi yang telah kita beli atau mengedarkan maklumat berguna melalui e-mel yang boleh diedarkan pula oleh orang yang berikutnya.
Dari segi bersuara dan bertindak, Islam juga mengalu-alukannya kerana ini merupakan aplikasi ilmu yang kita miliki. Ilmu yang ada bukan sahaja dituntut diajarkan (dikongsi) kepada orang lain, yang lebih penting lagi, ilmu itu perlu digunakan untuk mengelakkan diri (sendiri dan orang lain) daripada kemudaratan.
Dalam hal bersuara dan bertindak ini, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian oleh wanita. Pertama, keberanian menyuarakan hak. Kedua, strategi bersuara dan bertindak. Tidak semua wanita berani menyuarakan ketidakadilan yang berlaku kepada mereka. Namun, ini mungkin dapat diatasi setelah berbincang dengan teman-teman lain yang memberi semangat dan sokongan.
Strategi juga penting. Wanita yang bersuara dan bertindak mengikut emosi seringkali tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Sebaliknya wanita yang bersuara dan bertindak secara bijaksana, seringkali mendapatkan apa yang dihajati.
Oleh itu, dalam usaha untuk bersuara dan bertindak, perbincangan dengan rakan-rakan lain adalah perlu agar kita dapat sampai kepada satu strategi yang terbaik yang membolehkan bukan sahaja suara kita didengari, tetapi juga membuatkan si pendengar ingin membuat perubahan demi kebaikan bersama.
Bersuara dan bertindak dengan penuh strategi bukanlah sesuatu yang asing dengan wanita Islam. Sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi, wanita Islam telah dengan berani bersuara dan bertindak demi hak mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam bersuara dan bertindak, strategi amat penting. Untuk mendapatkan apa yang dihajati, usahakanlah dengan penuh bijaksana bak menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserakan.