Islam adalah agama akhlak, dan akhlak Islam pula bertunjangkan keadilan. Tanpa keadilan masakan wujud kasih sayang, penghormatan dan kesetiaan, yang semuanya merupakan asas-asas sebenar kepada keamanan dan keharmonian.
Terasa segan sebenarnya mahu berbicara tentang perkara ini takut ditempelak kita beromong kosong. Bagaimana kita mahu berbicara tentang keadilan dan keamanan sedangkan kedua-duanya tiada kelihatan nyata pada diri peribadi dan masyarakat Islam hari ini untuk diambil contoh dan tauladan? Orang akan berkata: lihat sahajalah dunia Islam dan masyarakatnya, saling bermusuhan dan bercakaran sesama sendiri tanpa kunjung padam, sehingga membantutkan segala usaha pembangunan mereka.
Pada pandangan orang luar, Islam dan perlakuan Kaum Muslimin adalah satu, tiada beza antara keduanya. Apa yang dilakukan oleh Kaum Muslimin dianggap cerminan ajaran Islam. Baik kelakuan mereka baiklah Islam, buruk kelakuan mereka buruklah Islam.
Justeru, Kaum Muslimin perlu menginsafi peranan serta amanah yang mereka pikul dalam soal mencerminkan Islam dengan sebenar-benarnya. Jangan sampai Islam pula dipersalahkan dan dimusuhi kerana kelalaian dan kekurangan kita dalam memahami dan mengamalkannya.
Al-Qur’an berulang-kali mengingatkan Kaum Muslimin supaya menjaga batas dan tidak melampauinya. Apa yang menarik ialah dalam bahasa Arab larangan melampaui batas (la ta’tadu), permusuhan (‘udwah/’adawah), dan musuh (‘aduww) semuanya berpunca dari akar kata yang sama. Ia menunjukkan bahawa ada kaitan antara semua itu. Sebarang permusuhan bermula apabila satu pihak melanggar batas-batas tertentu yang mengancam, menjejas, atau menafikan terus hak pihak yang lain.
Sehubungan dengan itu, peristiwa yang membawa kepada penurunan ayat 110 Surah al-Isra’ amat sesuai untuk dijadikan bahan renungan. Menjadi kebiasaan Rasulullah membaca dengan kuat apabila bersembahyang dengan para sahabat baginda. Perbuatan itu bagaimanapun tidak disenangi oleh masyarakat bukan Islam sehingga sebahagian mereka mencerca al-Qur’an, dan Tuhan yang menurunkannya. Lalu ayat di atas diturunkan: “…dan janganlah membaca terlalu kuat dalam sembahyangmu dan janganlah pula terlalu perlahan; carilah jalan tengah antara keduanya.”
Teguran yang terkandung dalam ayat ini mencerminkan sifat agama Islam itu sendiri yang tegas mempertahankan hak-hak sesiapa sahaja termasuk orang-orang bukan Islam. Walau dalam mengerjakan ibadat kepada Allah sekalipun hak-hak itu tidak boleh diabaikan.
Perbuatan membaca al-Qur’an dengan kuat adalah pencerobohan terhadap hak orang bukan Islam yang mungkin terganggu dengan perbuatan itu. Ia juga memberikan akibat sampingan yang tidak baik apabila al-Qur’an dan Allah sendiri akhirnya menjadi bahan cercaan.
Nampaknya banyak pihak khususnya pada hari ini terlepas pandang terhadap teguran ini dan pengajaran yang sepatutnya diambil darinya.
Sayugia diingatkan, teguran al-Qur’an itu dibuat pada zaman sebelum wujudnya pembesar suara, dan teguran itu ditujukan pada bacaan dalam sembahyang. Kini masjid-masjid dan surau-surau dilengkapi dengan sistem pembesar suara yang membolehkan setiap patah perkataan yang dituturkan dalam masjid didengar berbatu jauhnya. Timbul persoalan dan penyakit baru apabila rakaman bacaan al-Qur’an dimainkan melalui pembesar suara masjid dan surau. Apakah sebenarnya niat dan tujuan perbuatan ini? Tidakkah sepatutnya difahami dari ayat yang dipetik di atas dan peristiwa yang membawa kepada penurunannya bahawa sekiranya bacaan kuat dalam sembahyang pun ditegur dan dilarang inikan pula bacaan di luar sembahyang? Tambah pula ianya dimainkan dari rakaman kaset atau CD melalui corong pembesar suara?
Kalau sekiranya mahu diambil fadilat dan pahala dari bacaan al-Qur’an kenapa tidak dibaca sendiri? Kalau orang berkenaan mahu mendengar bacaan al-Qur’an dari rakaman kenapa pula perlu dimainkan melalui pembesar suara? Tidak cukupkah dimainkan rakaman itu untuk pendengaran sendiri? Kenapa mahu ‘memaksa’ orang lain di persekitaran masjid turut mendengar? Tidakkah terlintas di fikirannya apa perasaan orang-orang bukan Islam apabila ‘dipaksa’ menadah telinga saban hari mendengar sesuatu yang tidak mereka sukai?
Inilah jadinya apabila masjid dan surau dikuasai dan diuruskan oleh orang-orang yang bebal dan angkuh. Bebal kerana mereka menyangka mereka melakukan kebaikan sedangkan hakikatnya ialah kerosakan. Angkuh kerana mereka pantang ditegur. Yang pertama bersifat epistemologikal dan berpunca dari kerosakan ilmu manakala yang kedua bersifat akhlakiah dan ia adalah natijah dari yang pertama.
Kita mesti mendedahkan perbuatan melampau batas kerana ia mendatangkan fitnah kepada agama Islam yang maha suci. Rasulullah pernah memarahi seorang sahabat yang membaca surah yang panjang ketika mengimamkan sembahyang kerana perbuatan itu dikhuatiri mendatangkan fitnah terhadap agama. Jangan kita fikir perbuatan melampau itu terhad kepada perbuatan bersifat militan semata-mata. Perbuatan yang bersifat militan boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Perbuatan melampau dalam kehidupan dan amalan beragama boleh menghilangkan rasa hormat dan kagum kepada agama.
Pokok pangkal persoalan ini ialah kerosakan ilmu dan amal. Amalan yang salah, menyeleweng, dan melampau berpunca dari kefahaman yang salah, menyeleweng, dan melampau. Amalan yang betul zahir dan batin tidak boleh tidak mesti berpunca dari ilmu dan kefahaman yang benar terhadap zahir dan batin agama.
Kita nyatakan ‘zahir’ dan ‘batin’ kerana keelokan dan kesempurnaan penghayatan agama bergantung kepada keseimbangan kedua-dua unsur ini. Perbuatan melampau berlaku apabila unsur zahir diberatkan dan unsur batin dikesampingkan, ataupun sebaliknya. Fiqh (kefahaman) yang sebenar merujuk kepada kefahaman terhadap agama secara keseluruhan, merangkumi yang zahir dan batin, usul dan furu’nya, dan natijah daripada kefahaman ini ialah kebaikan (khayr). Itulah yang dinyatakan oleh Rasulullah: “Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, Dia memberikannya kefahaman dalam agama”.
Perbuatan yang kononnya bersifat keagamaan tetapi mendatangkan keluh-kesah, fitnah, kesusahan, dan kebencian masyarakat pastinya bukan datang dari kefahaman sebenar terhadap agama kerana tiada kelihatan kebaikannya (maslahah) sebagai natijahnya. Yang kelihatan sebaliknya ialah kerosakan (mafsadah).
Apabila institusi-institusi agama dipimpin oleh orang-orang yang tiada kelayakan memimpin, yang kefahaman dan kelakuannya masih pada tahap kedusunan, kesucian dan keindahan agama Islam akan tercemar. Pasti tidak akan kelihatan sifat kesejagatan risalah Islam itu ditampilkan. Mereka adalah ibarat cermin-cermin yang kotor dan berdebu. Mereka tidak boleh diharapkan bagi menayangkan rupa sebenar agama Islam.