SETIAP yang bermula akan berakhir. Seperti juga dengan Ramadan tahun ini. Ia datang dan berlalu dan pasti akan datang lagi di tahun-tahun hadapan menemui kita. Dengan tertutupnya catatan amalan bulan Ramadan tahun 1423 Hijrah semoga kita mendapat azam baru.
Harapan yang utama iaitu pengampunan atau maghfirah seperti hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan bermuhasabah nescaya diampuni dosa yang lepas. Kita akan berwajah bersih mulai 1 Syawal. Janganlah pula beranggapan pemergian Ramadan memberi kebebasan sepenuhnya kepada kita meninggalkan sewenang-wenangnya suruhan agama. Ramadan bukan penjara bagi orang Islam. Ia adalah bulan tarbiah diri ke arah kecemerlangan.
Kita perlu menoleh ke belakang apakah puasa sebulan Ramadan itu telah disempurnakan dengan baik atau masih ada kekurangan. Manusia keadaannya tidak sama, ada yang tua dan uzur. Dalam pada itu ada juga yang sihat tapi macam orang uzur tidak genap puasanya. Dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 185 ada menyatakan:
Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa (sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan.
Beberapa pertanyaan telah dikemukakan oleh beberapa pihak. Mereka ingin tahu hukum orang tua yang uzur atas sebab penyakit yang berpanjangan tidak dapat melaksanakan puasa. Kepada golongan ini, seperti tersebut dalam ayat, jika mereka tidak mampu berpuasa mereka tidak perlu mengulang puasa mereka selepas Ramadan memadai dengan membayar `fidyah’ dan diberikan kepada orang miskin. Bagaimanapun kepada mereka yang sihat, meninggalkan puasa oleh sebab musafir sedangkan jika mereka melakukan puasa adalah lebih baik, diwajibkan qada’ puasa-puasa yang ditinggalkan dan menyempurnakannya sebelum datang Ramadan tahun hadapan.
Ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 184 bermaksud:
Dan wajiblah ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak beras tiap-tiap satu hari).
Mereka yang meninggalkan puasa dengan sengaja walau sehari tanpa alasan yang syarie atau rukhsah, – puasa yang dilakukan di luar bulan Ramadan tidak menyamai puasa di bulan Ramadan walaupun dia melakukan sepanjang tahun. Betapa tidak, puasa di bulan Ramadan digandakan pahala dan Tuhan sendiri yang akan membalasnya.
Selain daripada puasa Ramadan terdapat puasa-puasa lain yang wajib dilakukan seperti `kifarah’ dan `nazar’. Perlu dijelaskan bahawa kifarah adalah satu bentuk hukum dan berlaku kepada orang yang melakukan persetubuhan ketika berpuasa di bulan Ramadan. Oleh sebab itu tidak menjadi amalan perkahwinan di bulan Ramadan walaupun jamuan boleh diadakan di waktu-waktu malam. Larangan ini terkandung dalam ayat 187:
Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid-masjid. Ini adalah hudud Allah, janganlah kamu menghampirinya.
Umat Islam diberi ingatan bahawa bahagian sepuluh terakhir Ramadan dijangka berlaku `lailatulqadar; iaitu malamnya lebih baik dari `seribu bulan’. Kenyataan yang berlaku di peringkat terakhir Ramadan inilah sesetengah masjid dan surau merosot jemaahnya.
Kaum wanita mungkin telah memberi perhatian lebih banyak kepada persediaan kuih raya dan sebagainya. Anak muda sibuk dengan acara masing-masing termasuk menghias rumah, sedangkan di saat-saat beginilah Rasulullah mengajak keluarganya menumpukan dan melipatgandakan ibadah.
Masyarakat kita mengenali malam-malam ini sebagai malam `tujuh likur’. Pada malam-malam terakhir ini sekitar rumah diterangi dengan cahaya lampu dan pelita minyak. Meriah sekali. Ini adalah amalan yang menjadi adat kita terutama di kampung. Di masa-masa dahulu terdengarlah letupan-letupan meriam buluh bersahutan. Begitu juga dengan bunyi mercun.
Oleh kerana mengutamakan keselamatan dan mengelakkan bencana, ia tidak dibenarkan lagi. Dalam pada itu sekali sekala kedengaran juga.
Telah menjadi kelaziman masyarakat kita memberi bantuan atau sedekah. bahkan sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadan. Fakir miskin dan di mana-mana termasuk di negara maju seperti Amerika dan Britain. Bagaimanapun keadaan fakir miskin di negara ini tidak semalang mereka di sesetengah negara Islam. Baru-baru ini kita ada mendengar cerita beribu-ribu peminta sedekah mengharapkan bantuan.
Oleh kerana terlalu ramai dan tidak mempunyai sistem yang baik beratus-ratus orang cedera dan ada pula puluhan yang mati. Alhamdulillah ia tidak berlaku sedemikian di negara kita.
Di negara kita ada sistem pungutan dan pengagihan zakat. Zakat diagihkan dalam berbagai bentuk oleh badan yang berwibawa dan sah iaitu Majlis Agama Islam. Fakir miskin setiap tahun – bahkan ada yang menerima bantuan bulanan.
Dalam pada itu pula ada juga pihak yang enggan membayar kepada pihak majlis agama. Jika pun terdapat sedikit kelemahan dan ada perkara yang dirasakan tidak memuaskan ini boleh diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Janganlah sampai langsung tidak menghormati badan tersebut. Dalam al-Quran surah at-Taubah ada menyatakan bermaksud:
Ambillah (sebahagian) dan harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).
Sebenarnya menunaikan zakat adalah di antara kewajipan ke atas umat Islam selain puasa di bulan Ramadan. Tidak berpuasa bererti kita berhutang dengan Allah. Tidak menunaikan zakat bererti kita dengan Allah dan manusia kerana pada harta dada hak orang yang lain yang meminta (dikasihani) dan mereka yang tiada memiliki apa-apa.
Marilah kita tunaikan kedua kewajipan ini kerana Allah, Rasulullah serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kita lakukan.