Isu bunuh diri menarik perhatian ramai kebelakangan ini kerana dikatakan bahawa fenomena ini semakin meningkat, dan sebahagian besar darinya adalah dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Kenapa persoalan Melayu-Islam itu yang dibangkitkan di sini? Kerana dalam Islam amat jelas sekali larangan membunuh diri yang digolongkan sebagai antara dosa-dosa yang besar. Maka persoalannya adalah kenapa, seperti yang dimaklumkan, sebahagian besar yang membunuh diri itu orang Melayu? Adakah mereka sudah tidak takut kepada dosa dan kemurkaan Allah sehingga sanggup melakukan perbuatan yang amat buruk itu?
Perbuatan membunuh diri hanya dilakukan oleh seseorang yang benar-benar kecewa dengan hidupnya sehingga merasakan tiada lagi gunanya untuk dia meneruskan kehidupannya. Dengan kata lain, hidup ini dirasakan sudah tidak lagi bermakna apa-apa kepadanya dan dengan sebab itu mati difikirkan lebih baik. Dan mati hanya dianggap sebagai penyelesaian oleh mereka yang menyangka ianya adalah penamat bagi kehidupan, sedangkan pada hakikatnya mati itu adalah permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi, manakala nasib seseorang dalam kehidupan yang kekal abadi itu pula ditentukan oleh kehidupannya di dunia ini. Jika nasib kehidupan selepas mati itu ditentukan oleh amalan seseorang itu di dunia ini maka bagaimanakah seseorang itu boleh menganggapnya ‘tidak bermakna’? Bahkan, kehidupan dunia ini ‘amat bermakna’ disebabkan oleh apa yang menanti sesorang di akhirat itu. Justeru, tidak mungkin seseorang itu membunuh diri melainkan dia memang tidak percaya dengan janji Allah, ataupun meraguinya. Maka inilah persoalan pokok yang mesti ditangani dengan segera. Apakah yang menyebabkan ketiadaan keyakinan itu?
Keyakinan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat ataupun dipaksa-paksa. Ia adalah kurniaan Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari kalangan hambaNya. Namun ia perlu diusahakan, kerana tidak mungkin seseorang itu dapat merasai ketenangan jiwa tanpa keyakinan. Jiwa yang ragu-ragu dan berbolak-balik bukanlah jiwa yang tenang ataupun aman tenteram. Hanya dengan keyakinan seseorang itu memperolehi ketenteraman, dan nyatalah bahawa apa yang dikatakan sebagai keyakinan dan ketenteraman itu adalah merujuk kepada ‘diri’. Diri yang merasai keyakinan itu tidak lagi berbolak-balik pendiriannya tentang kedudukan sebenar sesuatu perkara. Dia kenal siapa dirinya, menginsafi nasib akhirnya, dan tahu apa yang perlu dilakukannya dalam hidup ini bagi mencapai kebahagiaan yang hakiki. Bagaimana ketenteraman diri itu diperolehi? Jawabnya adalah dengan ‘ilmu yang sebenar’.
Apakah pula ilmu yang sebenar? Seolah-olahnya ada ‘ilmu yang tidak sebenar’! Yang dimaksudkan dengan ilmu yang sebenar itu adalah ilmu yang membawa kepada kebahagiaan diri yang hakiki dan yang dimaksudkan dengan diri yang hakiki itu adalah ‘diri ruhani’ yang nasibnya sedang kita perkatakan ini. ‘Diri ruhani’ inilah, walau bagaimanapun, yang telah dilupakan nasibnya oleh kebanyakan manusia sedangkan itulah hakikat dirinya yang kekal abadi, yang tidak binasa dengan kematian tubuh badan. Malangnya, nasib diri ruhani itu dilupakan hanya kerana terpedaya dengan nasib hidup duniawi yang sementara ini. ‘Kekecewaan hidup’ yang dimaksudkan itu sebenarnya hanyalah merujuk kepada kekecewaan terhadap nasib hidup di dunia ini sedangkan dunia ini pada hakikatnya tidaklah mempunyai nilai selain dari sebagai alat bagi mencapai tujuan yang tertinggi iaitu akhirat. Maka kekecewaan itu hanyalah menggambarkan kehampaan iman dalam diri seseorang, dan sayugia kita ingat bahawa kehampaan iman inilah punca sebenar segala krisis yang menimpa manusia.
Ketenteraman luaran tidak mungkin dicapai tanpa ketenteraman dalaman yang kita sebut sebagai ‘iman’ itu. Manusia hanya boleh ‘berpura-pura’ gembira dan bahagia dengan nikmat hidup duniawi yang dikecapinya itu kerana jauh di sudut hatinya dia tidak dapat menafikan suatu hakikat yang pasti iaitu kematian. Kegembiraan dan kesenangan yang dinikmatinya itu hanyalah ‘kepura-puraan’ kerana ia sekadar melupakannya buat seketika terhadap persoalan yang menggetarkan jiwanya iaitu nasib akhirnya. Demikianlah hal keadaan kebanyakan manusia—mereka seolah-olahnya sedang ‘tidur nyenyak’ dengan mimpi yang indah-indah. Dan demikianlah kehidupan ini, disifatkan seumpama mimpi yang indah, dan kematian adalah yang mengejutkan seseorang dari mimpi itu.
Apakah yang membezakan nasib akhir orang yang beriman dengan yang tidak beriman? Yang beriman itu ‘sedar’, sedangkan yang tidak beriman itu ‘tidur’. Kerana dia sedar maka dia sibuk ‘bekerja’ mencari bekalan untuk menjamin nasib akhirnya sedangkan mereka yang tidur itu tidak menyedari nasib malang yang bakal menimpanya sebaik sedar dari tidur. Justeru mereka perlu dikejutkan dengan segera. Malangnya ramai yang enggan membuka mata kerana asyik dibuai mimpi yang indah. Demikianlah mendalamnya tipu daya dunia kepada manusia sehingga ramai yang terpedaya dan binasa kerananya.
Pada hari ini, akibat daripada arus ganas pensekularan, manusia telah dikuasai akal fikiran dan tingkahlakunya oleh kecintaan melulu terhadap kehidupan duniawi ini. Dari kecintaan yang melulu itulah datangnya kekecewaan kerana ternyata kebanyakan manusia tidak memperolehi nasib duniawi seperti yang diharapkan. Hanya yang memiliki iman yang teguh yang akan berupaya menempuhi kehidupan duniawi ini, kerana segala musibah dan nasib malang tidak akan sama sekali mematahkan harapannya sedangkan segala nikmat dan kemuliaan tidak pula menjadikannya angkuh dan lalai.