Sesungguhnya banyak pengajaran yang mampu diselak dan direnungi akibat pencerobohan dan pencabulan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara kecil Iraq terutamanya bagi komuniti Islam sejagat dalam menghadapi dunia global. Begitu juga, cabaran-cabaran yang bakal mereka tempuhi ketika berdepan dengan negara-negara kuasa besar tertentu yang sentiasa mengintai peluang yang ada untuk membenam mahupun merampas kekayaan hasil semula jadi negara mereka.
Pencerobohan ke atas Iraq oleh penjenayah AS dan tentera bersekutu yang turut disertai Britain, Australia dan Sepanyol ini, yang sebenarnya melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah membuka pelbagai kemungkinan mendatang yang bakal melihat siapa yang kuat dialah yang akan berkuasa dan menguasai yang lain.
Kekuatan dan penguasaan khususnya AS di bawah pimpinan Presiden George W. Bush yang tidak direstui oleh majoriti rakyatnya ke atas Iraq hanya berpaksikan kecanggihan dan kekuatan senjata semata-mata. Keperibadian dan kepentingan Bush serta kekuatan teknologi persenjataannya telah menidakkan undang-undang antarabangsa dan suara rakyat seluruh dunia.
Begitu juga, kekuatan suara sememangnya mampu merubah dunia. Tetapi suara semata-mata kini tidak lagi dapat menghalang kematian akibat ledakan bom yang digugurkan atas kerakusan peribadi yang mengutamakan kepentingan sendiri. Suasana pada ketika ini juga melihat mana-mana negara dunia terutamanya negara kecil dan juga negara yang tidak bersependapat dengan AS dan sekutunya seolah-olah tiada jaminan akan terselamat daripada ancaman ledakan senjata mereka. Inilah ketakutan yang semakin menghantui dunia.
Pencerobohan Bush ke atas Iraq ini juga sebenarnya telah memperlihatkan kepada dunia bahawa terdapat segelintir negara dan umat Islam yang terlalu bergantung kepada negara Barat dari segenap aspek kehidupan. Lantaran itu, sokongan yang mereka berikan terhadap peperangan yang tidak sah dan tidak mendapat mandat PBB ini dilakukan kerana berasa terhutang budi dan membalas jasa ataupun kerana takutkan ancaman AS ke atas mereka jika mereka membantah.
Alangkah dangkalnya apabila terdapat segelintir negara Islam sendiri yang terus-terusan membantu musuh menyerang saudara seagama mereka. Inilah gambaran yang ada bagi menjelaskan betapa telah runtuhnya perpaduan dan hilangnya ikatan kesepaduan sesama umat Islam pada masa ini.
Perpecahan dan perbalahan di kalangan ummah tidak wajar dibiarkan malah perlu wujud pelbagai usaha kreatif bagi mengembalikan perpaduan sesama mereka dan inilah sebenarnya tonggak dan lambang kekuatan umat Islam.
Perpaduan dalam Islam adalah berasaskan kepada persaudaraan kerana keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Tuntutan dalam memelihara persaudaraan dan perpaduan ummah ini jelas diterangkan dalam surah al-Hujurat ayat 10 bermaksud: Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.
Sewajarnya persaudaraan sesama Muslim ini tidak terbatas oleh persempadanan mana-mana negara atau wilayah mahupun kerana perbezaan bahasa dan adat resam setempat. Di samping itu, setiap individu Muslim juga bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan saudara seagamanya walaupun jauh beribu batu atau di mana sahaja mereka itu berada. Malahan, perpaduan mereka ini juga tidak akan tergugat oleh mana-mana kepentingan daripada musuh mereka yang sering mahu mengambil kesempatan merosakkan perpaduan ummah.
Rasulullah s.a.w ada mengumpamakan dalam sebuah hadis Baginda bermaksud: Orang-orang Islam dengan orang Islam yang lain adalah seumpama anggota badan, jika salah satunya berasa sakit, maka yang lain akan turut merasa kesakitannya dan berjaga malam.
Rasa bertanggungjawab sesama Muslim ini terbit daripada perasaan kasih dan sayang di kalangan mereka. Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 96 bermaksud: Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka perasaan kasih sayang.
Penghayatan dan kesedaran mendalam terhadap persaudaraan dan perpaduan dalam Islam ini pula hendaklah mampu dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan sejagat demi kemajuan ekonomi, politik, sosial, pendidikan, perundangan dan ketenteraan serta lain-lain. Semua ini perlu dilihat demi meningkatkan kekuatan ummah dalam mengharungi kehidupan dunia.
Namun pada masa yang sama, Islam tidaklah pula menentang atau menafikan kerjasama baik yang dilakukan dengan kaum bukan Islam atau lebih sesuai diungkapkan sebagai smart partnership demi menegakkan keadilan, meningkatkan amal makruf dan menghalang kekejaman. Apa yang ditentang oleh Islam adalah bersekongkol dengan mana-mana musuh Islam kerana semangat kezaliman dan penindasan, apatah lagi kerjasama yang didukung itu pula menindas negara Islam dan saudara seagama.
Inilah amaran yang telah diberikan Allah dalam surah an-Nisa, ayat 144 bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pelindung atau penolong) dengan membelakangkan orang-orang mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata untuk Allah menyeksamu? Sesungguhnya bagi setiap orang Islam yang beriman itu adalah diharamkan bagi mereka menganiayai atau menzalimi saudara seagama mereka.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa umat dan negara yang kuat adalah mereka yang mempunyai perpaduan yang kukuh. Kekuatan perpaduan suara menjadikan mereka mampu untuk berdikari dan tidak memerlukan bantuan asing. Perpaduan yang disertai perasaan kasih sayang ini pula menjadi teras kerjasama sesama mereka yang seterusnya membentuk satu pakatan di kalangan mereka untuk terus maju dalam pelbagai ruang kehidupan. Di samping itu, pakatan yang adil dan saksama ini pula yang diperjuangkan atas dasar persaudaraan dan keimanan serta kasih sayang akan sentiasa memelihara kebajikan dan keselamatan ahli mereka serta cuba menghindarkan pelbagai penghinaan daripada menimpa kalangan mereka.