Pensyariatan ibadat korban sempena perayaan ‘Idul Adha atau Hari Raya Haji adalah bersusur galur kepada peristiwa pengorbanan agung yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ke atas anaknya Nabi Ismail a.s. Dengan kata lain, peristiwa korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s menjadi asas kepada pensyariatan ibadat korban yang dilakukan oleh umat Islam pada Hari Raya Korban/Haji yang sedang kita raikan ini. Hal ini juga secara tak langsung menjadikan semangat untuk berkorban menjadi teras utama yang mendukungi sambutan ‘Idul Adha.
Apa sebenar yang dapat kita pelajari daripada kepatuhan Nabi Ibrahim a.s kepada Allah s.w.t dan ketaatan nabi Ismail terhadap permintaan ayahandanya untuk mengorbankan beliau atas perintah Allah s.w.t? Apa pula tauladan yang dapat kita ambil daripada kerelaan dan keredhaan seorang ibu yang bernama Siti Hajar terhadap ketentuan ilahi yang terpaksa ditempuhnya berikutan perintah Allah s.w.t tadi ke atas suami dan anakandanya?
Jika ini berlaku ke atas kita, sejauh manakah pengorbanan yang dapat kita berikan? Tugas yang diamanahkan kepada nabi Ibrahim dalam suasana dunia sekarang adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan oleh mana-mana orang perseorangan. Cuba kita bayangkan, adakah kita sanggup kehilangan sesuatu yang kita sayangi demi kepentingan orang lain?
Dalam dunia sekarang tidak ramai yang sanggup berkorban demi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Sebab itulah kita sering membaca dan mendengar kejadian-kejadian yang dikaitkan dengan salah laku manusia, terutamanya di kalangan mereka yang memimpin pertubuhan atau syarikat, baik pertubuhan yang bersifat keuntungan mahupun yang wujud atas dasar untuk menjaga kebajikan ahli.
Dalam pertubuhan yang berpaksikan kepada keuntungan, ketiadaan unsur pengorbanan yang sejati dapat dilihat melalui kepincangan di dalam lembaran untung rugi syarikat. Berapa ramai pemimpin syarikat semasa zaman kegawatan ekonomi dahulu yang menguburkan syarikat yang mereka terajui tanpa batu nisan lantaran kegagalan mereka mengorbankan sifat tamak dan haloba apabila berhadapan dengan urusan kewangan syarikat? Tanpa memikirkan soal kebajikan pekerja dan keluarga mereka, kepentingan kewujudan syarikat kepada ekonomi negara dan sumbangan syarikat tadi kepada kemakmuran masyarakat, mereka sanggup mengorbankan nilai tadbir urus yang baik yang sepatutnya dipatuhi demi memastikan kepentingan diri sendiri dipenuhi.
Dalam pertubuhan bukan berlandaskan kepada keuntungan pula, ketiadaan nilai pengorbanan pendukungnya dapat dilihat melalui perebutan kuasa atau pucuk pimpinan ataupun melalui kewujudan puak-puak yang tertentu di dalam pertubuhan tadi.
Semua ini berlaku apabila mereka yang memegang tampuk pengurusan atau pentadbiran tadi tidak mengerti faham pengorbanan yang perlu dilakukan apabila menjawat sesuatu jawatan dalam sesebuah pertubuhan.
Sepatutnya mereka berkorban untuk kepentingan badan yang dipimpin, berkorban untuk agama dan ummah. Akan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka mengorbankan kepentingan umum untuk kepentingan peribadi.
Begitu jugalahhalnya dalam parti-parti siasah di negara kita di mana barisan kepimpinan parti menjadi rebutan ramai. Mereka berebut bukan kerana ikhlas ingin mencapai matlamat utama yang digariskan oleh parti terbabit sebagaimana yang dilakukan oleh pengasas atau pelopornya yang terdahulu, tetapi kerana adanya nilai kebendaan yang dapat dikaut daripada jawatan yang disandang.
Gejala ketandusan unsur pengorbanan ini tidak hanya terhad di dalam pertubuhan bersifat keuntungan dan kebajikan sahaja, malah turut melibatkan bahagian perkhidmatan awam. Rungutan yang berkaitan dengan ketidakcekapan perkhidmatan merupakan satu perkara biasa yang kita dengar walaupun ia sudah mulai berkurangan. Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa masih ramai lagi yang tidak menghayati cogan kata “Berkhidmat Untuk Negara” yang sekaligus menunjukkan masih ada lagi segelintir kakitangan perkhidmatan awam yangtidak sanggup berkorban untuk kesejahteraan ramai.
Dalam usaha kita memakmurkan negara yang dicintai, unsur pengorbanan tidak boleh diketepikan sama sekali. Malah kita semua- baik yang berkedudukan mahupun tidak, sama ada golongan atasan atau orang biasa- perlu berkorban untuk kesejahteraan negara.
Dengan kata lain, pengorbanan setiap anggota masyarakat membolehkan sesebuah negara memperolehi kesejahteraan, keharmornian dan kemakmuran dalam pelbagai bidang, baik dalam bidang ekonomi, kemasyarakatan, siasah, kebudayaan dan sebagainya.
Dalam masyarakat setiap orang ada peranannya yang tersendiri. Dan sememangnya kita dijadikan Allah s.w.t berbeza-beza dari segi kepandaiandan kemahiran.. Jadi dalam usaha kita untuk melihat negara kita menuju kemuncak peradaban, kita perlu mengorbankan sikap angkuh dan mementingkan diri sendiri agar kita dapat bekerjasama dengan semua pihak dalam suasana yang makmur tanpa ada rasa ingin memperkecilkan antara satu sama lain.
Apa yang penting ialah, apabila kita melakukan apa saja tanggungjawab yang diamanahkan , kita perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dengan niat tulus ikhlas semata-mata ingin mendapat keredhaan Allah s.w.t. Jadi apabila setiap anggota masyarakat melakukan yang terbaik, maka apa yang kita semua hasilkan, yang kemudiannya kita kongsi bersama tadi adalah yang terbaik juga.
Jadi apabila setiap di antara kita memahami erti pengorbanan yang sejati, maka apabila kita pergi mendapatkan perkhidmatan di pejabat-pejabat kerajaan, kita akan mendapat perkhidmatan yang terbaik, cekap dan berkesan. Bila disentuh tentang urusan siasah pula, corak pentadbiran negara kita mesti teratur dan adil. Ini kerana pemerintah yang adil mustahil akan mengorbankan kepentingan rakyat untuk kepentingan peribadi. Mereka juga tidak sepatutnya menyalahgunakan peruntukan sepatutnya disalurkan kepada rakyat dan tiada penyalahgunaan kuasa berlaku kerana ahli siasah sebegini seharusnya tahu erti pengorbanan yang dituntut oleh agama menerusi jawatan yang disandangnya. Masyarakat perniagaan pula tidak harus mementingkan keuntungan semata-mata. Tadbir urus korporat yang baik serta kepekaan terhadap hak-hak pengguna, pemegang saham, alam sekitar, masyarakat awam dan sebagainya harus menjadi tumpuan utama dalam urusan memajukan perniagaan syarikat. Bukan setakat itu sahaja, malah dalam masyarakat yang memahami erti pengorbanan yang sebenar, kalau kita ke pasar pun, kita harus mendapat barangan dan hasil tanaman yang bermutu, hasil pengorbanan yang dilakukan oleh para pekebun, petani, penternak dan nelayan.
Hakikatnya, pengertian korban bukan bermaksud sekadar menyerahkan apa–apa yang kita sayangi untuk kepentingan orang lain yang lebih memerlukan. Ia sebenarnya menuntut lebih daripada itu di mana selain daripada harta, nyawa dan masa, pengorbanan juga memerlukan keazaman dan keihlasan yang tulin.
Tanpa keihlasan, maka apa yang kita korbankan adalah sia-sia. Malah disebabkan tiadanya nilai keikhlasan, maka apa yang kita saksikan dewasa ini, baik dalam pengurusan syarikat mahupun dalam pentadbiran negara – tidak mencerminkan hasil pengorbanan yang sebenar. Ini kerana pengorbanan yang disertai dengan keikhlasan akan menghasilkan mutu dalam setiap bidang yang kita usahakan, bukannya kepincangan.