Fitnah dan cemar yang diakibatkan oleh kumpulan militant IS begitu besar terhadap agama. Kekejaman dahsyat yang dilakukan atas nama agama Islam, disasarkan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa, dan negara. Justeru, seluruh dunia seolah-olah disatukan bagi menghadapi dan “menewaskan” kumpulan militan yang mula dikenali dunia antarabangsa pada tahun 2014 itu. Malah, dunia juga seakan-akan dialihkan perhatian daripada kekejaman yang serupa dilakukan oleh tentera Zionis Israel terhadap penduduk Palestin sejak puluhan tahun yang lampau.
Kumpulan militan itu memilih segala wadah dan kaedah; akhbar dan majalah, papan-papan iklan, dan wang syiling bagi menegaskan asas “rujukan” mereka dalam menggubal dasar-dasar utama dan undang-undang. Asas rujukan yang dimaksudkan itu ialah Sunnah Nabi SAW. Inilah yang ditegaskan oleh Nabi SAW dalam Hadith Baginda sebagai manusia yang telah sesat lalu kemudian menyesatkan pula manusia lain. Kelihatannya tanggungjawab yang dipikul umat Islam yang hidup pada akhir zaman ini semakin berat dan menyesakkan. Wajah agama yang hakikatnya bersih dan indah sebagaimana dicorakkan asalnya oleh Nabi Muhammad SAW telah rosak binasa, lagi hina dan buruk tercemar kini akibat perbuatan umat Islam sendiri.
Kempen anti keganasan terhadap kumpulan pengganas yang dilaksanakan oleh kuasa besar dunia seperti Amerika kelihatannya menemui jalan buntu atau juga gagal. Sebaliknya, sebagaimana dinyatakan oleh beberapa pemerhati dan penganalisis politik antarabangsa, tindakan yang diambil negara itu berkemungkinan telah memberikan kekuatan tambahan kepada kumpulan terbabit. Kempen anti keganasan secara bersiri oleh Amerika Syarikat dengan menggunakan kuasa ketenteraan di Afghanistan pada tahun 2001 sebagaimana dilaungkan Presidennya ketika itu, George W Bush, bertujuan memusnahkan rangkaian pengganas al-Qaeda, menawan dan membunuh pemimpin pertubuhan berkenaan, Osama bin Laden selain melemahkan pemerintahan Taliban. Misi yang sama diteruskan di beberapa buah negara lain seperti di Iraq, Somalia, Pakistan, malah ke rantau ASEAN seperti di Filipina. Presiden Barrack Obama yang menggantikan Bush telah mengumumkan perubahan tumpuan ketenteraan negara tersebut, iaitu kepada musuh yang lebih khusus. Sebagaimana diungkap beliau, “Amerika Syarikat tidak lagi meneruskan Perang Anti Keganasan. Ini kerana ketenteraan Amerika tidak wajar menangani musuh secara taktikal. Kita perlu mendefinisikan bahawa langkah yang diambil bukan sebagai “Peperangan terhadap Keganasan Sedunia” yang tidak bersempadan malah sebaliknya usaha secara tertumpu dan berterusan perlu digembleng untuk menghapuskan rangkaian pengganas yang mengancam Amerika.”
Sama ada Bush mahupun Obama, kedua-duanya masih belum dapat menarik nafas lega. Apatah lagi untuk berbangga dengan hasil kejayaan dasar-dasar menangani keganasan dan menghapuskan rangkaian pengganas yang disasarkan mereka selama ini. Ini kerana permasalahan utama yang dihadapi oleh dunia hari ini berkaitan dengan kumpulan militant seperti IS atau yang lainnya ialah ideologi yang didokong mereka. Kuasa ketenteraan semata-mata tidak mungkin mampu membendung, menamatkan apatah lagi menghapuskan ideologi tersebut. Justeru kita dapat melihat, ideologi kumpulan militan itu tidak pernah lenyap malah saban hari berkembang dengan pesat lagi meluas. Puluhan ribu anggota baharu dalam kalangan umat Islam, iaitu dari pelbagai buah negara di dunia; Perancis, United Kingdom, Belgium, Jerman, Holland, Australia, Indonesia, dan Amerika Syarikat sendiri menyertai IS. Bukan sahaja berniat untuk berjuang tetapi juga sanggup mengorbankan nyawa mereka. Lebih membimbangkan antara anggota baharu yang direkrut oleh kumpulan militan tersebut termasuklah kanak-kanak.
Kemaraan pengaruh dan keganasan yang dilakukan kumpulan IS ke rantau ini, khususnya Malaysia kian mengocak ketenteraman fikiran dan kehidupan yang dinikmati oleh penduduknya. Pelbagai persoalan hangat dibincangkan masyarakat umum. Antaranya termasuklah mampukah pihak berwajib untuk terus mengekang rangkaian keganasan yang direncana untuk dilaksanakan? Adakah wujud kemungkinan segala perancangan yang diatur mereka akhirnya dapat membolosi kawalan pihak ketenteraan dan keselamatan negara? Apakah kaedah terbaik yang perlu dilaksanakan bagi memastikan ideologi dan propaganda tajaan pengganas terbabit dihapuskan sehingga ke akar umbinya?
Usaha yang diambil Malaysia bagi menganjurkan Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Menangani Keganasan Melampau pada 25-26 Januari yang lalu merupakan antara isyarat penting penentangan terhadap keganasan. Ini seterusnya diteguhkan dengan penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej melalui Komunikasi (RDC3) Anti Keganasan ASEAN Mei nanti. Selain itu, fatwa juga telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Malaysia yang bersidang pada 20 April 2015 bagi mengharamkan umat Islam daripada menyertai kumpulan militan yang membawa ideologi keganasan seperti IS. Ini kerana perjuangan kumpulan itu bercanggah dengan ajaran Islam dan menggugat keselamatan negara. Turut diputuskan bahawa perjuangan seumpama itu tidak tergolong sebagai jihad dan kematian yang berlaku tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka hukum syarak.
Namun langkah susulan yang juga penting ialah kesungguhan kepemimpinan negara untuk menangani secara tuntas ideologi kumpulan IS yang telah menyerap pemikiran segelintir rakyat negara ini. Hal ini sudah pasti perlu dilaksanakan melalui sektor pendidikan, iaitu daripada peringkat paling rendah sehingga ke pengajian tinggi. Kanak-kanak yang mengikuti pendidikan asas di tabika perlu dididik tentang ajaran Islam yang menekankan kasih sayang, perpaduan dan bukan sebaliknya, pembunuhan, keganasan serta kezaliman. Demikian pula pelajar-pelajar pada semua peringkat pendidikan, terutama yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara. Perkembangan yang berlaku di negara luar kelihatan begitu mudah mendorong pelajar-pelajar pengajian tinggi negara ini untuk turut menyertai “perjuangan” kononnya atas nama “jihad” oleh kumpulan IS. Hal ini tidak menghairankan kerana usia muda lazimnya mudah mendorong golongan muda untuk melakukan sesuatu yang menongkah arus atau dianggap “mencabar” lagi “berani”. Pembanterasan ideologi kumpulan militan dalam kalangan pelajar IPT perlu ditangani secara intelektual. Antaranya dengan mendidik mereka untuk memahami sejarah dengan mendalam dan implikasi ideologi pengganas yang didalangi fahaman tertentu yang sentiasa cenderung memecahbelahkan umat Islam. Seterusnya bagi masyarakat awam, usaha secara berterusan perlu dilakukan melalui pelbagai wadah seperti media sosial, media cetak dan elektronik selain kempen, ceramah, malah juga khutbah-khutbah Jumaat bagi memberikan kesedaran tentang keganasan serta kezaliman yang didokong oleh ideologi kumpulan pengganas atau militan tersebut.
Bersempena dengan Hari Wilayah yang disambut pada hari ini saban tahun, penghuni kota ini khususnya perlu berusaha memberikan sokongan bagi mengekalkan kehidupan aman lagi sejahtera. Hanya dengan keamanan dan ketenteraman sahajalah pelbagai bentuk kemajuan dan kejayaan akan dapat dikecapi. Pengalaman pahit yang dialami penduduk-penduduk kota di dunia yang melalui kancah peperangan dan kehilangan nikmat ketenteraman hidup seperti Damsyik, Basrah, Ruqqah, Aleppo, dan Palmyra di Syria seharusnya dijadikan pengajaran. Betapa peperangan dan keganasan yang dilancarkan sesama sendiri bukan sahaja meragut nyawa, mengakibatkan penduduknya kehilangan tempat tinggal lalu menjadi pelarian malah meruntuhkan pusat-pusat keilmuan serta monumen-monumen bersejarah. Mudah-mudahan apa yang berlaku di negara-negara lain, khususnya negara-negara Islam dapat dijadikan iktibar serta pedoman untuk kita tidak melakukan kesilapan yang sama. Malah sebaliknya kita bersama-sama menyatukan kudrat untuk memerangi keganasan sehingga ke akar umbinya. Semoga sambutan Hari Wilayah yang ke-42 tahun ini menguatkan semangat penduduk kota ini untuk mengakrabkan hubungan antara sesama mereka dan menggembleng usaha bagi mencapai kejayaan lebih bermakna yang dapat dikongsi manfaatnya oleh seluruh rakyat tanpa mengira agama, kaum, dan bangsa.