Gaya hidup masyarakat kini diwarnai dengan kehidupan berlebih-lebihan terutama sekali dalam hal penggunaan. Walaupun ramai yang melalui cara hidup sebegini namun ada yang tidak menyedari hakikat kehidupannya itu. Bagi yang sedar pula, amat sukar bagi mereka untuk melepaskan diri daripada gaya hidup berlebih-lebihan tersebut. Kesannya, masyarakat kini rela dan terus terikat dengan gaya hidup berlebih-lebihan.
Gaya hidup berlebih-lebihan terutamanya dalam penggunaan menjadi antara punca utama kepada pelbagai masalah termasuklah masalah yang berkaitan dengan persekitaran. Pemanasan bumi berlaku kerana peningkatan gas rumah hijau yang berkait dengan pelbagai kegiatan manusia dan kebergantungan tinggi terhadap bahan api fosil. Manakala, lambakan sampah yang kini telah mencapai tahap krisis berlaku kerana kegagalan mengawal penggunaan pelbagai barangan yang sebahagian besarnya berpunca daripada kemahuan dan bukan kerana keperluan.
Begitu juga dengan masalah peningkatan sisa makanan akibat daripada amalan membazir makanan. Di Malaysia sahaja, 38,000 tan sampah dibuang setiap hari dan jumlah ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Daripada jumlah sampah yang dibuang ini, 45 peratus atau lebih kurang 17,000 tan sampah adalah sisa makanan. Manakala 20 peratus atau 3400 tan daripada sisa makanan ini sebenarnya adalah sisa makanan yang boleh dielakkan.
Ada ketikanya pula, berlaku peningkatan sisa makanan sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan atau hari-hari tertentu seperti bulan Ramadan, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidil Fitri serta musim cuti sekolah. Lebih membimbangkan lagi ialah sisa makanan yang meningkat ini sebahagian besarnya (40 peratus) berpunca dari isi rumah (keluarga) berbanding pasar basah (25 peratus), restoran (23 peratus) dan hotel (7 peratus).
Kenapakah peningkatan pembaziran makanan berlaku? Antara punca yang boleh disenaraikan ialah pembelian berlebihan, penyediaan makanan berlebihan, pembelian barangan makanan mudah rosak secara berlebihan, penyimpanan makanan yang lemah, pembelian makanan kerana status atau gaya hidup dan sebagainya. Daripada punca-punca yang disebutkan ini, perkataan “berlebihan” diulang berkali-kali malah seolah-olah tidak dapat dielakkan daripada disebut atau digunakan. Hakikatnya, inilah identiti kehidupan masyarakat moden iaitu kelekaan dan keterikatan kepada gaya hidup berlebih-lebihan.
Apakah pandangan hidup Islam terhadap hal ini? Agama Islam adalah agama yang tidak menerima perbuatan berlebih-lebihan atau pembaziran (al-Israa’: 27 dan al-A’raaf:31). Malah, orang-orang yang melakukan perbuatan ini dianggap sebagai “saudara-saudara syaitan.” Jadi, adakah kita mahu dikaitkan dengan makhluk kufur tersebut?
Bukan itu sahaja, makanan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pandangan hidup Islam. Hal ini kerana, makanan adalah ciptaan dan milik Allah SWT (al-An’aam:11-12) dan merupakan satu anugerah kepada manusia (al-Baqarah:172). Maka, nikmat ini perlu disyukuri (Saba’:15) dan bukan dibazirkan sesuka hati.
Makanan ciptaan Allah SWT bukan hanya untuk manusia tetapi juga makhluk Allah SWT yang lain, misalnya haiwan. Oleh itu, bukan hanya manusia yang berhak terhadap makanan tersebut. Jadi kenapakah kita seringkali lupa dan memperlakukan makanan sewenang-wenangnya?
Hakikatnya, kita hamba-Nya yang serba lemah dan tidak mampu untuk menghasilkan makanan kita sendiri. Hanya Allah SWT yang berkuasa menjadikan makanan itu. Hal ini hanya dapat difahami dan diinsafi insan yang mengambil masa untuk berfikir akan kejadian makanan dan kerana itulah kita dituntut untuk mengambil iktibar daripada kejadian makanan (A’basa: 24 dan an-Nahl:66).
Janganlah juga kita lupa bahawa dalam makanan yang kita makan setiap hari ada keberkatan tertentu. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis Rasulullah SAW; daripada Jabir r.a. bahawa Nabi SAW memerintahkan supaya jari-jemari dijilat dan pinggan dikesat lalu bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bahagian manakah terdapatnya keberkatan.” (HR Muslim).
Dalam bahasa Arab, perkataan “barakah” bermaksud “tumbuh” dan “bertambah.” Dalam bahasa Melayu pula, ia membawa maksud “mendatangkan kebaikan kepada seseorang.” Jika hal ini dikaitkan dengan makanan, maka secara ringkasnya boleh dikatakan bahawa makanan yang penuh dengan keberkatan itu akan sentiasa cukup, memberikan kepuasan, menyihatkan dan mendatangkan kebaikan kepada pemakan atau pemiliknya. Hasilnya, pastilah tubuh badan menjadi sihat dan dapat berfungsi sebagai manusia biasa serta dapat melakukan perkara-perkara baik seperti beribadat, bekerja, beriadah, membantu orang lain dan sebagainya.
Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa makanan bukan sahaja penting bagi memenuhi keperluan fizikal manusia tetapi dari segi spiritualnya juga, makanan menjadi penghubung yang kuat antara manusia dengan Maha Pencipta. Oleh itu, amalan berlebih-lebihan dalam penyediaan serta pembaziran makanan tidak wajar berlaku terutama bagi umat Islam.
Sebenarnya, dalam pandangan hidup Islam, telah dinyatakan jalan penyelesaian bagi permasalahan ini. Kita tidak dibenarkan membazir (al-Israa’:27), digalakkan bersederhana dalam hal makan-minum (al-A’raaf:31), bersyukur dengan nikmat makanan yang diberikan (al-Baqarah:172 dan Saba’:15)’ Selain itu, berkongsi makanan dengan orang lain juga dituntut dan ini disebut dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Daripada Abdullah bin Amru r.a, bahawasanya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Apakah amalan terbaik dalam Islam?’ Baginda bersabda, ‘memberi makan makanan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenali.” (HR Bukhari dan Muslim).
Dengan itu, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, selain kita berusaha mengejar pahala bagi pelbagai ibadah wajib serta sunat, berazamlah juga untuk bersungguh-sungguh mengelakkan pembaziran makanan dengan menumpukan kepada kesederhanaan, bersyukur dengan nikmat Allah SWT dan menjauhi gaya hidup berlebih-lebihan. Jadikanlah Ramadan kali ini, tanpa pembaziran.