Dunia berhadapan dengan pelbagai teknologi baharu yang mengagumkan bermula daripada kecerdasan buatan hingga kepada mesin yang bersambung dengan percetakan 3D. Semuanya menawarkan kombinasi manfaat dengan penjimatan kos dan masa, peningkatan kualiti dan fleksibiliti barangan dan perkhidmatan. Walau bagaimana menarik sekalipun, teknologi terkini tidak lebih fungsinya kecuali sebagai alat yang perlu diuruskan dengan nilai manusiawi.
Revolusi industri terus berlaku bermula daripada sumber tenaga hinggalah kepada barangan akhir yang diperlukan dalam kehidupan. Berbeza dengan dahulu, zaman internet (IoT-internet of thing) dan digital mengubah cara hidup dan memberi cabaran baharu untuk ditekuni. Teknologi 5G misalnya menawarkan gelombang capaian yang sangat pantas, jimat dan menghilangkan julat tindak balas berskala mikro paling kecil. Dengan kemampuan ini, 5G digunakan untuk mengendali mesin, kenderaan atau jentera secara tangkas dalam talian, menggunakan sistem yang bertindak balas dengan pengaturcaraan algoritma kecerdasan buatan.
Penggunaan kecerdasan buatan banyak membantu dalam pelbagai bidang dan industri dengan robot pintar. Malah dunia mengorak langkah ke arah penciptaan program kecerdasan buatan super dengan bantuan mesin yang sentiasa belajar (machine learning) dan anjal mengubah arahan sendiri (algorithmic deep learning). Tindak balas yang berupa rangkaian dan matrik algoritma komputer membantu dalam aktiviti seharian dengan tanpa perlu dibuat oleh manusia atau diarah berulang kali. Tidak mustahil pada masa akan datang kenderaan pandu sendiri menjadi satu kebiasaan dan banyak urusan dilakukan menggunakan sistem automatik, robotik dan digital.
Penggunaan percetakan 3D telah mula membanjiri industri. Percetakan 3D menjanjikan kemampuan rekayasa barangan daripada plastik, kaca, nylon, polymide, titanium, besi dan polycarbonate. Barangan kemas daripada emas, alat gantian kapal terbang, alat ganti kereta, organ manusia, reka bentuk fesyen pakaian, terumbu karang plastik telah membuktikan kejayaan percetakan 3D. Industri perubatan mungkin menemui alternatif kepada organ, tisu badan, gigi dan tulang yang mengandungi saluran darah yang menjanjikan pendapatan lumayan. Kemampuan percetakan 3D boleh menggantikan tugas yang rumit dan berbahaya.
Namun, teknologi tidak mampu menawarkan pakej pembangunan manusiawi malah lebih dahsyat lagi pembangunan tidak terpimpin ditakuti mampu menjejaskan manusia dan kemanusiaan. Tanpa disedari, percetakan 3D yang dibanggakan itu juga mampu mencetak senjata seperti pistol dan mesingun yang berfungsi penuh. Begitu juga kebelakangan ini wujud berbagai-bagai jenis jenayah baharu, persoalan kerahsiaan peribadi, pencerobohan hak cipta dan kecurian maklumat. Teknologi terkini mampu menyelesaikan kebuntuan dan kesukaran tetapi membawa masalah baharu yang tidak dapat dijangkakan.
Kemunculan wang digital melalui penemuan teknologi blockchain merupakan satu lagi gugatan sistem kewangan sedia ada sehingga memaksa pihak berkuasa kewangan memikirkan cara baharu mengurus dan mengawal selia kestabilan nilai mata wang dan ekonomi. Selain aktiviti membiayai kumpulan pengganas, wujud transaksi yang tidak pernah dibayangkan oleh pemikiran kita dalam pasaran gelap (darkweb) melibatkan jenayah dan keganasan. Penjenayah menerima bayaran melalui wang digital (bitcoin) contohnya bagi mempamerkan aksi jenayah secara langsung dalam talian.
Sifat sesuatu alat ialah mengikut sahaja apa yang manusia lakukan terhadapnya dan sebahagiannya memberi kesan di luar jangkauan pemikiran. Para penyelidik menyimpulkan beberapa risiko terhadap kehidupan antaranya ialah keterlaluan bergantungan kepada teknologi, penguncupan kerja, kegagalan algoritma, ketidakselarian nilai, automasi serangan dan ancaman, keputusan dan impak teknologi yang tidak diingini yang boleh mengakibatkan kematian yang terprogram.
Kajian juga menunjukkan terdapat berbagai-bagai impak langsung kepada kehidupan, kesan frekuensi gelombang berlebihan berpunca daripada infrastruktur 5G hinggalah kepada peranti yang digunakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian lapisan kulit dan unsur hidupan sensitif terhadap frekuensi yang berlebihan. Kita sedia maklum beberapa jenis haiwan atau serangga dibunuh hanya dengan menggunakan frekuensi tertentu yang tidak nampak, dengar atau rasa.
Tidak mustahil sebuah kenderaan pandu sendiri boleh mengakibatkan kematian kepada pejalan kaki berbanding penumpangnya jika dalam kecemasan kenderaan tersebut diprogramkan untuk “buat keputusan” dengan sendiri. Teknologi mampu memberi manfaat tetapi mudaratnya tidak mampu kita jangkakan.
Sejarah menunjukkan kecenderungan pembangunan manusia berarah songsang di peringkat awal penyesuaian jika dinisbahkan kepada teknologi. Semakin maju teknologi, semakin mundur manusia dan kemanusiaan. Perkara ini terjadi apabila nilai-nilai murni dikorbankan dek kerana teknologi. Lihat bagaimana majoriti pengguna peranti pintar menyerahkan kepintaran mereka kepada peranti sehingga ada sebahagiannya tidak meninggalkan sedikit pun kepintaran mereka dalam penggunaan peranti pintar. Pihak kerajaan terpaksa mengiklankan kempen kesedaran agar pengguna peranti menjadi lebih pintar dan tidak tersalah mengunakannya dengan cara yang tidak bijak seperti ketika memandu. Malah dunia berhadapan dengan berbagai-bagai ancaman kemusnahan berpunca daripada teknologi yang makin canggih antaranya kesan negatif kepada alam sekitar, flora dan fauna, pencemaran dan sisa buangan, kesan radioaktif dan impak sosial. Teknologi komunikasi yang tidak terkawal juga mampu menggugat kestabilan negara dan boleh mencetuskan masalah perkauman.
Oleh itu, kemajuan teknologi semata-mata tidak boleh dibanggakan jika kita tidak mampu menguruskan kesan ketaranya kepada manusia. Di samping kawalan terhadap penggunaan teknologi sama ada melalui perundangan, kesedaran dan penguatkuasaan, kita perlu sedar maksud sebenar pembangunan. Pembangunan sebenar bukan pembangunan material semata-mata tetapi pembangunan manusiawi. Proses membangunkan manusiawi mengutamakan nilai murni yang tidak bersifat kebendaan tetapi pembangunan seimbang jasmani-rohani.