Keibubapaan sering didengar. Daripada namanya, ia menggambarkan kerjasama ibu dan bapa dalam menguruskan anak-anak mereka. Tetapi jika ditinjau di majlis-majlis ilmu tentang keibubapaan, 95 peratus yang hadir adalah golongan ibu. Mana pergi golongan bapa?
Mungkin ada yang salah anggap tentang konsep keibubapaan ini. Mungkin mereka menganggap salah seorang menjadi wakil telah memadai. Akibatnya, golongan bapa merasa lega jika isterinya menghadiri seminar tersebut dan menguruskan anak-anak secara bersendirian dan dia hanya melihat dari jauh kerana tugas asasinya ialah memberi nafkah. Memang benar, Islam menetapkan bahawa nafkah anak adalah tanggungjawab bapa. Tetapi bapa juga bertanggungjawab terhadap aspek agama dan akhlak anak-anaknya.
Kita kerap diingatkan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.
Ternyata, berjaya atau tidaknya seorang anak itu untuk menjadi insan yang kamil bergantung kepada didikan kedua-dua ibu bapa. Mungkinkah tanggungjawab yang berat ini dapat dilaksanakan oleh seorang ibu secara bersendirian?
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda khusus kepada kaum bapa yang maksudnya: Tiada pemberian yang lebih utama, yang diberikan oleh seorang bapa kepada anaknya melainkan akhlak yang baik.
Hadis ini menunjukkan bahawa bapa juga berperanan dalam pembentukan akhlak anak-anak. Al-Quran sendiri telah mengutarakan kisah Luqman – seorang bapa – yang menasihati anaknya supaya syukur nikmat, tidak menyengutukan Allah, berbakti kepada ibu bapa, menangkis arahan yang bercanggah dengan syariah, menghayati balasan buruk baik tidak terhad di dunia, tunaikan solat, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, bersabar dan jangan sombong. Surah ini sering kita baca. Tetapi berapa ramai bapa yang meniru perbuatan Luqman ini?
Kajian masa kini menunjukkan bahawa keibuan dan kebapaan ada fungsinya yang tersendiri. Menurut Thevenin, fungsi bapa lebih kepada penggalak, manakala fungsi ibu lebih kepada pengasuh atau pendidik.
Sebagai penggalak, bapa cenderung untuk merangsang perkembangan sifat berdikari di kalangan anak-anak. Sebagai pengasuh pula, ibu cenderung untuk menawarkan hubungan intimasi dan responsif kepada anak-anak. Kedua-dua ini akan melahirkan anak-anak yang lengkap dari segi sosialnya.
Dr. Rozumah Baharudin juga pernah mengkaji tentang kesan perbezaan kedua-dua fungsi ini kepada proses perkembangan anak-anak. Beliau mendapati bahawa perbezaan fungsi itu memberi sumbangan berlainan kepada perkembangan anak-anak dan ia dilihat sebagai saling lengkap-melengkapi dan anak-anak memerlukan kedua-duanya.
Ketiadaan salah satu komponen itu berkemungkinan membawa kepada kepincangan terhadap kualiti perkembangan anak seperti yang terbukti dalam keluarga induk tunggal. Jadi, jika kita serius dalam membentuk sahsiah anak-anak kita, bapa juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam perkembangan anak-anak mereka.
Bagaimana untuk meningkatkan komitmen kaum bapa dalam hal ini? Media elektronik boleh menonjolkan imej bapa yang baik dan komited.
Imej bapa yang bengis, ganas dan tidak bertanggungjawab, perlulah dihentikan. Media cetak pula boleh mewujudkan ruangan untuk kaum bapa bagi meningkatkan lagi kemahiran kebapaan mereka.
Khutbah Jumaat di mana khalayaknya adalah lelaki boleh dijadikan medan untuk mengetengahkan kepentingan kebapaan ini. Contoh-contoh bapa Muslim yang baik dan komited boleh diketengahkan bagi menyedarkan khalayak tentang peranan dan tanggungjawab mereka.
Selain itu, keibubapaan perlu diajar di peringkat sekolah menengah. Ini penting kerana setakat ini, untuk satu tanggungjawab sebesar menjadi ibu dan bapa ini, kita tiada pendidikan formal tentangnya.
Jika ia hanya diajar di peringkat universiti, ramai remaja lelaki yang tidak dapat mengikutinya kerana ramai juga yang tidak akan melanjutkan pelajaran ke universiti.
Di pejabat pula, ketika mencalonkan nama untuk menghadiri seminar tentang keibubapaan, ketua jabatan hendaklah juga mencalonkan kakitangan lelaki. Selain itu, kehadiran ke seminar keibubapaan perlu dilihat sebagai sebahagian penting dalam proses penilaian prestasi tahunan pekerja.
Sehubungan dengan itu, pekerja perlu dinilai lebih daripada setakat produktiviti mereka sahaja. Organisasi yang mesra keluarga perlu juga menilai komitmen pekerjanya terhadap keluarga mereka. Bapa-bapa yang komited perlulah dinilai lebih tinggi berbanding yang lain.
Tanda-tanda bapa yang komited adalah seperti bergilir-gilir dengan isteri mengambil cuti apabila anak sakit; anaknya berjaya dalam pelajaran; mengambil cuti untuk menghadiri majlis di sekolah anaknya; di majlis hari keluarga pejabat, dia kelihatan sibuk mengejar anak, mendukung anak dan memberi makan anak; dan, seumpamanya.
Selain itu, beberapa bapa yang komited pula, boleh menubuhkan Persatuan Bapa Misali untuk menarik minat dan perhatian lelaki lain untuk menjadi lebih komited terhadap keluarga. Tentunya persatuan seperti ini lebih mulia sifatnya berbanding persatuan-persatuan yang berasaskan hobi semata-mata.