“HIV/AIDS merebak melalui sos cili”; “Dijangkiti HIV/AIDS setelah memakan buah nanas yang dijual oleh penjual yang menghidap AIDS”; “Restoran itu ini tidak mendapat sijil halal JAKIM”, “Sesiapa yang menyebarkan emel ini bakal beroleh kebaikan dan siapa yang menghapuskannya bakal menerima mudarat”; dan banyak lagi emel seumpama ini berlegar di ruang maya. Percaya atau tidak, suka atau tidak.
Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi ini, begitu mudah untuk kita mendapatkan apa sahaja maklumat. Maklumat itu mungkin yang kita cari sendiri dengan menggunakan enjin carian yang ada, mahupun yang kita terima dari emel yang dipanjangkan oleh rakan dan taulan.
Sebagaimana mudahnya kita mendapatkan maklumat, begitulah juga mudahnya kita menyebarkan maklumat tersebut kepada orang lain. Dengan niat untuk melaksanakan tuntutan agama agar umatnya menyeru kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan, ramai yang selalu memanjangkan emel yang diterima, khususnya emel-emel yang dirasakan mengandungi manfaat untuk ummah.
Namun, dalam menyahut seruan agama tadi, sejauhmanakah pula kita mengamalkan ajaran yang menuntut kita memastikan kesahihan maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya (al-Hujurat, 6)?
Melihat kepada kandungan emel yang kerap penulis terima seperti di para pertama tulisan ini – yang seringkali juga penulis merasa terganggu dengannya – jelas bahawa ramai penghantar emel yang seolah-olah hanya memanjangkan emel yang mereka terima tanpa memikirkan sejauhmana kebenaran emel tersebut.
Ketika menyebarkan maklumat seperti ini, tidak terfikirkah oleh mereka sejauhmana benarnya dakwaaan-dakwaan tersebut? AIDS merebak melalui sos cili? HIV/AIDS dapat dikenalpasti selepas beberapa hari? Untung malang diri ditentukan oleh satu emel?
Akibatnya, niat asal yang murni untuk mengajak kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan, sebaliknya menjadi fitnah. Mereka mungkin akan menipu dengan kandungan emel yang tidak benar atau menggugat keyakinan orang ramai bahawasanya apa-apa yang berlaku kepada kita adalah dengan izin Allah semata-mata.
Dalam kes menyebarkan maklumat bahawa makanan itu ini halal atau sebaliknya, atau restoran itu ini tidak mendapat sijil halal JAKIM pula, dalam banyak keadaan, mereka bukannya mencari kebenaran. Sebaliknya, mereka hanya menyebarluaskan rasa waswas yang ada dalam diri mereka kepada masyarakat Islam lainnya. Untuk mencari kebenaran, mereka sepatutnya berurusan terus dengan JAKIM atau restoran tersebut. Bukannya semudah memanjangkan sesuatu emel.
Bagi mereka yang tidak memperdulikan emel seperti ini kerana ia dianggap sebagai emel sampah, maka mereka tidak akan terkesan olehnya dan tidak akan memudaratkan orang lain kerana tidak menyebarkan emel tersebut. Namun, bagi golongan yang memandang serius emel-emel seperti ini, ia akan disebarkan tanpa berfikir panjang yang akhirnya membawa kepada salah faham di kalangan masyarakat.
Menyebarkan maklumat yang salah memanglah bukan satu sikap yang terpuji. Namun, tidak memperdulikan emel seumpama inipun bukanlah sikap yang bijak dalam berhadapan dengan keadaan ini. Ini kerana sekalipun kita tidak memanjangkannya, orang lain akan menyebarkannya. Oleh itu, ‘orang-orang yang mengetahui’ hendaklah menghentikan emel ini dengan membalas kepada semua penerima asal dan menyatakan maklumat yang sebenarnya supaya emel itu berhenti di situ sahaja. Jika tidak, masalah itu akan berterusan. Malah, jangan terkejut jika kita menerima emel yang sama beberapa tahun selepas itu.
Memang, sebahagian besar masalah ini berpunca dari kejahilan masyarakat kita terhadap banyak perkara. Namun, sebahagian lagi berpunca dari sikap mereka sendiri. Ada banyak benda dalam dunia ini yang mungkin kita tidak tahu atau kurang pasti – bagaimana HIV/AIDS merebak, misalnya. Namun, kalau kita amalkan prinsip “mengutamakan kesahihan maklumat” – seperti yang diajarkan oleh agama Islam – kita boleh menggunakan enjin carian untuk mendapatkan kebenaran. Mengapa memilih untuk menyebarkan maklumat yang meragukan melalui internet dan bukannya memilih untuk menggunakan internet dalam mencari kebenaran? Kerana mencari kebenaran itu memerlukan kita “menekan lebih banyak butang”?
Oleh yang demikian, masyarakat Islam yang dituntut untuk memastikan kesahihan sesuatu maklumat ini, perlulah lebih bertanggungjawab ketika menerima dan menyebarkan maklumat. Agama Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk mengambil sikap semberono atau ambil mudah atau dalam masalah ini, sikap ‘forward aje’. Agama Islam mengutamakan kebenaran. Maka, carilah dan sebarkanlah kebenaran itu dengan kemudahan “ICT” ini.