Ada orang mengatakan bahawa bank itu ibarat sebuah badan yang memberi pinjam payung kepada orang ramai semasa cuaca baik dan mengambilnya semula apabila hari mula hendak hujan. Melihat kepada kesukaran segelintir ahli masyarakat untuk mendapatkan pinjaman yang akhirnya memaksa mereka meminjam dengan ah long, secara sepintas lalu, pandangan ini ada kebenarannya.
Masalah bank yang keberatan untuk memberi pinjaman kecil atau pembiayaan peribadi kepada mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai penyata gaji bukanlah suatu perkara baru. Begitu juga dengan proses permohonan yang merumitkan di mana para pemohon ada kalanya dihendaki menyediakan penjamin, borang pengesahan daripada majikan dan lain-lain sebelum permohonan mereka tadi diterima oleh pihak bank. Jadi bagi mereka yang agak terdesak, jalan penyelesaian yang paling mudah ialah dengan meminjam daripada ah long. Dengan hanya memberikan bukti-bukti alamat tempat tinggal melalui bil-bil air, elektrik atau telefon, buku akaun dan salinan kad pengenalan, ini sudah mencukupi untuk melayakkan seseorang itu meminjam daripada ah long. Tidak seperti meminjam dengan institusi perbankan, proses kelulusannya mengambil masa yang agak cepat dan wang pinjaman diberikan kepada si peminjam dalam tempoh yang singkat juga.
Berikutan dengan itu, pihak bank digambarkan sebagai sebuah badan yang tidak mempunyai tanggungjawab sosial atau hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Bagaimanapun apabila kita merenung kembali sikap sesetengah peminjam wang di Malaysia, langkah yang dibuat oleh pihak bank ada betulnya. Malah jika kita mengandaikan diri kita ini sebagai pihak yang memberi pinjaman, mungkin kita akan mengambil langkah yang sama.
Sebagai sebuah badan yang bermatlamatkan keuntungan sudah tentu dorongan untuk membuat laba menjadi sasaran utama yang ingin dicapai oleh pihak bank. Jadi setiap permohonan perlu melalui proses penilaian bagi menentukan tahap kemampuan pelanggan membayar balik pinjaman yang bakal diberikan. Selain itu, soal-soal yang berkaitan kos operasi juga diambil kira. Bagi pihak bank, bukanlah suatu langkah yang bijak untuk memberi pinjaman dalam jumlah yang kecil secara tanpa cagaran sedangkan kos untuk pendokumentasian terpaksa menggunakan sumber yang banyak.
Lebih menyusahkan pihak bank lagi sekiranya seseorang itu gagal membayar balik pinjaman yang diberikan. Sudah tentu ini akan menambah lagi tugas kakitangan bank kerana ia akan melibatkan hal ehwal perundangan yang merumitkan dan memakan masa yang lama.
Namun apabila kita melihat banyak kes-kes hutang tak berbayar, kita rasa tindakan bank ini ada kewarasannya. Ambil sahaja contoh-contoh kegagalan peminjam Majlis Amanah Rakyat (MARA) ataupun Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Saban minggu –terutamanya hujung minggu – MARA menyiarkan nama-nama peminjam yang ingkar di dalam akhbar-akhbar tempatan. TEKUN pula terpaksa membuat kempen membayar balik pinjaman berikutan masalah kekurangan dana yang dihadapinya akibat kegagalan ramai peminjam menjelaskan hutang mereka dengan institusi tersebut. Ini semua sudah cukup untuk menggambarkan sikap segelintir peminjam di negara kita yang agak liat dalam bab membayar balik pinjaman mereka.
Seperkara lagi tentang masalah peminjam ini ialah mereka berhutang bukan untuk tujuan yang baik. Dalam kes ah long yang biasanya melibatkan kaum Cina, lebih kurang 80% yang meminjam menggunakan wang tadi bagi tujuan perjudian.
Berdasarkan kepada satu kajian yang dibuat oleh para penyelidik IKIM iaitu Pinjaman Peribadi : Satu Tinjauan Awal, mendapati kebanyakan orang Melayu membuat pinjaman untuk membayar wang pendahuluan membeli kereta. Selain itu, ada juga yang meminjam untuk membayar hutang pinjaman yang sedia ada.
Jika dapatan kajian IKIM ini dijadikan sebagai panduan, kita dapat menyimpulkan bahawa kebanyakan orang Melayu meminjam bagi tujuan-tujuan yang tidak produktif. Mungkinkah ini juga merupakan sebab musabab mengapa pihak bank agak keberatan untuk memberi pinjaman kecil kepada orang ramai?
Secara amnya, sikap suka berhutang bukanlah satu sikap yang dianjurkan oleh agama Islam lebih-lebih lagi jika kita berhutang untuk tujuan-tujuan yang tidak mustahak. Sebaliknya ia hanya akan memberi tekanan perasaan kepada seseorang dan mencambahkan pelbagai akhlak yang keji. Ini dapat difahami menerusi satu sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud : “Sesungguhnya, apabila seseorang itu berhutang maka dia akan berbicara, lalu berbohong, atau berjanji, lalu mengingkari janjinya”.
Persoalannya sekarang apakah disebabkan sikap segelintir peminjam yang menyalahguna dan tidak membayar balik pinjaman mereka dijadikan sebagai satu alasan oleh pihak bank untuk menafikan hak mereka yang benar-benar memerlukan pinjaman?
Skim Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang diasaskan daripada kejayaaan Bank Grameen di Bangladesh merupakan satu contoh yang jelas bahawa pinjaman atau pembiayaan kecil sebenarnya boleh membawa perubahan kepada taraf hidup masyarakat. Perangkaan terkini menunjukkan bahawa skim ini telah berjaya membantu lebih kurang 200,000 peminjam yang terdiri daripada golongan miskin keluar dari kepompong kemiskinan malah sudah ada di antara peminjam itu yang bergelar jutawan.
Bagaimanapun skim yang ditawarkan oleh AIM adalah untuk golongan miskin bagi menjalankan kegiatan-kegiatan ekonomi yang akhirnya membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
Masalah yang kita dihadapi sekarang ialah bagaimana pihak bank boleh berperanan dalam membantu mereka yang memerlukan tunai bagi menampung keperluan-keperluan semasa yang tulen (seperti keperluan modal perniagaan, pendidikan dan lain-lain) dan mengelak mereka ini daripada pergi mendapatkan pinjaman ah long.
Dalam hal ini, antara cabaran yang mungkin dihadapi oleh pihak bank ialah bagaimana untuk mengenakan syarat yang lebih longgar atau proses permohonan yang lebih ringkas sedangkan pinjaman yang diberikan adalah satu bentuk pinjaman tanpa cagaran.
Mungkin pengalaman AIM mengendalikan skim-skim pinjamannya kepada para pemohon boleh dijadikan panduan oleh sektor perbankan dalam menangani cabaran ini. Cawangan-cawangan AIM seluruh negara secara purata mencatat 98% kadar bayaran balik pinjaman yang diberikan kepada para pesertanya.
Mungkin agak sukar bagi pihak bank untuk mencontohi AIM kerana ia akan melibatkan banyak penggunaan sumber manusia secara lapangan sedangkan ia sebuah badan yang bermatlamatkan keuntungan. Tambahan pula skim-skim sebegini tidak menjanjikan pulangan yang lumayan ke atas modal atau pinjaman yang diberikan.
Jika diberi pilihan penulis merasakan bank-bank lebih berminat untuk memberi pinjaman dalam bentuk pengeluaran kad kredit kepada pelanggan daripada menumpukan kepada produk-produk pinjaman kecil. Mana tidaknya, pengeluaran kad kredit hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai bergaji tetap. Proses dokumentasinya pula agak ringkas. Paling penting produk kad kredit boleh menjana banyak keuntungan kepada pihak bank terutamanya menerusi yuran tahunan, caj lewat bayar, caj pengeluaran tunai dan caj ke atas baki tertunggak.
Jadi jika institusi kewangan agak keberatan, pihak manakah yang patut mengambil alih tugas ini? Pihak kerajaan dikhabarkan sedia mengkaji untuk mewujudkan skim pinjaman untuk golongan yang bekerja sendiri bagi mengelak mereka daripada meminjam daripada ah long. Ini satu perkembangan yang baik. Paling tidak ia dapat mengurangkan kegiatan ah long di negara ini. Bagaimana pula dengan institusi baitulmal? Ada kemungkinankah ia boleh memainkan peranan sebagaimana yang dilakukan oleh AIM ataupun Bank Grameem?