Pengurusan secara ringkasnya boleh didefinisikan sebagai hal mengurus sesuatu. Biasanya pengurusan melibatkan proses bersifat formal, dan sesuatu yang sistematik dalam merancang; mengorganisasi; memimpin sumber manusia; dan mengawal sumber bukan manusia. Pengurusan terhadap apa sahaja sumber adalah penting kerana dengannya pembaziran dapat dielakkan, selain sumber berkenaan dapat digunakan secara optimum. Sebagai umat Islam pula, pengurusan sumber perlu menjadikan akidah sebagai pasaknya, dan prinsip-prinsip syariah sebagai lingkungan panduan sekali gus batasan dalam tindakan. Dalam lingkungan inilah al-falah diletakkan sebagai destinasi akhir dalam pengurusan sumber.
Dalam hal pengurusan harta, banyak orang menerima bahawa harta adalah kurniaan Allah SWT. Pemberian daripada-Nya diterima melalui pelbagai cara atau jalan sama ada dengan ikhtiar sendiri atau dengan pemberian tanpa balasan. Di sebalik perkara ini, sebanyak mana pula agaknya individu Muslim yang menginsafi bahawa harta itu adalah amanah daripada Allah SWT, walaupun setiap daripada kita tidak menafikan keperluannya pada tahap daruri sementelah ketiadaannya (tidak memiliki harta) menyebabkan manusia sukar untuk menjalani kehidupan masing-masing?
Atas keperluan terhadap harta termasuk wang ringgit, maka di sinilah agama Islam amat menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha dengan gigih dalam memiliki harta kekayaan supaya dunia ini dapat dimakmurkan, dan kemakmuran dapat memberikan manfaat kepada semua makhluk yang berkongsi kehidupan bersama-sama.
Secara adatnya, apabila individu bersungguh-sungguh dengan usahanya dan Tuhan yang memberi rezeki itu membenarkan ia untuk memiliki harta, maka lama-kelamaan terkumpullah harta yang menjadi hak miliknya. Sekiranya individu tersebut memahami bahawa pemilik mutlak terhadap harta dan wang ringgit yang dikumpulkannya itu ialah Allah SWT, maka di sinilah pengurusan harta keluarga secara Islam memainkan peranannya.
Manusia perlu bijaksana dalam membincangkan pengurusan harta keluarga, bukan sekadar mentadbir harta tersebut mengikut pertimbangan secara rasional semata-mata, bahkan mengenali, memahami dan menerima instrumen serta prinsip-prinsip yang disediakan dalam syariah. Pemahaman dan penerimaan tersebut akan menghasilkan pertimbangan yang didasari oleh akidah, melangkaui emosi, dan dilaksanakan dengan prinsip-prinsip muamalah yang benar dan tepat. Instrumen atau kaedah yang ditawarkan dalam pengurusan harta keluarga bukan semata-mata secara faraid, malahan juga secara berwasiat, pemberian tanpa balasan (hibah) dan tuntutan harta sepencarian yang melibatkan sumbangan suami isteri dalam tempoh berumah tangga.
Apabila pengurusan harta keluarga dilaksanakan dengan penuh keimanan, maka harta-harta yang dimiliki akan diurus secara berhemah dan berhikmah, iaitu sukar berlaku kesilapan dalam pengurusan; tiada pembaziran; membuat pemilihan instrumen yang terbaik mengikut struktur waris masing-masing; dan harta dapat diagih-agihkan mengikut kepentingan waris masing-masing sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap pemilik harta tersebut. Kebijaksanaan dalam pengurusan harta keluarga dengan mengikuti kaedah dan prinsip-prinsip yang disediakan dalam syariah juga akan memberi kesan baik dengan harta tersebut yang dapat dimanfaatkan oleh banyak pihak.
Maka, waris-waris atau ahli kerabat yang terhalang daripada menerima bahagian masing-masing melalui mekanisme faraid, tidak akan terpinggir dan masih terbela apabila pemilik harta dapat menguruskannya dengan baik. Barangkali kita terlepas pandang dengan golongan seperti cucu yang kehilangan ibu bapa mereka; saudara tiri; anak bawa; saudara seibu sebapa; anak angkat dan anak tidak sah taraf adalah kalangan yang menjadi ahli keluarga, kaum kerabat tetapi tidak mempunyai peruntukan atau bahagian dalam pewarisan pusaka. Mungkin dalam situasi-situasi tertentu mereka adalah golongan yang lebih perlu diberi perhatian dan pembelaan. Malah, bagi kalangan individu yang hidup sebatang kara juga perlu memiliki kemahiran pengurusan harta sendiri supaya harta tersebut tidak terbiar begitu sahaja dan sekadar menambah angka kepada jumlah harta orang Islam di negara ini yang tidak dituntut.
Sebaliknya jika masyarakat Islam tidak mempunyai kesedaran dan keprihatinan yang tinggi, ia mengakibatkan konflik keluarga dalam perebutan harta akan terus berlaku dan tidak berkesudahan. Atas kesedaran inilah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menganjurkan satu program kursus mengenai kaedah pengurusan harta keluarga Islam kepada masyarakat Islam pada 14 dan 15 Oktober nanti bagi menyebarluaskan kefahaman tentang pengurusan harta keluarga. Matlamat program ini antaranya adalah menjadikan peserta yang mempunyai kemahiran untuk mengagih harta menurut struktur ahli keluarga mereka.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha supaya individu pemilik harta akan mencapai al-falah sebagaimana yang disebutkan pada perenggan awal tadi yang perlu dijadikan sebagai matlamat akhir dalam pengurusan sumber, dan dalam konteks ini adalah pengurusan harta keluarga. Al-falah memberi maksud sebagai “kemenangan” secara menyeluruh serta meliputi semua sudut termasuklah sebagai lambang dan syiar matlamat kehidupan insan seluruhnya kerana ia dijadikan saranan abadi dalam kehidupan setiap Muslim; meliputi semua jalan serta setiap kriterianya; meliputi kemenangan pada taraf individu, kenegaraan atau kemasyarakatan; meliputi kemenangan di dunia dan akhirat; dan juga kemenangan jasmani serta rohani.
Selanjutnya, al-falah akan menatijahkan kemenangan yang diistilahkan sebagai al-fauz. Istilah ini merujuk kepada kemenangan yang benar-benar diterima di alam akhirat. Dalam al-fauz pemilik harta yang mengurus hartanya dengan bijak akan memperoleh timbangan baik yang berat di Padang Mahsyar; mendapat keampunan daripada Allah SWT; terselamat daripada azab neraka; mendapat keredaan daripada Allah SWT; mendapat limpahan rahmat-Nya; dan diterima masuk ke dalam syurga dengan segala nikmat di dalamnya secara kekal abadi (Haron Din, Manusia dan Islam, 2015).