“Saya yang menurut perintah” merupakan satu amalan yang begitu sebati dipegangkan dalam sektor awam. Frasa ini difahami dan diamalkan secara menyeluruh, baik di peringkat jawatan rendah mahupun yang tinggi. Pastilah ada sebabnya kenapa frasa ini begitu sinonim dengan panjawat awam. Bagi penulis sendiri, frasa ini mempunyai tujuan yang baik iaitu untuk melancarkan kerja dan memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Walau bagaimanapun, adakah kefahaman penulis ini turut difahami seluruh anggota penjawat awam? Atau, adakah telah timbul salah faham sehingga menyebabkan kewujudan frasa ini menimbulkan pula pelbagai masalah yang lain?
Pada pandangan penulis, telah wujud salah faham tertentu terhadap penggunaan frasa “saya yang menurut perintah”. Salah faham ini akhirnya menimbulkan masalah tertentu yang memberi kesan kepada mutu kerja di kalangan penjawat awam.
Pertamanya, “saya yang menurut perintah” menyebabkan ramai penjawat awam bekerja tanpa berfikir. Setiap arahan dilaksanakan tanpa ada yang berani menyoal kembali arahan tersebut. Melaksanakan kerja tanpa menyoal ini dibiarkan berlaku walaupun kadangkala arahan itu tidak tepat. Malah, kadang kala pekerja memilih untuk melaksanakan juga arahan tersebut walaupun terdapat cara lain yang lebih mudah dan menjimatkan.
Justeru itu, kesalahfahaman terhadap frasa ini nyata boleh mengekang kreativiti dan inovasi di kalangan penjawat awam. Perkara ini sebenarnya diakui, jika tidak masakan kerajaan bersungguh-sungguh mengadakan anugerah inovasi yang bertujuan untuk menggalakkan inovasi di kalangan penjawat awam.
Malah, dalam keadaan tertentu, ramai penjawat awam yang tidak berani melakukan sesuatu perkara baru, walaupun diakui perkara baru tersebut adalah satu bentuk perkhidmatan yang dapat memuaskan hati pelanggan atau rakyat. Maka seringkali kita mendengar jawapan; “Saya tak tahu Encik, saya ini menjalankan tugas sahaja”. Ini juga sebenarnya adalah bayangan salah faham terhadap arahan “saya yang menurut perintah” tadi.
Oleh kerana menurut tanpa usul periksa maka ramailah pekerja yang membuat kerja mengikut rentak ketua semata-mata. Ini akhirnya menutup ruang untuk perkembangan kreativiti dan inovasi. Akhirnya, sektor awam kekal dengan cara kerjanya yang lambat, tidak konsisten dan tidak berani membuat keputusan.
Selain menutup ruang kreativiti dan inovasi, amalan “saya yang menurut perintah” juga dikhuatiri boleh menimbulkan penindasan di kalangan penjawat awam terutamanya di peringkat rendah. Amalan ini boleh disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sendiri atau untuk mengenakan orang lain.
Sebenarnya, menurut perintah adalah dituntut dalam pandangan hidup Islam. Misalnya, dalam pandangan hidup Islam, adalah wajib bagi kita menurut perintah pemerintah. Selain pemerintah, perintah ibu bapa, guru, ketua kampung dan sebagainya juga adalah wajib dituruti.
Arahan untuk mengikut perintah ini tidak bertujuan untuk menyiksa umat Islam tetapi mempunyai maksud yang murni iaitu untuk kesejahteraan dan kelancaran hubungan antara pemerintah dan rakyat atau hubungan ibu bapa dan anak-anaknya. Malah, jika dilaksanakan dengan baik, maka tuntutan ini akan menguatkan sesebuah negara atau keluarga.
Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, disukai atau dibenci dan biarpun merugikan kepentinganmu.” (Riwayat Muslim).
Walau bagaimanapun, dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksudnya: “Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi” (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan kewajipan menurut perintah. Walau bagaimanapun, dalam hadis kedua, perintah yang ingin dituruti itu ada syarat-syarat tertentu iaitu selagi ia tidak melanggar syariat Islam.
Jelas bahawa dalam pandangan hidup Islam, terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu diikuti jika sesuatu perintah ingin dipatuhi. Oleh itu, kenapa pula wujudnya kepatuhan amalan “saya yang menurut perintah” tanpa ada kekecualian? Bukankah kita semua telah diberikan akal fikiran untuk menyatakan pandangan terhadap sesuatu arahan yang tidak munasabah?
Perlunya berfikir dalam menerima apa-apa arahan jelas digambarkan di dalam hadis kedua di atas. Hadis tersebut menunjukkan betapa kita perlu berfikir kerana tanpa berfikir bagaimana pula kita boleh membezakan arahan itu berbentuk maksiat atau tidak.
Oleh itu, amalan “saya yang menurut perintah” yang menidakkan peluang untuk berfikir dan menyatakan pandangan seseorang sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Pada masa ini, para pekerja seharusnya diberi peluang untuk melaksanakan kerja mengikut kreativiti masing-masing.
Ini tidaklah bermakna ketua tidak perlu langsung memberikan arahan atau tunjuk ajar. Para pekerja di bawah seorang ketua masih perlu dibimbing dan dalam masa yang sama, kebolehan dan bakat mereka dalam melaksanakan kerja perlulah diiktiraf, bukannya semata-mata berpegang kepada amalan “saya yang menurut perintah” . Oleh itu, kewujudan salah faham sebegini harus diperbetulkan dengan segera jika kita ingin menjadikan perkhidmatan awam lebih berkesan.